Mengapa Moussa Dembele Pemain Paling Penting Untuk Spurs Ketika Ini

Moussa Dembele bukan lah pemain bolasepak yang selalu anda lihat di kaca televisyen anda. Walaubagaimanapun, beliau adalah komponen terpenting di bahagian tengah Tottenham musim ini atas beberapa sebab.

Beliau bukan pemain tengah yang menjaringkan gol seperti Frank Lampard, bukan pemain tengah yang mencipta peluang seperti Mesut Ozil, tetapi akan diingati peminat Spurs sebagai salah seorang pemain tengah terbaik yang pernah menyarung jersi kelab tersebut.

‘Gary Steven Robbat’ Belgium

Dembele sedang mengharungi 1545 minit perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara tanpa sebarang gol. Pada masa yang sama juga, beliau tidak mencipta sebarang assists buat rakan sepasukannya dan telah mengutip 5 kad kuning.

Dari segi bentesen, Dele Alli mempunyai purata bentesan yang lebih tinggi daripada beliau manakala Eric Dier memintas lebih banyak bola dalam Liga Perdana Inggeris berbanding Dembele.

Dalam kata mudah, statistik bukanlah rakan baik kepada Dembele. Tetapi bolasepak bukanlah statistik semata-mata. Sebab itulah Dembele bukan seorang pemain bolasepak yang anda selalu tonton di kaca Astro.

Khedira tiada jawapan kepada penguasaan Dembele

Sebilangan besar peminat Tottenham tentu bersetuju jika Dembele diangkat menjadi antara pemain tengah terbaik yang mereka pernah ada. Kenyataan ini disokong dengan persembahan cemerlang beliau ketika mendominasi bahagian tengah Juventus yang terdiri daripada Sami Khedira dan Miralem Pjanic.

Persembahan dominan pemain berusia 30 tahun dalam perlawanan tersebut mengingatkan peminat Spurs selain Harry Kane, Dembele adalah pemain yang sangat penting buat mereka.

Dembele memiliki pergerakan yang sangat unik di atas padang. Jarang untuk kita melihat bola dirampas daripada penguasaannya oleh kerana keunikan beliau melindungi bola. Beliau mampu memperdayakan pihak lawan dengan gerakan bahu yang sangat mengelirukan.

Turut cemerlang ketika menapau Arsenal tempoh hari

Dembele memulakan karier di Germinal Beerschot dan pernah bermain bersama Willem II dan AZ Alkmaar. Pada usia remajanya, beliau diletakkan bermain di posisi sayap atau penyertang walaupun tidak memiliki naluri menjaringkan gol yang bagus.

Selama bermain di Belanda, beliau hanya menjaringkan 37 gol dari 160 perlawanan, dengan purata 1 gol dari 4 perlawanan. Satistik yang tidak berapa baik buat seorang penyerang.

Pengurus Fulham pada tahun 2010, Martin Jol melihat potensi yang ada pada Dembele dan membelanjakan £5juta untuk membawa beliau ke England. Jol juga adalah individu yang bertanggungjawab menukar posisi Dembele dari penyerang kepada pemain tengah.

Ketika bermain di Fulham, beliau mendapat lesen untuk bergerak lebih ke hadapan dengan adanya pemain tengah defensif seperti Danny Murphy dan Mamadou Diarra. Akhirnya pada Ogos 2012, beliau menyertai revolusi Andre Villas Boas di White Hart Lane.

Permulaan kariernya bersama Spurs bukanlah seperti yang diharapkan. Beliau hanya menjaringkan 4 gol dari dua musim pertamanya bersama Spurs dibawah kendalian Villas-Boas dan Tim Sherwood.

Pochettino berjaya meningkatkan permainan Dembele ke tahap lebih tinggi

Tidak lama selepas itu, Mauricio Pochettino muncul dan menukarnya menjadi antara pemain tengah terbaik di England dan juga disegani di peringkat Eropah. Beliau tidak setangkas N’golo Kante atau mempunyai bentesan seperti Casameiro.

Tetapi apa yang membezakan Dembele dengan pemain tengah yang lain adalah keunikan beliau melindungi bola dari dirampas pemain lain dan keupayaan beliau melepasi garisan pertahanan pihak lawan dengan kekuatan badan yang dimilikinya.

Pemain yang jarang anda lihat tetapi sangat penting untuk pasukan yang diwakilinya. Musim ini mungkin sudah terlambat untuk Dembele membantu Spurs meraih kejuaraan liga, tetapi beliau berpeluang memacu pasukannya mara lebih jauh dalam Liga Juara-Juara andainya beliau mampu mengekalkan persembahan yang ditampilkannya ketika mengikat Juventus.

BACA:  Carabao Cup 2020/21: Tottenham Hotspur * 1-1 Chelsea (Pen. 5-4)