Pasukan Baharu Dipromosi Semakin Sukar Bertahan
Sejarah Mungkin Berulang
“Memang dari dulu macam tu.” Itulah reaksi biasa apabila seseorang menyebut 3 pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana berkemungkinan besar akan turun semula ke Championship selepas hanya semusim.
Memang benar bahawa pasukan baharu sering bergelut untuk kekal di Liga Perdana terutama dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi musim lalu adalah kali pertama sejak 1998 (kali kedua dalam sejarah) ketiga-tiga pasukan yang baru dinaikkan jatuh semula ke Championship.
Adakah perkara yang sama akan berlaku pada musim ini? Jika melihat kepada prestasi semasa Ipswich Town, Leicester City dan Southampton, kebarangkaliannya adalah tinggi.
Prestasi Merosot dan Kekalahan Berturut-turut
Pada hujung minggu lalu menjadi satu lagi mimpi ngeri buat ketiga-tiga pasukan ini. Mereka tewas di tempat sendiri, kesemuanya bolos 4 gol dan kedudukan mereka dalam carta liga semakin membimbangkan walaupun masih ada sepertiga musim yang peelu dimainkan.
Situasi lebih parah untuk Southampton dan Leicester. Peminatnya sudah mula menerima hakikat bahawa pasukan mereka mungkin tersingkir dari Liga Perdana. Kekalahan 4-0 Southampton kepada Brighton & Hove Albion jelas menunjukkan masalah besar. Pengurus mereka, Ivan Juric menggelar prestasi pasukan sebagai “bencana” dan mengakui mereka gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan baharu.
Leicester juga mengalami nasib yang sama. Mereka tewas 4-0 kepada Brentford. Mereka sudah 6 kali berturut-turut kalah di tempat sendiri tanpa menjaringkan sebarang gol. Pengurus mereka, Ruud van Nistelrooy mengakui bahawa pasukannya berada dalam keadaan di mana mereka harus menerima hakikat bahawa setiap minggu mereka bertemu pasukan yang lebih baik.
Perbandingan dengan Pasukan Tersingkir Musim Lalu
Untuk memahami betapa sukarnya situasi Ipswich, Leicester dan Southampton, semua boleh melihat kepada Sheffield United, Burnley dan Luton Town pada musim lalu. Statistik menunjukkan bahawa mereka adalah pasukan tercorot paling teruk dalam sejarah Liga Perdana, hanya mengumpul 66 mata secara gabungan, 10 mata lebih rendah daripada rekod sebelum ini.
Pada musim ini, Ipswich, Leicester dan Southampton dijangka mengakhiri kempen dengan jumlah mata lebih rendah, iaitu 63 secara gabungan. Mereka juga mempunyai 2 kemenangan lebih sedikit daripada Sheffield United, Burnley dan Luton pada peringkat yang sama musim lalu, serta telah bolos 174 gol.
Berdasarkan prestasi semasa, Ipswich dan Leicester dijangka hanya akan mengutip 25 mata pada akhir musim, satu jumlah yang tidak cukup untuk kekal di Liga Perdana.
Cabaran Kewangan Pasukan Baharu
Dari segi kewangan, perbelanjaan besar yang dilakukan oleh pasukan yang baru naik liga menunjukkan betapa sukarnya mereka bersaing. Pada musim panas lepas Ipswich membelanjakan £106 juta, menjadikannya perbelanjaan ke-13 tertinggi dalam bola sepak dunia, mengatasi kelab besar seperti Al Ittihad dari Arab Saudi. Southampton pula membelanjakan £99 juta manakala Leicester £73 juta.
Melihat kepada angka ini, mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa mereka masih bergelut. Realitinya, pasukan yang baru naik ke Liga Perdana kini perlu mengejar jurang yang semakin besar dan sukar untuk ditewaskan dalam hanya satu jendela perpindahan.
Ini lebih ketara bagi Ipswich, yang telah 22 tahun tidak bermain di Liga Perdana dan 2 tahun lalu mereka bersaing di League One menentang pasukan seperti Forest Green Rovers.
