Matyo Masih Bergetah Bantu Sarawak United Benam Kelantan United

Norshahrul Idlan bin Talaha atau nama popularnya Matyo membuktikan dirinya masih bergetah dan berbisa apabila menjadi nadi pasukan dengan membantu Sarawak United menewaskan Kelantan United.

Matyo kini kembali ke kancah liga tempatan selepas beraksi bersama kelab Thailand, BG Pathum United pada tahun 2020.

Walaupun sudah berusia 34 tahun, usia yang berstatus veteran bagi seorang pemain bola sepak, Matyo membuktikan kualiti dirinya masih tinggi.

Beraksi di Liga Perdana bersama Sarawak United, Matyo dilihat mampu membawa Sarawak United lebih jauh jika terus mengekalkan kualiti permainan seperti ini.

Kedua-dua gol Sarawak United yang dijaringkan oleh Cristie Jayaseelan dan Uche Agba pada separuh masa pertama adalah hasil air kaki daripada kreativiti Matyo.

Gol pertama bermula dari gerakan solo Matyo disebelah kanan padang sebelum memotong tanpa signal masuk ke kotak penalti sebelum membuat satu hantaran cantik.

Cristie Jayaseelan yang tidak dikawal mudah menolak masuk pada minit ke-12.

Tidak lama selepas itu Sarawak United hampir menggandakan kedudukan namun sayang percubaan Lee Chang Hoon sekadar menggegar palang.

Dua puluh minit kemudian Matyo datang lagi kali ini dari sebelah kiri, cubaan Matyo untuk memotong ketengah berjaya disekat tetapi menggunakan kekasaran.

Maka sepakan penalti diberikan dan Uche Agba menyempurnakan sepakan tersebut.

Kelantan United cuba bangkit pada separuh masa kedua namun tiada sentuhan penyudah yang baik dihadirkan. Kemasukan Badhri Radzi atau Piya gagal memberi impak.

Jika Matyo mampu mengekalkan aksi seperti ini, perlawanan Sarawak United pasti ditunggu ramai.

Ku yakin kau Matyo, kami semua ada disini, kami ada untukmu. Ku yakin kau Matyo. Nostalgia betul Matyo ni.

Sarawak United dilihat mampu pergi jauh dengan kehadiran jurulatih E Elavarasan yang mempunyai kemampuan membawa pasukan Liga Perdana ke Liga Super.

Perlawanan ini dipancarkan secara rasmi dari media sosial Sarawak United dan disiarkan secara percuma.

Baca Juga

Baca Juga