Mengkaji Secara Saintifik dan Statistik Kenapa Harry Kane Merangkak-Rangkak Bersama England

England telah pun mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan D di Kejohanan Eropah 2020 (Euro 2020), selepas menewaskan pasukan Republik Czech 1-0 semalam hasil jaringan pemain Manchester City, Raheem Sterling.

Dengan ini, England akan bertemu pasukan yang bakal berada di tangga kedua kumpulan E – sama ada Portugal, Jerman atau Perancis di pusingan 16-pasukan nanti.

Kalau ikutkan hati para penyokong England, sebelum bermulanya Euro mereka begitu yakin piala termasyhur Eropah ini akan dibawa pulang ke negara tersebut, namun selepas tiga perlawanan, mereka mula bising-bising memaki pasukan England.

Iya lah, mana tidaknya.

England hanya mampu menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan. Lebih menaikkan amarah para penyokong pasukan Tiga Singa itu lagi adalah aksi kapten pasukan, Harry Kane, yang terkial-kial di tengah padang.

Apakah punca dan kenapa Kane berperangai sebegitu rupa?

Menerusi satu tulisan di The Athletic, penjaring berbisa England suatu ketika dahulu, Alan Shearer dan rakannya yang merupakan seorang pengalisis data, Mark Carey ada mengkaji dan membuat kesimpulan kenapa, apa dan bagaimana semua ini terjadi kepada Kane.

Selepas semakan rekod Kane di peringkat kelab dibuat, prestasi Kane dalam sembilan perlawanan terakhirnya buat Tottenham Hotspur, menyaksikan dia telah menjaringkan tujuh gol dan melalui prestasi ini, kesimpulan mudah yang boleh dibuat adalah dia sedang dalam prestasi yang baik.

Tetapi bersama England, terutamanya ketika perlawanan menentang Scotland dan Croatia, Kane kelihatan kaku dan lembap, lantas menyebabkan tidak dapat mengawal bola dengan baik. Kenapa?

Penyerang Paling Banyak Dikasari

Pertama, selepas kajian yang mendalam, statistik menunjukkan Kane merupakan antara penyerang yang paling banyak dikasari. Setakat dua perlawanan, Kane telah dikasari pemain lawan sebanyak empat kali, dan dalam rekod, haya Ondrej Duda dari Slovakia dan Goran Pandev si Dewa Macedonia sahaja yang mencatatkan rekod kekasaran lebih banyak daripada Kane.

Kesian dia kan? Gambar : Skysport

Ini jelas sekali menunjukkan betapa pasukan lawan cukup takut dengan kemampuan Kane dan apabila dia mendapat bola, pertahanan lawan akan melakukan apa sahaja asalkan Kane tidak mampu bermain dengan baik.

Jahat ke macam ni? Tak, itu adalah satu bentuk taktikal juga.

Kane Tidak Bergerak Dengan Bijak

Entah apa yang bermain di minda kapten England ini sehinggakan dia tidak mampu untuk berada di tempat yang betul pada waktu yang betul, sekaligus menyebabkannya sukar untuk menerima bola dengan baik.

Kalau tak terima bola, macam mana nak jaringkan gol. Betul tak?

Setakat ini, Kane hanya melakukan enam sentuhan di dalam kotak penalti lawan, dan melakukan tiga cubaan ke arah pintu gol – tiada satu pun yang boleh diangkat sebagai cubaan tepat.

Kalau nak dibandingkan dengan penyerang Itali, Ciro Immobile telah merekodkan 10 cubaan ke arah gol buat Azzuri, dan Patrik Schick telah merekodkan jumlah yang sama buat Republik Czech – menentang lawan yang sama dengan Kane.

Diagram cubaan Kane ke arah pintu gol. Gambar : The Atheltic

Selain itu, Kane juga merekodkan sentuhan bola paling rendah di kalangan pemain England yang berada dalam kesebelasan utama dalam dua perlawanan pasukan Tiga Singa tersebut. Raheem Sterling yang banyak menggelecek tak lepas tu pun merekodkan jumlah sentuhan bola dua kali lebih banyak daripada Kane.

