Mengapa Pemain Scouser (Anak Jati) Semakin Berkurang Dalam Derby Merseyside?

Pemain Tempatan Semakin Berkurangan dalam Derbi Merseyside

Ketika David Moyes mengendali Everton buat pertama kali, perlawanan derbi Merseyside mempunyai keistimewaan tersendiri.

Pada masa itu, di kem biru (Everton) mempunyai pemain seperti Tony Hibbert, Leighton Baines, Ross Barkley, Jack Rodwell dan Victor Anichebe. Sementara itu di kem merah (Liverpool) terdapat Steven Gerrard, Jamie Carragher, Martin Kelly, Jon Flanagan dan Jay Spearing.

Setiap kali kedua-dua pasukan bertemu di Anfield atau Goodison Park, mereka tidak akan memberikan laluan mudah kepada lawan. Tetapi satu perkara yang menyatukan mereka adalah, kebanyakan pemain ini berasal dari kawasan sekitar Liverpool. Mereka memahami betapa pentingnya perlawanan ini kepada penduduk setempat, menjadikan derbi ini lebih sengit dan bermakna.

Namun, dari tahun ke tahun bilangan pemain tempatan yang beraksi dalam derbi ini semakin berkurangan. Malah, perlawanan ke-245 antara Everton dan Liverpool di Goodison Park pada malam ini mungkin mencatatkan jumlah pemain tempatan paling rendah dalam sejarah moden.

Trent Alexander-Arnold sedang mengalami kecederaan dan berkemungkinan terlepas perlawanan pertamanya menentang Everton dalam 13 aksi terakhir Liga Perdana.

Curtis Jones pula bersaing dengan Ryan Gravenberch, Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Liverpool. Sementara itu, Tyler Morton dan Jayden Danns tidak tersedia. Morton mengalami kecederaan dan Danns dipinjamkan ke Sunderland. Oleh itu, Everton mungkin menjadi pasukan yang lebih banyak diwakili oleh pemain tempatan dalam perlawanan ini.

James Garner yang dilahirkan di Birkenhead menjadi calon utama sebagai pemain tempatan dalam kesebelasan utama Everton. Ini kerana satu lagi bakat muda mereka, Harrison Armstrong yang berasal dari Liverpool telah dipinjamkan ke Derby County selepas hanya membuat 3 penampilan sebagai pemain gantian di Liga Perdana musim ini.

Peningkatan dan Kemerosotan Pemain Tempatan dalam Derbi Merseyside

Corak penurunan jumlah pemain tempatan dalam perlawanan ini sangat berbeza berbanding dengan era 1990-an hingga awal 2010-an. Dalam tempoh itu hampir separuh pemain dalam padang mempunyai loghat Scouse.

Jika melihat statistik sejak Liga Perdana Inggeris diperkenalkan pada 1992, jumlah pemain tempatan dalam skuad perlawanan semakin berkurangan. “Pemain tempatan” didefinisikan sebagai mereka yang lahir di kawasan metropolitan Merseyside termasuk bandar Liverpool, The Wirral, Southport dan St Helens. Pemain dari Cheshire seperti Michael Owen dan Jarell Quansah tidak dikira.

Pada pertengahan 1990-an, bakat tempatan berada di kemuncaknya. Everton mempunyai pemain seperti Gary Ablett, John Ebbrell, Dave Watson, Tony Grant, Michael Branch, dan Michael Ball. Sementara itu, Liverpool diwakili oleh Steve McManaman, Robbie Fowler, Jason McAteer dan penjaga gol simpanan Tony Warner.

Kemudian muncul nama-nama besar seperti Francis Jeffers dan Wayne Rooney. Kedua-dua pemain itu membuat debut bersama Everton ketika berusia 16 tahun. Kedua-duanya berasal dari Croxteth, bersekolah di sekolah yang sama dan akhirnya mewakili England dalam perlawanan yang sama.

Sejak itu, pemain tempatan datang dan pergi tetapi sekurang-kurangnya sentiasa ada sekurang-kurangnya seorang wakil dalam setiap perlawanan derbi Merseyside. Satu-satunya pengecualian berlaku pada April 2016 apabila Liverpool tidak menyenaraikan walau seorang pun pemain tempatan dalam skuad hari perlawanan mereka.

Namun, sejak 6 tahun kebelakangan ini jumlah tersebut terus menurun.

Hanya 5 pemain tempatan (Trent Alexander-Arnold, Curtis Jones, James Garner, Tom Davies dan Anthony Gordon) yang berjaya menembusi skuad utama Liverpool/Everton dalam tempoh itu. Ini menunjukkan semakin sukar untuk pemain dari kawasan Merseyside menembusi pasukan elit bola sepak.

