Mengkaji Secara Saintifik Detik Genius Patrik Schick Menjaringkan Gol Paling Jauh Dalam Sejarah Euro

Euro 2020 sudah hampir melengkapkan pusingan pertama perlawanan dan kita dapat saksikan beberapa detik magis dan tragis yang berlaku. Terbaru, pemain Republik Czech, Patrik Schick telah menjaringkan gol yang boleh disenaraikan sebagai calon gol terbaik kejohanan.

Ketika jam perlawanan menunjukkan masuk waktu 51:28, pemain Scotland, Jack Hendry, cuba menyamakan kedudukan dengan melakukan percubaan jarak jauh dari luar kotak penalti.

Tapi sayang seribu kali sayang di mana cubaannya tersebut dihalang oleh pertahanan Republik Czech.

Empat saat kemudian, giliran Schick pula melakukan perkara yang sama, cuma lebih jauh. Tup tap tup tap dua saat kemudian, tahu-tahu bola sudahpun berada di dalam gol Scotland, melemaskan penjaga gol Scotland, David Marshall.

Sebenarnya gol ini bukanlah gol nasib, sebaliknya ia dirancang oleh Schick.

“Aku dah perhati dah masa separuh masa pertama. Aku tahu dia naik tinggi, jadi bilamana bola datang ke aku, aku tengok kejap kat mana mamat tu berdiri.

“Aku nampak dia tinggi sangat. Jadi, aku try lah,” ujar Schick selepas perlawanan.

Meh kita tengok sikit dalam gambar di bawah ni.

Kedudukan Marshall dan Schick pada minit ke 57:56. Gambar : The Athletic

Daripada gambar di atas, ketika bola dihantar kepada Schick, Marshall berdiri menghadap bola dalam keadaan flat footed – tumit rapat ke lantai.

Sesaat kemudian barulah Marshall mula membuat larian ke arah golnya.

Kelihatan Marshall mula melakukan larian ke gawangnya sendiri. Gambar : The Athletic

Kemudian, kita dapat lihat keajaiban dunia berlaku selang dua saat selepas itu. Schick melepaskan rembatan lencong ke arah gol tanpa sempat dikejar oleh Marshall.

Ketika sepakan dilakukan, jarak Schick dengan gol Scotland adalah 49.7 ela (45.44m), dan cubaannya itu hanyalah 0.03 xG (kualiti peluang tersebut, bergantung kepada faktor lain seperti sudut dan jarak dari gol).

Dengan kata lain, peluang untuk bola menerjah ke jaring hanyalah 3%. Tipis sangat tu!

Namun, selepas pemerhatian yang tajam pada separuh masa pertama, Schick yakin dia mampu mencipta sejarah.

Tanpa membuang masa, Schick menendang bola dengan bahagian dalam kaki kirinya lantas memberikan daya yang secukupnya untuk bola naik pada ketinggian maksimum 7.4m.

Memandangkan bola dihayun dari sudut inside foot(bahagian dalam kaki), bola naik dalam keadaan berpusing, lalu menghasilkan dua zon tekanan – tinggi dan rendah, lantas membuatkan bola itu melencong.

Lencongan bola ini adalah disebabkan Kesan Magnus (Magnus effect) di mana bahagian yang bertekanan tinggi, akan menolak objek (bola) ke bahagian bertekanan rendah.

Dari segi pergerakan projektil pula, sudut mula sepakan Schick ini berada pada 26 darjah, dengan tinggi mula 2.4m.

Secara keseluruhannya, halaju bola rembatan ini adalah pada 22.6m/s.

Di sini kita boleh simpulkan bahawa memang Schick telah rancang dan mengagak dengan betul daya yang diperlukan untuk membuatkan bola ini menerjah jaring dan bukan nasib semata-mata.

Andai sepakan ini lari sedikit sahaja dari titik hubung (point of contact) pada bola dan kaki pemain ini, pergerakan projektil ini tidak akan berlaku dan kemungkinan besar bola akan terbang laju menuju ke laut dan Schick tidak akan dapat mencipta sejarah.

Selepas kajian dibuat, gol Schick ini merupakan rekod baharu gol paling jauh dalam sejarah Euro.

Sebelum ini, rekod gol paling jauh dalam Kejohanan Eropah dipegang oleh pemain tengah Jerman, Torsten Frings, di mana  dia telah menjaringkan gol pada jarak 38.6m.

Gol ini juga mengatasi rekod gol paling jauh dalam kempen Piala Dunia yang dicipta oleh penyerang sensai Sepanyol, David Villa, pada tahun 2010 di mana dia melemaskan penjaga gol Chile pada jarak 47ela (42.98m).

Selain daripada gol magis tersebut, Schick juga telah menjaringkan gol pertama Republik Czech menerusi tandukan yang padu pada separuh masa pertama perlawanan, sekaligus menjadi pemain Cezch yang pertama menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan dalam kejohanan besar sejak kali terakhir dilakukan oleh Tomas Rosicky dalam edisi Piala Dunia 2006.

Rakan sepasukan Schick, Tomas Soucek turut bangga dengan pencapaiannya dan mengatakan gol tersebut adalah gol terbaik kejohanan.

“Nampaknya kami dah ada gol terbaik kejohanan. Tapayala nak cuba pecah rekod tu,” katanya selepas perlawanan.

Kemenangan tersebut meletakkan Republik Czech di tangga teratas kumpulan D, mengatasi England di tangga kedua, yang hanya mampu menang 1-0 sahaja dalam perlawanan menentang Croatia tempoh hari.

Sumber : The Athletic, Omnicalculator, news18

BACA:  Kisah Denmark Pasukan Bidan Terjun Di Euro 1992 Yang Menjadi Juara