Bukan sahaja hebat di atas padang, tetapi juga seorang yang berhati mulia dan dermawan. Itulah Kylian Mbappe, pemain remaja sensasi yang baru sahaja membantu Perancis merangkul trofi Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah.
Mbappe yang bermain untuk Paris Saint-Germain lebih dikenali kerana kepantasan dan kelincahannya di atas padang. Kebolehan luar biasa yang dimiliki pemain berusia 19 tahun itu menyebabkan PSG sanggup membayar £166 juta untuk mendapatkan khidmat Mbappe dari Monaco.
Jumlah tersebut merupakan yuran perpindahan kedua tertinggi sepanjang sejarah bola sepak, yang mana rakan sepasukannya di PSG, Neymar memegang rekod tersebut.
Mbappe tiba di Russia selaku pemain harapan Perancis dan aksi beliau sepanjang Piala Dunia 2018 berlangsung nyata tidak mengecewakan. Prestasinya memuncak sebaik sahaja Piala Dunia memasuki peringkat kalah mati.
OUR LOVE ???⭐️⭐️ https://t.co/fKz7iC6GNQ
— Premiers de Cordée (@PremiersdCordee) July 15, 2018
Siapa boleh lupa persembahan beliau ketika menentang Argentina dimana Mbappe berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Argentina dan menjaringkan dua gol. Beliau menamatkan kempen Piala Dunia 2018 dengan 4 gol dari 7 perlawanan dan beliau juga dinamakan sebagai pemain muda terbaik edisi Piala Dunia kali ini.
Tetapi apa yang lebih mengagumkan mengenai Mbappe adalah sifat pemurah dan dermawan yang dimilikinya walaupun umur baru setahun jagung.
Sebelum bermulanya Piala Dunia, Mbappe sudah merancang untuk mendermakan semua duit yang beliau akan terima dari pembabitannya bersama Perancis di Piala Dunia kepada sebuah pertubuhan NGO,Premiers de Cordée. Badan kebajikan ini menyediakan khidmat jurulatih percuma kepada kanak-kanak kurang keupayaan untuk berjinak dalam sukan.
Mbappe bercadang untuk membantu kanak-kanak yang tidak bernasib baik ini supaya mereka mendapat peluang untuk bermain sukan yang mereka minati. Mbappe percaya duit yang akan beliau terima dari Piala Dunia lebih baik digunakan untuk tujuan kemanusiaan.
Mbappe menerima £17,000 ($19,915) untuk setiap perlawanan Piala Dunia, ditambah bonus kemenangan berjumlah £265,000 ($310,2017) setiap kali Perancis menang. Berikutan kejayaan Perancis merangkul trofi Piala Dunia 2018, Mbappe telah mengumpul hampir $449,606 (£384,000) untuk didermakan kepada pertubuhan kebajikan tersebut.
Selain itu, Mbappe juga kerap dilihat melawat rumah pertubuhan kebajikan itu untuk bermain dengan kanak-kanak disitu. Menurut pengurus besar Premiers de Cordée, Sebastian Ruffin, Mbappe merupakan seorang individu yang berhati mulia.
“Kylian merupakan individu yang baik hati. Apabila jadual mengizinkan, beliau akan singgah di sini untuk bermain dengan kanak-kanak kami. Beliau mempunyai hubungan yang bagus dengan kanak-kanak di sini – beliau sering memberikan kata-kata semangat kepada penghuni rumah ini.”
Berikutan keputusan Mbappe untuk mendermakan duit Piala Dunia beliau kepada pertubuhan kebajikan, beberapa pemain Perancis yang lain juga turut melakukan perkara yang sama tetapi identiti pemain tidak dapat diketahui.