Masa Depan Carlo Ancelotti di Real Madrid dan Minat Kelab Itu Terhadap Xabi Alonso

Xabi Alonso dan Real Madrid kelihatan seperti sudah ditakdirkan untuk bersama sejak bekas pemain tengah Liverpool, Madrid dan Bayern Munich itu memulakan karier kejurulatihannya bersama pasukan muda Madrid 7 tahun lalu.

Bagaimana perkara itu akan berlaku ianya masih menjadi persoalan.

Carlo Ancelotti telah memperbaharui kontraknya sebagai ketua jurulatih Madrid pada penghujung tahun 2023 sehingga 2026 dan beliau sangat gembira berada di ibu kota Sepanyol itu.

Sejak kembali sebagai jurulatih Madrid pada 2021, beliau telah membawa kelab itu memenangi 10 trofi termasuk 2 gelaran Liga Juara-Juara dan kini memegang rekod sebagai jurulatih dengan jumlah kejuaraan terbanyak (15) dalam sejarah kelab.

Sementara itu, Alonso telah meraih kejayaan besar sejak dilantik ke jawatan pengurusan senior pertamanya di Bayer Leverkusen pada Oktober 2022. Beliau membawa kelab itu menjuarai Bundesliga untuk kali pertama pada musim lalu, selain memenangi Piala Jerman dan Piala Super Jerman.

Alonso juga membawa pasukannya ke perlawanan akhir Liga Europa. Namun Leverkusen kalah kepada Atalanta dan ia merupakan satu-satunya kekalahannya pada musim itu.

Beberapa laporan telah mengaitkan Alonso tetang kemungkinan dia akan kembali ke Santiago Bernabeu sebagai ketua jurulatih.

Ancelotti hanya tertawa apabila ditanya mengenai laporan terbaru pada Januari lalu, yang mendakwa beliau telah membuat keputusan untuk meninggalkan Madrid pada penghujung musim ini tanpa mengira keputusan yang dicapai, sambil merujuk kepada pemilihan semula presiden Florentino Perez.

“Saya ingin jelaskan sesuatu: tarikh saya meninggalkan kelab ini tidak akan pernah ditentukan oleh saya sepanjang hidup saya,” kata jurulatih berusia 65 tahun dari Itali itu. “Saya mempunyai kelebihan kerana Florentino akan kekal selama 4 tahun lagi dan matlamat saya adalah untuk terus bersama dengannya sehingga tempoh itu. Kami boleh mengucapkan selamat tinggal bersama.”

Walaupun begitu, beberapa individu telah memberitahu bahawa Alonso telah dikenal pasti sebagai pengganti Ancelotti pada masa hadapan namun terdapat beberapa faktor yang boleh merumitkan perkara ini. Apa yang telah berlaku setakat ini?

Perbincangan antara wakil Alonso dan pihak Madrid telah berlaku pada musim ini dan terdapat kemungkinan beliau akan mengambil alih tugas di Bernabeu pada musim panas nanti.

Ancelotti tahu tentang perbincangan ini.
Memenangi Liga Juara-Juara atau La Liga boleh memastikan masa depan jangka pendek Ancelotti di kelab itu.

Perkara pertama yang perlu diperjelaskan adalah Ancelotti mahu kekal di Madrid. Menurut mereka yang rapat dengannya, kata-katanya sebelum ini bukan sekadar kenyataan untuk tatapan umum.

Dalam penggal kedua Florentino Perez sebagai presiden, beliau biasanya mengekalkan pengurus yang memenangi La Liga dan/atau Liga Juara-Juara pada musim sebelumnya.

Namun, pada 2023 beliau membuat pengecualian kerana Ancelotti hanya memenangi Copa del Rey serta Piala Kelab Dunia (format lama yang melibatkan 7 pasukan). Keputusan mengekalkan Ancelotti membuahkan hasil apabila beliau berjaya membawa Madrid menjulang kejuaraan La Liga dan Liga Juara-Juara.

Namun, individu berpengaruh dalam kelab dan mereka yang rapat dengan Madrid percaya bahawa Alonso, yang berusia 43 tahun dan mempunyai gaya kejurulatihan yang lebih moden serta dinamik boleh mengeluarkan potensi maksimum daripada skuad semasa dan menyuntik tenaga baharu ke dalam pasukan.

