Mbappe Dedah Sebab Kenapa U-Turn Dari Sertai Real Madrid

Kylian Mbappe yang kini merupakan pemain bola sepak pertama mempunyai kuasa seperti pemilik kelab telah mendedahkan sebab kenapa beliau melakukan U-Turn dari menyertai Real Madrid.

Pemain bintang bola sepak dunia itu telah bertekad dan tidak bergogek langsung untuk meninggalkan PSG musim panas ini, dengan kontraknya akan tamat di Parc des Frances.

Mbappe dilaporkan hampir menandatangani kontrak dengan Real Madrid secara percuma.

Sebelum ini Kylian Mbappe telah memberi persetujuan lisan untuk menyertai Real Madrid dan Atok Perez setia menunggu menghitung hari menantikan majlis tandatangan secara rasmi.

Bagaimanapun, pemenang Piala Dunia itu berubah hati dan menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun pada hari Sabtu lalu – hari yang sama ketika dia menjaringkan hatrik ketika menentang Metz.

Dengan kontrak baharu Mbappe bakal menikmati gaji yang tidak masuk akal sebanyak €100 juta setahun tanpa cukai yang ditanggung oleh PSG.

Khabar angin juga bertebaran bahawa perjanjian baharunya memberinya kuasa menentukan siapa pengurus seterusnya dan akan menyaksikan Mbappe menyandang tugas selaku kapten dan pengambil sepakan penalti.

PSG telah mengadakan sidang akhbar dengan Kylian Mbappe telah mendedahkan sebab yang telah membuka hatinya bagi mengubah fikirannya.

“Semua orang tahu saya mahu pergi tahun lepas dan saya yakin itu adalah keputusan terbaik pada masa itu,” kata Mbappe kepada media.

“Setahun berlalu tetapi mereka berbeza dan konteksnya berbeza sekarang. Itu berlaku untuk istilah sukan dan juga secara peribadi, saya bebas membuat keputusan, dan saya tahu betapa pentingnya itu di Perancis.

“Ia adalah negara tempat saya dibesarkan. Saya selalu tinggal di sini dan meninggalkan negara saya bukanlah perkara yang betul. Terdapat aspek sentimental kepadanya. Ia adalah negara saya.

“Projek sukan juga telah berubah. Itu membuatkan saya mahu kekal kerana saya rasa kisah saya belum tamat lagi.

Selepas memberi alasan cintakan negara, Mbappe juga menghantar mesej kepada penyokong Los Blancos yang menyangka mereka akan melihatnya dalam pasukan mereka musim depan.

Mbappe menambah:

“Mesej kepada peminat Real Madrid? Saya ingin mengucapkan terima kasih, kerana mereka sentiasa menerima saya sebagai salah seorang daripada mereka.

“Saya faham kekecewaan mereka dan saya harap mereka faham saya memutuskan untuk tinggal di negara saya.”

Kylian Mbappe dikatakan tertarik dengan tawaran terakhir PSG walaupun sebelum itu dilaporkan sudah sedia ke Real Madrid. Kecur air liur gelap mata terus.

Mana tidaknya, tawaran itu membolehkan Mbappe menerima €300 juta bonus tandatangan kontrak. Kemudian gaji €100 juta semusim selepas cukai.

Juara saingan Ligue 1 itu menawarkan kepada Kylian Mbappe untuk menjadi Ketua projek sukan mereka yang mana bintang Perancis itu akan memiliki kuasa besar yang digelar ‘kuasa pemilik’ dalam kelab.

Bukan hanya tawaran melibatkan duit, mereka bahkan turut memberi kelebihan yang sungguh dasyat kepada pemenang Piala Dunia itu yang mampu merosakkan bola sepak.

Ia merupakan tawaran terbaik yang boleh diberikan oleh PSG kepada Kylian Mbappe dalam usaha mereka mahu menghalang bintang Perancis itu dari menyertai Real Madrid.

Hanya sehari selepas Mbappe diberikan kuasa untuk terlibat dalam menentukan jawatan seperti pengurus dan Pengarah Sukan, pada hari ini PSG terus mengumumkan Pengarah Sukan mereka, Leonardo dipecat.

PSG mahu memastikan projek baharu mereka sesuai dengan kehendak Mbappe dan sesuai dengan usaha mereka mahu menjadikan Mbappe teras kepada projek baharu.

Masa depan Leonardo sebelum ini memang sudah dibincangkan oleh PSG. Terutama sekali selepas mereka gagal memenangi UCL musim lalu. Dan keadaan menjadi lebih buruk apabila musim ini pun mereka turut gagal.

Mbappe tidak suka dengan Leonardo. Dan kedua dua mereka dikatakan seringkali tak sehaluan.

BACA:  Aksi Mbappe Membuat Larian Pantas Ketika Bertemu Jerman Mencuri Tumpuan Peminat