Cabaran Pemain Tempatan untuk Menembusi Skuad Utama

Kawasan seperti Greater Manchester dan Yorkshire kini menawarkan kepelbagaian bakat yang lebih luas berbanding Merseyside. Ia kerana populasi yang lebih besar dan penghijrahan besar ke kawasan-kawasan tersebut menjadikan pencarian bakat lebih kompetitif.

Kelab Liga Perdana kini mempunyai akses kepada kumpulan bakat yang jauh lebih besar menyebabkan fokus mereka lebih kepada melahirkan pemain terbaik tanpa mengira asal-usul mereka. Mereka tidak lagi hanya bergantung kepada bakat tempatan.

Di Liverpool, Tyler Morton adalah antara wakil tempatan yang paling meningkat. Dia telah menghabiskan 2 musim secara pinjaman di Championship bersama Hull City dan Blackburn Rovers, dengan 79 penampilan. Walau bagaimanapun, di Liverpool dia hanya membuat 2 penampilan Liga Perdana dan kini berada di kedudukan ke-6 dalam senarai pilihan pemain tengah.

Akademi Liverpool tetap kuat dan ramai pemain muda berpotensi telah diberikan peluang berada dalam pasukan utama musim ini. Namun kebanyakan mereka bukan berasal kawasan Merseyside.

Sebagai contoh:

  • James McConnell (20 tahun) berasal dari Sunderland
  • Trey Nyoni (17 tahun) berpindah dari Leicester City
  • Amara Nallo (18 tahun) datang dari West Ham United
  • Trent Kone-Doherty (18 tahun) berasal dari Derry City, Ireland Utara
  • Rio Ngumoha (16 tahun) berpindah dari Chelsea dalam perpindahan yang menarik perhatian ramai

Selain itu, beberapa pemain muda berbakat seperti Ben Doak, Calvin Ramsay, Owen Beck, Stefan Bajcetic, Calum Scanlon dan Luca Stephenson juga dibawa masuk dari kelab lain untuk mengukuhkan akademi Liverpool.

Di Everton, usaha untuk membangunkan akademi kembali giat dilakukan dalam tempoh 12 bulan terakhir selepas bertahun-tahun kurang pelaburan akibat krisis kewangan kelab.

Pemain seperti Martin Sherif, seorang penyerang remaja antarabangsa Belanda, dan Isaac Heath, pemain tengah versatil, adalah antara muka baru yang diberikan peluang dalam skuad utama Everton. Heath, 20 tahun berpindah ke akademi Everton dari Leeds United pada 2018.

Selain itu, Everton turut membawa masuk pemain seperti:

  • Omari Benjamin (bekas pemain muda Arsenal)
  • William Tamen (dari Burton Albion)F
  • Francis Gomez (pemain tengah dari Nigeria)
  • Braiden Graham (Linfield, Ireland Utara)
  • Justin Clarke (AFC Wimbledon)

Everton juga berjaya mengukuhkan akademinya dengan kehadiran 2 penjaga gol berbakat dari pasukan muda England, Doug Lukjanciks (berasal dari Southport) dan George Pickford yang diambil dari Blackburn.

Menurut James Vaughan, bekas penyerang Everton yang kini menjadi ketua pengambilan akademi kelab, “rangkaian pencarian bakat tempatan kini semakin kuat.” Namun, disebabkan keadaan kewangan yang tidak menentu, Everton masih bergantung kepada pengambilan pemain di peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk terus bersaing.

Bagaimana Budaya Bola Sepak di Liverpool Berubah?

Setiap pemain bola sepak profesional dari Merseyside mempunyai kisah tersendiri tentang bagaimana mereka membesar. Kebanyakan mereka melalui pengalaman bermain bola di jalanan dan bersama rakan-rakan di kawasan kejiranan mereka.

Sebagai contoh:

  • Wayne Rooney pertama kali bermain untuk pasukan kanak-kanak yang dikendalikan oleh Western Approaches, sebuah pub tempat ayahnya selalu berkunjung.
  • Steven Gerrard pernah bermain untuk Whiston Juniors, sama seperti Anthony Gordon dan sering melakukan bentesan di atas tanah berbatu di kawasan Bluebell Estate, Huyton.
  • Michael Branch, bekas pemain Everton mengasah kemahirannya dengan melakukan seberapa banyak jongkang-jongket bola semasa berjalan ke kedai ikan dan kentang goreng berhampiran rumahnya di Aigburth.
  • Tony Grant, yang juga bermain untuk Everton pernah menaiki 4 bas untuk pergi ke sesi latihan dan sering dibantu oleh orang ramai jika dia tersesat.

Namun, peredaran masa telah mengubah cara kanak-kanak bermain bola sepak.

Francis Jeffers, bekas penyerang Everton pernah berkongsi dalam satu wawancara pada tahun 2014 bagaimana generasi selepasnya sudah berbeza.