Masih belum jelas sama ada Perez akan melaksanakan perubahan ini dan bagaimana beliau akan menjelaskannya jika Ancelotti sekali lagi menikmati musim yang cemerlang pada tahun ini.

Madrid kini berada di tangga ke-3 La Liga, 3 mata di belakang pendahulu, Barcelona dengan baki 12 perlawanan. Mereka juga sedang mendahului 1-0 dalam separuh akhir Copa del Rey menentang Real Sociedad. Perlawanan timbal balik di laman sendiri dijadualkan bulan depan.

Selain itu, mereka memiliki kelebihan agregat 2-1 sebelum aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid di tempat lawan pada hari Rabu depan.

Tiada siapa membayangkan bahawa Ancelotti akan dipecat pada musim panas ini sekiranya dia berjaya memenangi La Liga atau Liga Juara-Juara sekali lagi.

Pihak yang rapat dengan Ancelotti menegaskan bahawa tiada sesiapa di Madrid yang memberitahunya bahawa kelab itu tidak merancang untuk mengekalkannya sebagai jurulatih musim depan.

Namun, mereka turut mengakui bahawa “sesuatu sedang berlaku” berkaitan Alonso. Ancelotti percaya bahawa seorang ejen yang dipercayai kelab sedang berhubung dengan wakil Alonso bagi membincangkan kemungkinan dia menjadi jurulatih Madrid.

Ketika khabar angin terus beredar, Ancelotti dan barisan kejurulatihannya mengambil pendekatan yang lebih tenang terhadap spekulasi serta maklumat yang datang daripada industri bola sepak dan media.

Mereka kekal fokus untuk menjalankan tugas sebaik mungkin dan terus menambah koleksi trofi selepas merangkul 2 gelaran pada musim ini iaitu Piala Super UEFA dan Piala Antara Benua (sebelum ini dikenali sebagai Piala Kelab Dunia).

Pendekatan ini sama seperti yang mereka ambil sejak beberapa bulan lalu apabila terdapat maklumat bocor yang mengatakan pengarah bola sepak Madrid, Santiago Solari bersedia untuk menggantikan Ancelotti sekiranya keputusan pasukan tidak bertambah baik.

Sumber dalaman kelab yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak pengurusan mengesahkan bahawa Solari dan bukannya jurulatih pasukan simpanan Castilla serta legenda kelab, Raul yang akan menjadi pilihan utama kelab sekiranya mereka memerlukan penyelesaian sementara di pertengahan musim.

Solari memulakan kerjaya kejurulatihannya di pasukan Castilla pada tahun 2016 sebelum dinaikkan pangkat ke skuad utama selepas Julen Lopetegui dipecat pada Oktober 2018. Jurulatih dari Argentina itu berjaya memenangi Piala Kelab Dunia semasa tempoh singkatnya sebagai jurulatih dan dia dipecat pada Mac berikutnya.

Dia terus kekal di kelab dalam pelbagai peranan lain sebelum berpindah ke Mexico untuk mengendalikan kelab Club America. Pada tahun 2022, dia kembali ke Bernabeu sebagai pengarah bola sepak.

Raul merupakan individu yang dipercayai oleh Florentino Perez, namun mengambil sedikit masa untuk mencari peranan yang sesuai untuknya dan mencapai keseimbangan antara skuad utama, akademi kelab serta pasukan wanita.

Pada awalnya, Ancelotti dan staf kejurulatihannya berhati-hati terhadap Solari kerana melihatnya terlalu rapat dengan presiden kelab dan berpotensi memecatnya sekiranya sesuatu berlaku.

Namun, Solari semakin mendapat kepercayaan ramai dan peranannya dalam kelab semakin penting. Dia sering hadir dalam mesyuarat penting bersama Ancelotti, pengurus besar Jose Angel Sanchez, serta ketua pencari bakat Juni Calafat.

Madrid memperbaharui kontrak Ancelotti pada Disember 2023, satu langkah yang menunjukkan keyakinan dan penghargaan terhadapnya. Keputusan itu cukup luar biasa kerana Perez jarang membuat keputusan sebegini pada pertengahan musim.

Langkah itu juga membolehkan Ancelotti menolak tawaran daripada Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF), yang berusaha untuk menjadikannya jurulatih pasukan kebangsaannya.

