Menyesal Curang, Abidal Rayu Isteri Jangan Tinggalkannya

Bekas bintang Barcelona, Eric Abidal telah memuat naik status di laman media sosial miliknya untuk meminta maaf kepada isteri beliau, Hayet Abidal kerana kesalahan beliau mencurangi isterinya itu.

Eric Abidal baru-baru ini menjadi topik perbualan hangat para peminat selepas beliau dikatakan terlibat dengan kes pemain wanita PSG yang dipukul oleh dua lelaki bertopeng.

Beliau dilibatkan dalam hal ini selepas siasatan menunjukkan yang Abidal pernah menjalin hubungan cinta dengan pemain wanita PSG yang dipukul baru-baru ini, Kheira Hamraoui.

Eric dan Hayet telah mendirikan rumah tangga sejak dari tahun 2003 lagi dengan kedua-dua mereka memiliki lima orang anak sepanjang tempoh tersebut.

Hayet kini tampil meminta cerai selepas mengetahui tentang kes tersebut, dengan beliau mendedahkan hasratnya itu kepada RMC Sport.

Abidal sebelum ini sama sekali tidak membuat sebarang kenyataan, namun selepas isterinya meminta cerai, beliau tampil menjelaskan situasi pada ketika ini.

Abidal menulis di laman instagram miliknya yang mempunyai 700,000 pengikut bahawa beliau mahu meminta maaf kepada isterinya Hayet.

“Apa saja keputusan kamu, kamu di mata saya akan tetap menjadi wanita terbaik saya, dan paling penting sekali, kamu adalah ibu terbaik kepada anak-anak kita.”

“Saya layak untuk mendapat malu walaupun ia membunuh saya. Syukur tuhan, tuhan akan buka hati kamu untuk maafkan saya satu hari nanti.
#loveyoutothemoonandback.”

Kisah ini bermula selepas pemain wanita PSG itu diserang ketika beliau pulang dari makan malam bersama rakan sepasukannya.

Awal kisah, nama Abidal langsung tidak disebut-sebut dengan rakan sepasukannya ketika itu dituduh sengaja mencederakan Hamraoui kerana mahu berebut tempat dalam kesebelasan utama.

Kisah bagaimana Diallo dituduh sengaja mencederakan Hamraoui kerana mahu berebut tempat dalam skuad utama

Bintang wanita Paris Saint Germain, Aminata Diallo ketika ini sedang dalam penyiasatan pihak polis, selepas beliau dituduh mencuba untuk menyerang rakan sepasukannya, Kheira Hamraoui.

Mengapa beliau sampai sanggup mahu menyerang dan mencederakan rakan sepasukan sendiri?

Beliau sanggup melakukan hal itu hanya kerana mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad, dengan kedua-dua mereka bermain di posisi yang sama.

Bintang yang kini berusia 26 tahun itu merupakan pemain di posisi midfield untuk skuad wanita PSG, dengan beliau turut berkongsi posisi sama dengan Hamraoui yang kini sudah berusia 31 tahun.

Laporan mengejutkan dari media Perancis telah menyatakan yang Diallo mengupah dua lelaki bertopeng untuk menyerang dan mencederakan Hamraoui.

Beliau sanggup mengupah samseng untuk mencederakan rakan sepasukannya itu kerana Diallo mahu berebut tempat dalam kesebelasan utama PSG.

Media Perancis, L’Equipe menyatakan yang dua lelaki bertopeng menarik Hamraoui keluar dari kereta, kemudian beliau telah ditumbuk serta kakinya turut dipukul.

Hamraoui dibelasah teruk pada ketika itu kerana Diallo sememangnya membayar dua lelaki tersebut untuk menyakiti rakan sepasukannya itu agar tercedera dan tidak boleh bermain.

Sebatang besi digunakan oleh dua lelaki bertopeng tersebut untuk memukul kaki Hamraoui, dan jelas sekali untuk mematahkan kakinya agar beliau tidak boleh bermain lagi.

Kejadian yang berlaku pada Khamis lalu itu kini sudah menjadi kes polis dengan Diallo pada ketika ini sedang berada dalam tahanan.