“Ketika saya berusia 9 atau 10 tahun, ibu saya sering keluar mencari saya di jalanan kerana saya terlalu asyik bermain bola,” katanya. “Sekarang, kanak-kanak pulang dari sekolah dan terus duduk di depan komputer. Dulu, saya akan bermain dengan sesiapa sahaja yang mempunyai bola walaupun mereka bukan kawan saya. Dunia sudah berubah.”

Walaupun bola sepak terus popular, persekitaran untuk kanak-kanak bermain semakin berubah. Kempen dan program pembangunan bola sepak kini lebih fokus kepada mewujudkan tempat selamat untuk anak-anak bermain dan ia sudah tidak sama seperti dulu.

Di Liverpool, pemandangan kanak-kanak bermain bola di taman dan jalanan semakin jarang kelihatan. Tetapi ini bukan hanya berlaku di bandar itu sebaliknya ia adalah fenomena global.


Cabaran Baharu dalam Pembangunan Bakat Tempatan

Mark Horlick, pengurus pembangunan bola sepak di Liverpool Football Association membesar dengan bermain dalam pasukan yang sama dengan beberapa ahli keluarga Rooney.

“Sejak saya boleh berjalan, saya sudah ada bola di kaki,” katanya. “Saya selalu bertengkar dengan ibu saya kerana mahu keluar bermain selepas sekolah, walaupun baru habis makan malam. Saya akan bermain sehingga lampu jalan menyala.”

Menurut Horlick, walaupun pendekatan bermain bola sepak dalam kalangan kanak-kanak telah berubah, permainan itu masih berkembang dengan baik di Liverpool.

“Sekarang, kanak-kanak menyertai akademi seawal usia 5 tahun dan bermain di padang buatan (3G) dalam pasukan kecil, seperti 3-lawan-3, 4-lawan-4 atau 5-lawan-5. Liga belia juga semakin proaktif tetapi kami masih perlukan lebih banyak kemudahan dan pelaburan untuk memastikan liga terus berkembang,” tambahnya.

Salah satu cabaran lain ialah ibu bapa yang terlalu mendesak anak-anak mereka dalam sukan ini.

Stephen Warnock, bekas pemain Liverpool yang membesar di Ormskirk dan kini tinggal di Crosby sering ditanya oleh ibu bapa tentang cara terbaik untuk anak mereka berjaya dalam bola sepak.

Jawapan yang selalu diberikannya ialah:

“Saya selalu galakkan kanak-kanak bermain dengan rakan-rakan mereka kerana jika mereka cukup bagus, mereka akan berjaya. Dulu, saya hanya boleh menyertai akademi pada usia 9 tahun. Tetapi sekarang, kanak-kanak bermain terlalu banyak dari usia 5 tahun dan mereka cepat rasa tertekan kerana saingan yang sengit dalam kumpulan umur mereka. Saya rasa mereka terlalu cepat keletihan dan kehilangan keseronokan dalam permainan.”


Keinginan Penyokong untuk Melihat Wira Tempatan

Walaupun semakin sukar untuk pemain tempatan menembusi skuad utama, penyokong masih menghargai kehadiran mereka dalam pasukan.

Di Liverpool, penyokong menyanyikan lagu khas untuk Trent Alexander-Arnold, termasuk lirik “The Scouser in our team.”

Mereka melihat pemain seperti Alexander-Arnold bukan sekadar pemain biasa tetapi sebagai simbol kebanggaan bandar.

Namun, mencari bakat tempatan yang mampu menyerlah di peringkat tertinggi semakin sukar.

Tahun lalu, ketika Liverpool dan Everton bertemu, hanya 2 pemain tempatan yang berada dalam kesebelasan utama:

  • James Garner (Everton) yang berasal dari Birkenhead, kira-kira 8 kilometer dari Goodison Park.
  • Trent Alexander-Arnold (Liverpool) dari West Derby.

Jika Alexander-Arnold meninggalkan kelab selepas kontraknya tamat, Liverpool mungkin kehilangan satu-satunya pemain tempatan mereka dalam skuad utama.

Situasi ini juga jelas dalam perlawanan B-21 antara Liverpool dan Everton pada November lalu. Liverpool menurunkan 6 pemain tempatan tetapi Everton hanya mempunyai 1 iaitu pertahanan tengah Jack Tierney.

Kedua-dua kelab bekerja keras untuk memastikan akademi mereka kekal sebagai tempat yang menyeronokkan dan berjaya bagi pemain muda. Namun bagi masyarakat Merseyside, tiada apa yang lebih istimewa daripada melihat pemain dari bandar mereka sendiri berjaya di peringkat tertinggi.

BACA:  Ronaldo Palau Townsend Yang Meniru Keraiannya