McGregor Cuba Sepak Poirier Ketika Sesi ‘Face Off’ Sebelum Pertarungan Mereka Di Acara UFC 264

Hujung minggu ini akan memperlihatkan pertembungan ketiga antara Conor McGregor bertemu Dustin Poirier seterusnya melengkapkan trilogy perlawanan terhebat dalam sejarah UFC.

Perlawanan itu akan dilangsungkan di T-Mobile Arena di Nevada, Las Vegas pada 10 Julai dan McGregor bertekad untuk melakukan apa saja untuk menang dalam perlawanan tersebut.

Ketika di akhir sesi sidang media untuk acara UFC 264, kedua-dua petarung itu telah saling bertemu di atas pentas dengan Presiden UFC, Dana White turut berdiri di tengah-tengah antara mereka.

McGregor dilihat lebih yakin dengan beliau menunjukkan penumbuk tepat ke muka Poirier sambil mengancam lawannya itu tentang apa yang akan beliau lakukan pada hari perlawanan nanti.

Poirier turut tidak berundur dan dilihat sama sekali tak goyang dengan ancaman McGregor, bahkan The Diamond nampak begitu tenang ketika berdepan dengan lawannya itu.

McGregor kemudiannya maju ke depan sambil menyepak Poirier, namun tendangan beliau itu tidak mengenai sasaran yang beliau sasarkan.

The Notorious kemudiannya berundur sambil terus memerhatikan lawannya itu yang sedang ketawa bersama White dengan The Diamond dilihat sangat tenang berdepan dengan situasi tersebut.

McGregor memang sudah jadi kebiasaannya beliau untuk lari dengan cara seperti itu selepas melakukan taktik keji memukul curi lawannya.

Kali terakhir kedua-dua mereka bertemu adalah pada Januari lalu dengan Poirier ketika itu berjaya menewaskan McGregor menerusi kemenangan TKO.

Perlawanan pertama yang menemukan kedua-dua petarung ini pula telah diadakan pada tahun 2014 yang lalu, dengan McGregor pada ketika itu berjaya menewaskan Poirier dengan kemenangan TKO pada pusingan pertama.

McGregor dan Poirier ketika sesi face off

Ia bermaksud, kedua-dua mereka akan turun pada hujung minggu ini dengan masing-masing mempunyai rekod satu kemenangan dan satu kekalahan.

Kerana itulah pertarungan antara mereka berdua dianggap trilogy perlawanan terhebat dalam sejarah UFC dan pertemuan ketiga mereka turut dinanti-nantikan oleh para peminat.

Selepas kejayaan Poirier menewaskan McGregor pada awal tahun lalu, seteru utama petarung Ireland itu, Khabib Nurmagomedov telah memuat naik status di laman twitter miliknya dengan menyatakan:

“Inilah apa yang akan berlaku ketika kamu mengkhianati pasukan kamu sendiri, meninggalkan sparring partner yang menjadikan kamu Juara dan kamu memilih untuk sparring dengan budak kecik, kamu sudah jauh dari dunia nyata.”

Conor McGregor baru-baru ini turut bersumpah yang beliau akan bunuh Dustin Poirier ketika aksi pertembungan antara mereka hujung minggu ini.

Beliau dengan yakin menyatakan yang Dustin Poirier akan diusung keluar dari gelanggang dengan menggunakan stretcher kerana dibelasah teruk olehnya nanti.

McGregor terus bermain permainan minda untuk mengganggu lawannya itu menjelang aksi pertarungan lightweight di Las Vegas pada hujung minggu ini nanti.

Bekas Juara dunia UFC itu telah menyatakan yang ‘The Diamond’ bakal menjadi mayat dan jenazahnya akan diusung keluar dari gelanggang selepas tamat perlawanan mereka nanti.

Bercakap dengan The MacLife, petarung berusia 32 tahun itu menyatakan yang:

“Dia mayat, seketul jenazah yang kaku dan tidak akan mampu untuk bangkit kembali dan dia akan diusung keluar dengan menggunakan stretcher.”

Seandainya McGregor berjaya menewaskan Poirier hujung minggu ini, beliau akan berpeluang untuk bertarung dalam pertarungan merebut kejuaraan di Allegiant Stadium Disember nanti.

“Saya rasa mungkin pada Christmas nanti, Disember.”

Jelas beliau.

“Saya tak tahu, kita akan bincangkan nanti. Tapi kejuaraan dunia itu akan dipertandingkan di Allegiant Stadium di sini Las Vegas, saya rasa begitu.”

“Saya suka dengan itu. Ia dipanggil ‘The Death Star’, dan itulah apa yang saya rasa sekarang. A Death Star.”

“Setiap serangan yang akan saya lancarkan dalam perlawanan ini adalah serangan pembunuh, jadi itulah dia. Saya akan habiskan dia.”

“Saya akan ajar dia cukup-cukup, ia hanya perlawanan antara saya bertemu dengan seorang budak yang menggigil ketakutan.”

“Dia bertarung dalam keadaan yang takut seperti apa yang sering dia tunjukkan, jadi sekarang saya akan ajar dia, saya akan anggap dia seperti makanan lepas tu saya akan makan dia.”

Kedua-dua petarung itu turun dengan berat, tinggi dan usia yang sama dengan McGregor berusia 32 tahun, ketinggian 5.8ft serta berat 155lbs, sama seperti Poirier.

Sumber: GMS

BACA:  Reaksi Khabib Nurmagomedov Melihat McGregor Lunyai Di Tangan Poirier