Matilanak! Man Utd Akan Tamatkan Musim Dikelompok Bawahan Jika Ronaldo Dibuang

ten hag ronaldo

Gary Neville percaya bahawa Manchester United akan menamatkan saingan Premier League musim 2022/23 dikelompok bawahan jika mereka meneruskan rancangan untuk membuang Cristiano Ronaldo.

Manchester United kini berada ditangga tercorot liga selepas tewas dalam dua perlawanan awal kepada Brighton Hove and Albion dan Brentford tanpa mampu menjaringkan sebarang gol setakat ini.

Cristiano Ronaldo kembali ke kesebelasan utama dalam perlawanan menentang Brentford tapi gagal menghadirkan sebarang impak dalam kekalahan 4-0 itu.

Masa depan Ronaldo terus kelabu di mana pemain itu mahu meninggalkan kelab untuk beraksi di Champions League dan Setan Merah juga kini dilaporkan sudah bersedia melepaskan pemain bintang itu.

Namun menjadi persoalan, kelab yang ada slot Champions League manakah yang berminat?

Idea menjual pemain Portugal itu akan mendatangkan kemudaratan kepada kelab jika ia terjadi menurut pandang legenda kelab yang serba tahu Gary Neville dalam rancangan Monday Night Football:

“United akan disumpah jika mereka menjual Ronaldo. Satu sumpahan juga jika mereka tidak melepaskannya.”

“Jalan yang terbaik adalah permudahkanlah perpindahan Ronaldo.”

Gary Neville menegaskan Manchester United pasti akan menamatkan musim dikelompok bawahan jika Ronaldo dijual.

“Sekarang jika mereka kehilangan Ronaldo, tiada lagi penjaring gol yang ada.”

“Jika mereka membawa masuk pemain baru atau pemain tidak mempamerkan prestasi yang baik dan Ronaldo pula tiada, aku rasa mereka akan tamatkan musim di kelompok bawahan Premier League.”

Gary Neville sedar Setan Merah kini telah kehilangan semangat dan keyakinan selepas memperoleh semula keyakinan di pra musim namun telah kembali kepada keadaan asal usai musim bermula.

“Mereka kini telah kehilangan moral dan koyak rabak.”

“Pada pra musim Erik Ten Hag telah menaikkan tahap keyakinan mereka tapi mereka telah kembali ke tahap asal.”

“Gagal mendapatkan pemain yang dia inginkan adalah satu kejutan yang teramat besar.”

Bekas pemain pertahanan itu juga menyarankan Erik Ten Hag supaya lebih pragmatik untuk perlawanan seterusnya menentang Liverpool yang semestinya lawan sukar dari dua perlawanan awal.

“United akan mengharungi badai asmara dan akan melalui musim ini tetapi mereka akan menghadapi detik paling teruk sejak tersingkir liga 40 tahun lepas.”

“Kekalkan dengan apa yang kau lakukan untuk menentang Liverpool dan semoga mendapat keputusan yang baik.”

“Walaubagaimanapun, dia perlu lebih pragmatik pada isnin ini, semuanya tentang fizikal dan memilih pemain yang dia percayai untuk mendapatkan keputusan.”

Gary Neville sendiri seakan goyang dengan prestasi terkini Manchester United apatah lagi bertemu Liverpool yang padu menyerang walaupun tumpul tidak bergigi.

Kalau ikut gandaan bagi setiap perlawanan 2-0, 4-0, maka Liverpool akan membelasah Manchester United 6-0 atau 8-0?

Cristiano Ronaldo terus menimbulkan konflik di kem Manchester United selepas ingin berpindah tapi tiada yang berminat dan kini Setan Merah sudah sedia memudahkan urusan seperti mana dimahukan Gary Neville.

Manchester United kini dilaporkan sudah bersedia untuk berpisahkan dan ceraikan Cristiano Ronaldo jika ada yang berminat mendapatkan pemain bintang itu serta sedia terima tawaran dari mana-mana kelab.

Menurut laporan dari talkSPORT, kini sudah sedia dan bertekad untuk menerima tawaran bagi melepaskan Ronaldo dengan jendela perpindahan musim panas hanya tinggal 2 minggu lagi.

Menurut laporan dari Samuel Luckhurst pula yang juga menyatakan Erik Ten Hag bersedia untuk menjual Cristiano Ronaldo tetapi pengerusi bersama Manchester United, Joel Glazer menentang penjualan ini walaupun Ronaldo sendiri mahu pergi.

Pada tahun 2018, Glazer telah campur tangan dengan mengambil tindakan sama apabila menyekat segala usaha perpindahan Anthony Martial, dan ketika itu ejen Martial secara terbuka menyatakan pemain itu mahu pergi.

Kali terakhir Glazer menghadiri perlawanan Manchester United adalah pada April 2019 ketika menentang Barcelon di suku akhir Champions League namun dia masih lagi menjalankan tugas dan berhubung dengan Ketua Eksekutif, Richard Arnold setiap hari.

Ronaldo segera mahu dilepaskan bukan kerana kekalahan 4-0 kepada Brenford tetapi disebabkan bertikam lidah dengan penolong pengurus Manchester United, Steve McClaren.

Dengan kecederaan Anthony Martial yang sememangnya tidak boleh diharap, Ronaldo adalah harapan Setan Merah untuk menjaringkan gol melainkan mereka mendapatkan pemain baharu.

BACA:  Khabib Dedah Alasan Mengapa Cristiano Ronaldo Tinggalkan Juventus Dan Sertai United