Jurang Liga Perdana dan Championship Makin Besar
Jurang antara Liga Perdana dan Championship semakin melebar setiap musim. Bukan hanya di atas kertas tetapi juga jelas kelihatan apabila menonton perlawanan di kedua-dua peringkat liga.
Satu musim perbelanjaan besar tidak mencukupi untuk merapatkan jurang kualiti pemain, kedalaman skuad dan gaji. Kelab-kelab pertengahan liga Liga Perdana telah membina kelebihan besar dalam tempoh masa yang panjang.
Adakah Masih Ada Harapan?
Sudah tentu, masih ada penyokong Leicester dan Southampton yang menaruh harapan. Kedua-dua kelab itu pernah menikmati tempoh panjang di Liga Perdana sebelum tersingkir pada 2023. Mereka mungkin melihat contoh Fulham dan Bournemouth yang kembali ke Liga Perdana dan berjaya kekal disana.
Namun, kejayaan bertahan bukan hanya bergantung pada kekuatan sendiri. Ia juga memerlukan satu pasukan Liga Perdana lain mengalami musim yang sangat buruk, seperti yang berlaku kepada Leicester dan Southampton pada musim 2022-23.
Nottingham Forest, yang terselamat di tempat ke-17 musim lalu dengan hanya 32 mata, menjadi contoh bahawa pasukan yang berpengalaman dalam liga ini lebih sukar untuk jatuh ke Champ7. Wolverhampton Wanderers misalnya, kini beraksi di bawah purata 1 mata untuk setiap perlawanan tetapi masih selamat dari zon penyingkiran.
Strategi Bertahan: Adakah Berbaloi?
Forest adalah contoh terbaru pasukan yang kembali ke Liga Perdana selepas lama berada di luar liga utama dan berjaya kekal di sana. Namun, mereka melakukannya dengan cara yang kontroversi, menandatangani 22 pemain dengan kos £150 juta dan kemudian dikenakan pemotongan 4 mata kerana melanggar peraturan kewangan liga.
Adakah strategi ini berbaloi? Pada akhirnya, ya. Hari ini perbelanjaan besar mereka tidak lagi dipersoalkan kerana kelab itu kini sedang mengejar tempat dalam kelompok 4 teratas.
Kitaran Naik dan Turun
Satu perkara yang menarik ialah, walaupun Sheffield United dan Burnley kelihatan terlalu lemah untuk Liga Perdana musim lalu, mereka kini berada dalam kedudukan ke-2 dan ke-3 di Championship dan berpeluang besar untuk naik semula ke Liga Perdana.
Sebahagian daripada kejayaan itu datang daripada parachute payment yang diberikan oleh pihak Liga Perdana. Kelab yang tersingkir dari Liga Perdana akan menerima £49 juta untuk membantu menstabilkan kewangan mereka. Sebagai perbandingan, kelab Championship lain hanya menerima kira-kira 10% daripada jumlah itu.
Ini menyebabkan perdebatan tentang ketidakseimbangan kewangan dalam EFL. Luton, yang kini berada di dasar Championship dan berisiko mengalami back to back relegate cuba membuktikan bahawa masih ada cara untuk bersaing tanpa bantuan kewangan yang besar.
Leicester: Dari Juara ke Krisis
Pada musim lepas Leicester dianggap sebagai kelab Liga Perdana yang tersesat di Championship. Namun, pemergian pengurus Enzo Maresca dan bintang mereka Kiernan Dewsbury-Hall ke Chelsea memberikan tamparan besar. Kini, keadaan di dalam dan luar padang semakin merosot.
Namun, sejarah membuktikan bahawa keajaiban boleh berlaku. Leicester pernah melakukan “Great Escape” pada 2015 apabila mereka bangkit daripada kedudukan tercorot untuk kekal di Liga Perdana. Setahun kemudian mereka muncul sebagai juara liga.
Namun dengan situasi semasa, ramai yang bimbang bahawa skrip kali ini sudah ditulis dan penghujungnya tidak akan berubah. Pasukan baru naik ke Liga Perdana akan kembali tersingkir ke Championship.