Masalah Chelsea: Palmer Kurang Tajam atau Rakan Sepasukan Gagal?

Adakah Cole Palmer Mula Merosot?

Chelsea sedang mengalami kemerosotan prestasi di bawah Enzo Maresca dan kini ada yang mula tertanya-tanya sesuatu yang sebelum ini sukar dibayangkan: adakah prestasi Cole Palmer semakin merosot?

Selepas menampilkan prestasi luar biasa pada musim 2023-24, Palmer memulakan musim ini dengan cemerlang. Dia menjaringkan 6 gol dan mencatat 5 bantuan gol dalam 7 perlawanan pertamanya di Liga Perdana Inggeris. Namun, sejak rehat antarabangsa pada Oktober, dia hanya menjaringkan 8 gol (termasuk 2 penalti) dan mencatat 1 bantuan gol dalam 17 perlawanan liga.

Jika mengambil kira kekalahan Chelsea kepada Brighton & Hove Albion dalam pusingan keempat Piala FA pada hujung minggu lalu, Palmer kini telah melalui 4 perlawanan tanpa sebarang gol dan bantuan gol. Ia merupakan rekod terburuknya sejak menyertai Chelsea. Walau bagaimanapun, dalam 2 perlawanan terakhir, pertahanan lawan telah tertampan bola ke dalam gol sendiri hasil daripada hantarannya. Ia menunjukkan Palmer masih mencipta peluang bahaya untuk pasukannya.

Maresca Tidak Percaya Palmer Sedang Merosot

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa Palmer sedang mengalami penurunan prestasi.

“Ini adalah salah satu perlawanan terbaik Palmer dari segi kepimpinan terutama ketika pasukan sedang menghadapi saat-saat sukar,” kata Maresca selepas Chelsea menang 3-1 ke atas Wolves bulan lalu. “Pada babak kedua, dia sentiasa meminta bola dan itu yang kita mahu lihat daripada pemain – bukan hanya ketika mereka menjaringkan gol atau mencipta bantuan gol.”

Memasuki musim keduanya di Chelsea, Palmer kini berdepan cabaran yang berbeza. Kehebatannya dalam mencipta peluang gol bukan lagi satu rahsia. Lawan kini semakin fokus untuk menyekatnya, malah ramai yang menggunakan taktik man-marking (mengawal ketat pergerakannya). Statistik juga menunjukkan bahawa dia kini dua kali ganda lebih kerap dikasari, daripada 0.9 kekasaran setiap 90 minit musim lalu kepada 2.1 kekasaran musim ini.

Statistik Menunjukkan Palmer Masih Konsisten

Walaupun ramai bercakap tentang kemerosotan prestasinya, data menunjukkan produktiviti Palmer sebenarnya tidak banyak berubah.

Jika tidak mengambil kira gol penalti (9 penalti daripada 22 gol musim lepas), kadar jaringan Palmer masih hampir sama seperti musim 2023-24. Selain itu, angka ‘expected goals’ tanpa penalti (npxG) per 90 minitnya juga masih stabil pada kadar 0.4.

Dengan 14 perlawanan liga masih berbaki, Palmer hanya perlukan 2 gol lagi untuk menyamai jumlah jaringan tanpa penalti musim lalu (13), malah dia berpotensi untuk mengatasi rekod itu.

Satu lagi faktor penting adalah ketajaman penyudahnya. Musim lalu, dia menjaringkan 1.9 gol lebih banyak daripada jangkaan berdasarkan peluang yang dimilikinya. Musim ini, dia juga sudah melebihi nilai 10 npxG dengan tambahan 1 gol. Ia menunjukkan kecekapan yang masih tinggi dalam penyudahannya.

Palmer sebagai Pencipta Peluang Yang Sedang Menghadapi Kesukaran

Walaupun Palmer masih menjaringkan gol dengan kadar yang baik, dia kini menghadapi cabaran dalam peranannya sebagai pencipta peluang. Namun, bukan kerana dia kurang mencipta peluang tetapi kerana rakan sepasukannya gagal memanfaatkannya.