Dari segi peratusan, Kane hanya menyumbang kepada 4 peratus sentuhan keseluruhan kepada pasukan England, berbanding 7 peratus ketika dia bersama kelab. Lebih memalukan lagi, Kane hanya mampu melakukan 63 peratus hantaran tepat, paling rendah di kalangan rakan sepasuknnya dalam England.

Statistik sentuhan bola di kalangan pemain England. Gambar : The Athletic

Lebih buruk lagi, hanya dua orang [enyerang sahaja yang bermain di Euro ini mencatatkan jumlah sentuhan yang lebih rendah berbandingnya – Teemu Pukki dari Finland dan Ante Rebic dari Croatia. Pukki sebelum ini memberi alasan bahawa keletihan sebagai punca ketidakbagusan dia di kempen Euro ini.

Rekod sentuhan bola oleh penyerang. Gambar : The Athletic

Tidak Mendapat Sokongan Daripada Pemain Tengah

Tugas hakiki seorang penyerang adalah menjaringkan gol dan untuk menjaringkan gol, seseorang penyerang tersebut perlu mendapat sokongan sewajarnya daripada pemain tengah. Bersama England, Kane tidak mendapat banyak peluang dan dia kerap kali turun ke bawah untuk mendapatkan bola.

Seperti yang kita tahu, pencetus serangan England adalah berpaksikan tiga pemain – Phil Foden, Mason Mount dan Raheem Sterling.

Selain Sterling, Foden dan Mount boleh dikatakan telah mencuba banyak kali mencetuskan serangan dengan baik tetapi apabila sampai di bahagian ketiga padang, Kane tidak dijumpai. Itu yang Sterling banyak kali dapat bola tu.

Statistik juga menunjukkan Kane lebih banyak menerima bola daripada Luke Shaw, Kieran Trippier dan Sterling. Adakah Foden dan Mount berputus asa dengan Kane dan tidak menghantar bola kepada kapten mereka?

Entahlah. Saya tak boleh nak baca isi hati orang.

Shaw adalah pemain yang paling banyak hantar bola kepada Kane. Gambar : The Athletic

Taktik Southgate Yang Tidak Membantu

Bersama Spurs, di bawah kendalian Jose Mourinho, gerakan serangan pasukan lebih direct dan pantas di mana kelajuan yang direkodkan semasa serangan balas adalah 1.3meter sesaat.

Kane bermain dengan cara yang sama tetapi pasukan England pula tidak begitu. Dengan menurunkan Declan Rice dan Kalvin Phillips sebagai tunjang di depan pertahanan, pengaliran bola ke bahagian serangan mengambil masa yang lama kerana mereka lebih banyak menghantar bola ke belakang dan tidak berani menghantar bola ke depan.

Kalau tak percaya tengok perlawanan antara England dan Scotland. Bola dihantar tanpa arah tujuan dan dikawal tanpa sebarang ancaman kepada pihak lawan. Mana mau nya nak buat gol kalau macam tu, kan?

Dalam pusingan 16-pasukan nanti, pasukan dijangka akan bermain dengan lebih berhati-hati dan pasti kita akan disajikan dengan lebih banyak pemainan passing bola daripada England.

Jadi, kesimpulannya, England tidak akan mampu pergi jauh sekiranya Kane tidak digunakan dengan sebaiknya kerana kita tahu, Kane bukanlah seorang penyerang yang biasa. Adakah dia akan diletakkan di bangku simpanan?

Mustahil. Dia kan kapten.

Lepas tu korang pula sudah-sudah la tikam England. Tikam Itali nun. Banyak dah untung ni.

Olahan artikel dari : The Athletic

BACA:  Friendly: England 2-1 Switzerland