Mengapa Sabah Ada Dalam Sejarah Olimpik

Olimpik merupakan sukan antarabangsa yang diadakan setiap empat tahun sekali, cuma edisi Rio dan Tokyo kali ini dipisahkan selama lima tahun kerana masalah wabak pandemik.

Temasya Sukan ini sudah bermula sejak dari zaman Yunani Purba lagi, dan telah dihidupkan semula oleh seorang bangsawan Perancis bernama Pierre de Coubertin pada akhir abad ke-19.

Sukan ini yang turut dikenali sebagai Olimpik Musim Panas telah diadakan setiap empat tahun sekali sejak 1896 kecuali ketika Perang Dunia.

Malaysia mula menyertai sukan Olimpik pada tahun 1964 dan sejak itu, setiap edisi akan ada wakil dari negara ini kecuali pada tahun 1980 yang mana negara kita memboikot temasya tersebut.

Namun begitu, mungkin ramai tidak tahu yang Sabah sebenarnya pernah menghantar kontijen mereka sendiri untuk sertai Sukan Olimpik.

Ya, Sabah negeri di bawah bayu pernah menghantar kontijen ke Sukan Olimpik sebagai sebuah negara dan bukan bernaung di bawah nama Malaysia.

Sabah/ North Borneo Merupakan Negara protektorat

Sabah sebelum mereka bergadung dengan Malaysia, mereka dikenali sebagai Borneo Utara (North Borneo) dan pernah menyertai temasya Sukan Olimpik pada tahun 1956 di Melbourne, Australia.

Walau bagaimanapun, mereka pada ketika itu hanya menghantar dua orang wakil sahaja sebagai kontijen negara Borneo Utara.

Borneo Utara pada ketika itu merupakan sebuah negara protektorat yang mana protektorat ini membawa maksud sebuah negara yang mendapat perlindungan dari negara asing.

Bendera North Borneo

Borneo Utara pada ketika itu mendapat perlindungan dari Great Britain dan kebanyakan imej mereka ketika itu dibayangi oleh negara yang melindungi mereka itu.

Bendera Borneo Utara misalnya turut mempunyai bendera Great Britain di sudut sebelah kiri bendera mereka dan logo rasmi mereka juga banyak menampilkan ciri khas British.

Bendera tersebut digunakan oleh Borneo Utara bermula 1948 sehingga tahun 1963 selepas Gabenor Koloni Mahkota British mengambil alih Sabah daripada Syarikat Borneo Utara British.

Sabah Ke Sukan Olimpik Sebagai Sebuah Negara

Sabah ketika itu menghantar dua orang atlet sahaja sebagai wakil mereka dan dua atlet itu juga merupakan atlet terakhir yang pernah mewakili Borneo Utara ke temasya Sukan Olimpik.

Temasya Olimpik pada ketika itu berlangsung dari 22 November sehingga 8 Disember dengan acara equestrian telah diadakan lebih awal iaitu pada Jun di Stockholm, Sweden.

Sebanyak 72 negara yang bertanding di temasya Olimpik Melbourne 1956 dan diwakili oleh 3314 atlet dengan 2938 atlet lelaki dan 376 atlet wanita.

151 acara dari 17 jenis sukan telah dianjurkan di temasya Sukan Olimpik Melbourne pada ketika itu.

Dua Atlet Borneo Utara Yang Pernah Beraksi Di Temasya Sukan Olimpik

Pada temasya Olimpik Melbourne 1956 itu, Sabah atau Borneo Utara telah menghantar dua orang atlet iaitu, Datuk Gabuh Piging dan Sium Bin Diau.

Gabuh pada ketika itu berusia 24 tahun sementara Sium pula pada ketika itu baru berusia 21 tahun, dan mereka berdualah atlet Sabah pertama yang beraksi di pentas Sukan Olimpik.

Datuk Gabuh bin Piging ketika itu beraksi dalam acara lompat kijang dan beliau berjaya mengakhiri acara tersebut di kedudukan yang ke-24.

Sium Bin Diau juga mewakili Sabah dalam acara lompat kijang dengan beliau mengakhiri kejohanan tersebut di kedudukan yang ke-28.

Walau kedua-dua mereka gagal untuk membawa pulang pingat, namun kedudukan mereka pada ketika itu sudah cukup membanggakan.

Datang daripada negara kecil yang mengharapkan perlindungan dari negara lain, tetapi tetap berjaya mara hingga ke pusingan akhir dan ada ranking bawah 30 sudah boleh dianggap pencapaian yang membanggakan.

Borneo Utara kemudiannya telah bergabung bersama Sarawak dan Malaya pada tahun 1963 lalu membentuk negara Malaysia.

Dek kerana sudah menjadi salah sebuah negeri dalam Malaysia, maka atlet Sabah selepas dari itu menyertai Sukan Olimpik di bawah satu nama sahaja iaitu, Malaysia.

Malaysia setakat ini sudah berjaya memenangi lima pingat gangsa dan tujuh pingat perak dengan pingat pertama dimenangi oleh Razif Sidek dan Jalani Sidek dalam acara regu badminton di temasya Olimpik Barcelona 1992.

Pingat terakhir yang Malaysia menang juga merupakan pingat gangsa dari acara regu badminton, menerusi Aaron Chia dan Soh Wooi Yik di temasya Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia ketika ini masih ada peluang untuk mendapatkan pingat dengan harapan sepenuhnya diletakkan pada Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus dan Pandelela Rinong.

Mungkinkah pingat emas pertama negara akan berjaya dihasilkan di temasya Olimpik Tokyo 2020 ini? Bincangkan di ruangan komen.

Sumber: ILoveBorneo

Credit featured image: Cilisos

BACA:  Walau Awalnya Terjatuh Sifan Berjaya Bangkit Seterusnya Memenangi Acara 1500m Wanita