Dalam lanjutan kontrak hingga 2026 itu, turut dipersetujui bahawa Ancelotti boleh terus kekal di kelab dalam peranan lain selain sebagai ketua jurulatih. Perez dan Sanchez melihat sebagai seorang tokoh penting dalam kelab, seseorang yang boleh memberi sumbangan dalam pelbagai aspek.

Itulah kemungkinan laluan yang boleh diambil oleh Ancelotti sekiranya dia dipecat sebagai jurulatih Real Madrid. Walaupun terdapat pelbagai laporan yang mengaitkannya dengan pekerjaan di Liga Pro Saudi, sumber yang mengetahui situasi itu menyatakan bahawa ia bukanlah pilihan yang menarik minatnya dan dia masih belum membuat keputusan untuk ke sana.

Beberapa sumber mencadangkan bahawa Ancelotti tertarik dengan idea menguruskan pasukan kebangsaan Kanada, negara kelahiran isterinya, Mariann. Dengan Piala Dunia yang bakal dianjurkan bersama oleh Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico, ia boleh menjadi satu pilihan menarik.

Namun, Kanada dijangka akan terus mengekalkan Jesse Marsch sebagai jurulatihnya kerana berpuas hati dengan prestasinya menjelang kejohanan tersebut.

Brazil juga mungkin akan kembali cuba mendapatkan Ancelotti. Dia merupakan salah satu nama yang sedang dipertimbangkan oleh sahabatnya, Ronaldo Nazario untuk menjadi jurulatih pasukan kebangsaan sekiranya bekas penyerang Real Madrid dan Brazil itu memenangi pemilihan presiden persekutuan bola sepak negara tersebut.

Ancelotti pernah melatih Ronaldo ketika mereka bersama di kelab Serie A, AC Milan. Presiden CBF ketika ini, Ednaldo Rodrigues juga telah cuba mendapatkan khidmat Ancelotti pada tahun 2023, dan Ancelotti mempunyai hubungan rapat dengan pemain-pemain Brazil di Real Madrid seperti Vinicius Junior, Rodrygo, Eder Militao dan Endrick.

Madrid telah lama menyasarkan Alonso sebagai pengganti Ancelotti dan faktor ini turut mempengaruhi keputusan bekas pemain tengah itu untuk kekal di Leverkusen walaupun mendapat minat daripada Bayern Munich dan Liverpool musim panas lalu.

Apa yang menarik, walaupun terdapat pengiktirafan profesional dan rasa hormat terhadap jurulatih Castilla, Raul, kebanyakan staf kejurulatihan Ancelotti berpendapat bahawa Alonso lebih layak untuk menggantikannya.

Ia berdasarkan faktor usia, gaya permainan, pengetahuan tentang kelab serta pengalamannya di beberapa kelab terbesar di Eropah dalam pelbagai liga dan berada di bawah bimbingan jurulatih ternama semasa bergelar pemain. Namun, mereka juga menyedari bahawa membuktikan kebolehan di Santiago Bernabeu adalah cabaran yang berbeza.

Alonso diwakili oleh IDUB, agensi yang menguruskan beberapa jurulatih berjaya seperti Andoni Iraola (Bournemouth) dan Ernesto Valverde (Athletic Club). Mereka juga mengendalikan karier Martin Zubimendi, pemain kebangsaan Sepanyol yang beraksi untuk Real Sociedad. Pada Januari lalu,

Bagi urusan berkaitan pemasaran dan media, Alonso mempercayakan agensi Best of You, yang mempunyai hubungan rapat dengan Real Madrid.

Ketua Eksekutifnya, Oscar Ribot, yang terlibat dalam usaha Madrid mendapatkan Kylian Mbappe sebagai ejen bebas berprofil tinggi musim panas lalu merupakan salah seorang individu yang menjadi orang tengah dalam perbincangan antara Madrid dan Alonso.

Dalam kalangan mereka yang rapat dengan situasi ini, ramai percaya bahawa Alonso berkemungkinan besar akan menjadi ketua jurulatih Madrid bermula musim depan.

Namun, masih ada persoalan tentang bagaimana Perez akan melaksanakan perubahan ini jika Ancelotti berjaya memenangi La Liga dan/atau Liga Juara-Juara.

BACA:  Jesus Fortea, Kontroversi Perpindahan ke Real Madrid dan Masa Depan Yang Tidak Menentu