Matic Gesa Manchester United Beli Pemain Yang Lebih Berpengalaman

Pemain tengah Manchester United, Nemanja Matic percaya Red Devils perlu mendapatkan pemain yang lebih berpengalaman dalam pasaran perpindahan yang bakal dibuka tidak lama lagi bagi memastikan mereka kekal berdaya saing musim hadapan.

United terlepas peluang untuk menjulang trofi musim ini selepas tumpas tipis 1-0 di tangan Chelsea dalam perlawanan akhir Piala FA hujung minggu lalu.

Matic mahu pemain yang lebih berpengalaman dibawa masuk musim panas ini bagi memberi lebih banyak kualiti dalam pasukan

Banyak pihak mengkritik pencapaian United yang hanya suam-suam kuku walaupun membelanjakan hampir  £170juta bagi mendapatkan pemain baru musim panas tahun lalu. Alexis Sanchez turut dibawa masuk dari Arsenal bagi memperkuatkan pasukan pada jendela perpindahan Januari lalu tetapi tiada sebarang trofi mampu dipamerkan kepada peminat Red Devils musim ini.

Walau bagaimanapun, Matic enggan menuding jari kepada Jose Mourinho atas kegagalan mereka memenangi sebarang trofi. Beliau percaya Mourinho perlu diberi sokongan penuh dari segi kewangan dalam jendela perpindahan pemain yang akan datang bagi membolehkan United bersaing di peringkat domestik dan Eropah musim hadapan.

“Saya rasa kami memerlukan beberapa pemain yang berpengalaman untuk meningkatkan lagi kualiti dalam pasukan ini. Selepas itu, barulah kami akan mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan juga Liga Juara-Juara Eropah.”

Mourinho perlu diberikan sokongan penuh sekali lagi dari segi kewangan untuk mendapatkan pemain yang dikehendakinya

“Saya juga percaya United semakin bertambah baik. Seperti semua sedia maklum, kami menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim lepas di kedudukan ke-6. Musim sebelum musim lepas United berada di kedudukan ke-5.”

“Jadi musim ini, kami bertambah baik dimana kami berjaya menduduki tangga ke-2. Hanya satu sahaja pasukan yang lebih baik daripada kami dan pasukan tersebut adalah Manchester City.”

“Semua dapat lihat Manchester City bermain bolasepak yang cukup cemerlang. Tetapi apa yang paling penting adalah kami berjaya menamatkan musim di kedudukan ke-2 dan akan bermain di Liga Juara-Juara Eropah sekali lagi musim hadapan.”

Matic turut mengulas mengenai kekalahan United di tangan bekas pasukannya, Chelsea Ahad lalu. Beliau berkata satu kesilapan sahaja sudah cukup untuk menghukum mana-mana pasukan yang bermain di pentas final.

Matic anak emas Mourinho. Sama seperti Michael Essien suatu ketika dahulu

“Seperti anda dapat lihat dalam perlawanan final tersebut, kami cuba untuk bermain bolasepak dengan baik. Tetapi Chelsea memiliki pemain seperti Eden Hazard yang mampu menghukum setiap kesilapan yang dilakukan anda.”

“Jadi kami harus menerima kekalahan ini dan mengkaji kembali bahagian yang kami perlu perbaiki musim hadapan bagi memenangi lebih banyak trofi.”

Matic dianggap salah seorang pemain kegemaran Jose Mourinho dimana pengurus berasal dari Portugal itu bertanggungjawab membawa Matic ke Chelsea pada tahun 2014 dan Manchester United musim lepas.

BACA:  Ini Sebab Penyokong Man Utd Tuntut Haaland Digantung Perlawanan Selepas Raikan Kejuaraan Premier League