Sehingga kini, Palmer telah mencipta lebih banyak peluang berbanding mana-mana pemain lain di Liga Perdana Inggeris musim ini (66 peluang). Tetapi masalahnya, ramai rakan sepasukan gagal menyempurnakan peluang yang diciptanya.

Satu statistik yang dikeluarkan oleh Opta baru-baru ini mendapat perhatian ramai di media sosial:

Sejak 4 Disember, Palmer telah mencipta 32 peluang di Liga Perdana, lebih banyak daripada mana-mana pemain di lima liga utama Eropah. Namun, dalam tempoh 11 perlawanan itu, dia tidak mencatat satu pun bantuan gol.

Berdasarkan jumlah peluang yang dicipta, Palmer sepatutnya sudah mencatat 4 bantuan gol (berdasarkan jumlah expected assists). Namun, 12 rakan sepasukan telah mensia-siakan peluang daripada hantarannya dalam tempoh 3 bulan terakhir.

Siapa yang Paling Banyak Mensia-siakan Peluang yang dicipta oleh Palmer?

Dalam senarai pemain yang gagal memanfaatkan hantaran Palmer, Nicolas Jackson adalah penyumbang terbesar. Penyerang Senegal itu sedang melalui kemarau gol dalam 8 perlawanan liga dan telah beberapa kali mensia-siakan peluang yang dicipta Palmer.

Sebagai contoh, dalam perlawanan menentang Bournemouth pada bulan lalu, Jackson hampir menjaringkan gol melalui tandukan selepas menerima hantaran silang cantik daripada Palmer tetapi Mark Travers berjaya menepisnya. Begitu juga dalam perlawanan menentang Everton pada Disember di mana Jackson gagal menyempurnakan satu hantaran rendah yang sempurna dari Palmer dengan hanya menendang bola tepat ke arah Jordan Pickford.

Selain Jackson, Tosin Adarabioyo juga merupakan antara pemain yang gagal memanfaatkan hantaran Palmer. Ini menunjukkan bahawa banyak ancaman kreatif Palmer datang daripada situasi bola mati seperti sepakan sudut dan sepakan percuma.

Namun, bukan hanya mereka berdua – Levi Colwill dan Josh Acheampong juga telah mensia-siakan hantaran berkualiti daripada Palmer sejak beberapa perlawanan terakhir.

Palmer Hanya Mengalami Tempoh Sukar Bukan Kemerosotan

Kebarangkalian besar, ini hanyalah tempoh tidak bernasib baik bagi Palmer. Ia satu perkara biasa dalam bola sepak. Jika Chelsea tidak mendapat sepakan penalti sebanyak musim lalu, Palmer mungkin tidak akan melepasi rekod 22 gol yang dicatatkannya pada musim 2023-24. Namun, jika rakan sepasukannya mula lebih klinikal di hadapan gol, dia masih boleh mencapai atau melepasi jumlah 11 bantuan gol musim lalu.

Walaupun kini berdepan cabaran lebih besar daripada pertahanan lawan serta bermain dalam peranan baharu di bawah Enzo Maresca, Palmer masih berjaya mengekalkan tahap pengeluaran yang tinggi. Ini menunjukkan bahawa dia masih berada di tahap bintang sebenar Liga Perdana Inggeris.

Menariknya, dia melakukan semua ini dengan sentuhan bola yang lebih sedikit berbanding ketika di bawah kendalian Mauricio Pochettino. Musim ini, dia rata-rata mempunyai lapan sentuhan bola lebih rendah dan enam hantaran lebih sedikit setiap 90 minit.

Selagi dia kekal cergas dan bebas daripada kecederaan, Palmer dijangka akan terus menjadi pemain paling penting dalam serangan Chelsea untuk baki 14 perlawanan musim ini. Namun, faktor yang akan menentukan sama ada Chelsea mampu menamatkan musim dalam kelompok empat teratas bergantung keupayaan rakan sepasukannya untuk memanfaatkan setiap peluang yang dicipta oleh Palmer di bahagian serangan.

BACA:  Spurs Kembali Kuat: Siapakah Trio Tengah Terbaik Mereka?