Menang Liga Europa Pun Tak Akan Selesai Masalah United – Ruben Amorim

Kejayaan di Liga Europa Tidak Cukup untuk Selamatkan Musim Manchester United – Ruben Amorim

Ruben Amorim menegaskan bahawa kejayaan di Liga Europa sahaja tidak mencukupi bagi Manchester United dan menjuarai trofi tersebut tidak akan “menyelamatkan musim” mereka.

Manchester United bakal berdepan Real Sociedad dalam pusingan 16 terbaik kejohanan itu, yang merupakan peluang terakhir mereka untuk meraih sebarang kejuaraan pada musim 2024-25.

Kekalahan United di pusingan kelima Piala FA kepada Fulham pada Ahad lalu menambahkan lagi kesukaran dalam kempen domestik mereka. Ketika ini, mereka berada di kedudukan ke-14 dalam carta Liga Perdana Inggeris, jika kekal hingga akhir musim, ia bakal menjadi pencapaian liga terburuk mereka sejak penyingkiran pada tahun 1974. Lebih membimbangkan, mereka juga berisiko terlepas kelayakan ke kejohanan Eropah untuk musim 2025-26.

Sekiranya United berjaya menjuarai Liga Europa, ia bukan sahaja menjadi trofi pertama Amorim sebagai ketua jurulatih kelab itu, tetapi juga akan memastikan mereka layak ke Liga Juara-Juara musim depan, yang akan memberi lonjakan kewangan yang besar kepada kelab.

“Di kelab ini, setiap kejohanan sangat penting, tekanan untuk menang sentiasa sama,” kata Amorim kepada TNT Sports sebelum perlawanan menentang Real Sociedad di Sepanyol.

“Bukan sekadar menang tetapi juga bagaimana kami bermain. Saya rasa tekanan ke atas kami cukup besar dan ramai yang melihat Liga Europa sebagai satu-satunya kejohanan yang boleh menyelamatkan musim kami.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan itu. Tiada apa yang boleh menyelamatkan musim ini kerana di kelab ini, kami perlu beraksi dengan baik dalam setiap kejohanan.”

Dalam sidang media menjelang perlawanan pada hari Rabu, Amorim turut menjelaskan kenyataannya sebelum ini mengenai kemungkinan beliau tidak akan berada di United untuk jangka masa panjang.

“Apa yang saya maksudkan ialah, sebagai sebuah kelab, kami perlu melihat projek jangka panjang dan bukan sekadar menyelesaikan masalah buat sementara waktu,” jelas Amorim.

“Jika kami memenangi piala ini, kami berada dalam kedudukan yang lebih baik. Jika kami menjuarai Liga Europa, kami akan berada dalam situasi yang sangat baik pada musim depan tetapi masalah yang ada di kelab ini tetap akan berterusan walaupun kami layak ke Liga Juara-Juara.

“Saya hanya mahu menunjukkan bahawa saya ambil berat dan saya sangat yakin dengan orang-orang di dalam kelab ini. Itu sahaja. Saya cuba memberi gambaran yang lebih luas kepada para penyokong kami.”

Manchester United akan menentang Real Sociedad pada hari Khamis sebelum melayan kunjungan kelab dari Sepanyol itu di Old Trafford seminggu kemudian. Di antara dua perlawanan itu, mereka turut akan berdepan Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris di laman sendiri pada 9 Mac.

Baca Juga

Baca Juga