Peminat bola sepak di UK mendapat satu berita menggembirakan pada Krismas lepas apabila diumumkan Jeff Stelling dan Chris Kamara akan kembali bergandingan pada Boxing Day.
Dua sahabat baik yang terkenal menerusi program Soccer Saturday di Sky Sports itu akan bekerjasama semula selepas dua tahun. Kamara bertugas sebagai pengulas perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Nottingham Forest dan Tottenham Hotspur, sementara Stelling berada di studio sebagai hos. Lebih istimewa, kepulangan Kamara ke skrin TV menjadi detik bermakna terutama selepas keadaan kesihatannya semakin pulih, ia membawa kegembiraan kepada penonton Amazon Prime.
Namun, dalam masa yang sama, era lain bakal berakhir.
Berakhirnya Penglibatan Amazon di Liga Perdana
Amazon bakal menutup tirai enam tahun penglibatannya sebagai pemegang hak penyiaran Liga Perdana Inggeris. Gergasi penstriman itu menyiarkan kesemua 10 perlawanan pada 26 dan 27 Disember lepas sebelum menamatkan siarannya untuk selama-lamanya. Perlawanan terakhir yang mereka tayangkan adalah aksi Arsenal menentang Ipswich Town.
Musim depan menandakan permulaan kontrak baharu hak penyiaran domestik Liga Perdana dan Amazon tidak lagi menjadi sebahagian daripadanya. Sebanyak 270 perlawanan akan disiarkan, kesemuanya menerusi Sky Sports dan TNT Sports melalui perjanjian bernilai £6.7 bilion yang berlangsung sehingga 2029.
Amazon memilih untuk tidak membida. Sebelum ini, mereka membayar sekitar £30 juta setiap musim untuk menyiarkan 20 perlawanan. Namun, apabila Liga Perdana membuka bidaan baharu pada tahun 2023, pakej paling kecil yang ditawarkan adalah 56 perlawanan setahun. Pakej itu dimenangi oleh TNT. Sky pula mengekalkan dominasi mereka sebagai rakan penyiar utama Liga Perdana.
Mengapa Amazon Berundur?
Perbelanjaan yang diperlukan untuk mengekalkan hak penyiaran Liga Perdana terlalu tinggi buat Amazon. Untuk kekal dalam pasaran, mereka perlu membayar sehingga 10 kali ganda lebih banyak berbanding sebelumnya. Amazon merasakan keputusan untuk menarik diri sebagai langkah paling rasional.
Amazon kini mengalihkan fokus bola sepaknya ke Liga Juara-Juara dengan sebahagian hak penyiaran diperoleh di UK, Jerman, dan Itali.
“Jika anda mahu mencabar Sky, anda perlu membayar jumlah yang cukup besar,” kata Francois Godard, penganalisis kanan di Enders Analysis. “Amazon memilih untuk tidak berbuat demikian kerana ia tidak sesuai dengan model perniagaannya di UK.”
Peranan Amazon dalam Penyiaran Liga Perdana
Amazon mula terlibat dengan Liga Perdana pada Jun 2018 apabila mereka berjaya mendapat satu daripada dua pakej hak penyiaran yang gagal mencapai harga rizab dalam bidaan asal. Pakej itu memberi Amazon hak untuk menyiarkan 20 perlawanan setiap musim, sekali pada pertengahan Disember dan sekali lagi selepas Krismas.
Ketika itu Ketua Eksekutif Liga Perdana, Richard Scudamote menyifatkan Amazon sebagai “rakan kongsi baharu yang menarik.” Namun penganalisis berpendapat perjanjian itu lebih kepada strategi untuk menarik syarikat penstriman ke pasaran hak penyiaran bola sepak.
Amazon menggunakan hak penyiaran itu untuk menarik pelanggan ke perkhidmatan utama mereka. Waktu penyiaran mereka dipilih dengan bijak iaitu antara Black Friday dan Krismas. Ia satu tempoh membeli-belah paling sibuk dalam kalendar tahunan.
Strategi ini ternyata berjaya. Apabila mereka mula menyiarkan perlawanan pada Disember 2019, Amazon mencatatkan jumlah langganan tertinggi dalam sejarahnya selama dua malam berturut-turut. Ketika Manchester City menewaskan Arsenal 3-1 pada Februari 2023, lebih 4 juta penonton menonton perlawanan tersebut menerusi platform mereka.
Namun selepas 6 tahun, Amazon merasakan mereka telah mendapat manfaat maksimum daripada Liga Perdana. Kini mereka lebih memberi tumpuan kepada kandungan lain seperti Liga Juara-Juara.
Masa Depan Hak Penyiaran Liga Perdana
Ketiadaan Amazon tidak menjejaskan Liga Perdana. Pada tahun 2023 mereka berjaya menjual 5 pakej hak penyiaran untuk tempoh 4 tahun dengan nilai sekitar £1.68 bilion setahun. Ia peningkatan sebanyak 4% berbanding sebelumnya. Ini menunjukkan model penyiaran Liga Perdana masih kukuh berbanding liga Eropah lain yang sedang bergelut untuk menjual hak domestik mereka.
Namun, landskap penyiaran sukan terus berkembang. Beberapa platform baharu mula menunjukkan minat terhadap hak penyiaran sukan secara langsung.
- DAZN memperoleh hak eksklusif Piala Dunia Kelab FIFA 2025.
- Netflix membeli hak penyiaran Piala Dunia Wanita 2027 dan 2031.
- Apple TV menandatangani perjanjian 10 tahun dengan MLS yang bernilai $2.5 bilion pada 2022.
Walaupun penstriman sukan semakin menarik perhatian syarikat teknologi namun ia masih mempunyai risiko. Persoalan utama adalah, sama ada pelaburan besar dalam Liga Perdana dapat menghasilkan lonjakan langganan yang mencukupi untuk menampung kos tinggi tersebut.
“Kami akan melihat sama ada bidaan seterusnya akan menarik lebih banyak syarikat penstriman,” kata Godard. “Netflix, YouTube dan Apple sudah mula melabur dalam hak penyiaran sukan tetapi mereka perlu mengukuhkan model perniagaannya di Amerika Syarikat sebelum mencuba di Eropah.”
Buat masa ini Liga Perdana masih bergantung kepada penyiar tradisional seperti Sky dan TNT. Dengan perubahan teknologi dan peralihan ke arah penyiaran dalam talian, terdapat kemungkinan Liga Perdana sendiri akan menawarkan perkhidmatan penstriman mereka pada masa akan datang.
“Semua sedang bergerak ke arah penstriman,” kata Paolo Pescatore, penganalisis di PP Foresight. “Saya menyebutnya sebagai ‘penutupan besar TV’ di mana siaran TV tradisional akan berakhir sekitar tahun 2034. Ketika itu, semua kandungan akan disiarkan melalui internet.”
Bagi Amazon, mereka kini hanya akan menjadi pemerhati. Selepas enam tahun mencuba, mereka sekarang memilih untuk berundur daripada Liga Perdana.