PSG kemudian telah mengeluarkan kenyataan berkait insiden tersebut dengan menyatakan bahawa:

“Paris Saint-Germain mengakui bahawa Aminata Diallo telah direman dalam tahanan polis pagi ini oleh SRPJ Versailles sebagai sebahagian daripada prosiding yang dimulakan berikutan serangan pada petang Khamis lalu terhadap pemain kelab.”

“Paris Saint-Germain mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang dilakukan. Sejak petang Khamis, 4 November, kelab telah mengambil semua langkah yang perlu untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan pemainnya.

“PSG sedang bekerjasama rapat dengan SRPJ Versailles untuk menjelaskan fakta. Kelab itu sedang memberikan perhatian terhadap perkembangan prosiding dan akan mengkaji tindakan yang perlu diambil.”

Sumber menambah bahawa Hamraoui telah dibawa ke hospital selepas serangan itu dan menerima jahitan untuk kecederaan kakinya.

Dia tidak mengalami kecederaan yang mengancam kerjayanya, namun dia tidak dapat membuat penampilan ke-100 untuk kelab menentang Real Madrid dalam Liga Juara-Juara pada hari Selasa.

Diallo menyertai PSG pada 2016 dan menjalani tempoh pinjaman dengan kelab Liga Bola Sepak Wanita Kebangsaan Utah Royals untuk musim 2020.

Kisah bagaimana Abidal dan Isterinya terlibat dengan insiden Hamraoui dipukul

Eric Abidal akan disoal siasat selepas nama beliau dipetik dan dikaitkan dengan insiden serangan ke atas pemain skuad wanita PSG, Kheira Hamraoui.

Hamraoui dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan di tangan dan kaki, kerana diserang oleh dua lelaki bertopeng.

Beliau diserang ketika sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai makan malam bersama kelab yang dianjurkan oleh PSG sendiri.

Rakan sepasukannya, Aminata Diallo merupakan pemandu yang memandu ketika kereta mereka diberhentikan, sebelum dua lelaki bertopeng itu menarik Hamraoui keluar lalu memukulnya.

Diallo kemudiannya ditahan oleh pihak polis kerana disyaki terlibat dalam hal tersebut, namun beliau telah dilepaskan tidak lama selepas itu kerana tiada bukti yang membuktikan beliau bersalah.

Diallo memberikan bahan bukti kepada pihak polis selepas insiden serangan tersebut, dengan beliau mendakwa salah seorang dari dua lelaki bertopeng itu bertanya sesuatu kepada Hamraoui.

“Jadi kamu tidur dengan suami orang?.”

Hamraoui kemudiannya mengesahkan hal tersebut dan ketika itulah nama Eric Abidal disebut sebagai salah seorang tertuduh.

Laporan dari The Times mengesahkan yang Abidal akan disoal siasat oleh pendakwa raya kerana SIM card dalam telefon milik Hamraoui telah didaftarkan atas namanya.

Media Perancis, Le Monde menyifatkan yang berkemungkinan hubungan istimewa antara Abidal dengan penyerang PSG itu menjadi punca insiden ini dan ia mungkin ada kaitan dengan dendam.

Abidal menjalin hubungan sulit dan menyebabkan isterinya cemburu lalu memutuskan untuk menyerang pemain penyerang skuad wanita PSG itu.

Ianya agak mengejutkan ramai pihak. Pendakwaraya Maryvonne Caillibotte memberitahu media pada hari Isnin bahawa lelaki berusia 42 tahun itu akan disoal siasat tidak lama lagi sebagai sebahagian daripada siasatan.

Sumber yang sama memberitahu ESPN bahawa isteri Abidal, Hayet, juga antara individu yang akan disoal siasat oleh polis.

Menurut sumber, polis telah menyiasat kaitan antara Hamraoui dan Abidal semasa siasatan. Abidal adalah pengarah sukan Barcelona ketika Hamraoui menandatangani kontrak untuk juara Sepanyol itu pada 2018.

Abidal dipecat daripada jawatannya di Camp Nou beberapa hari selepas pasukan Barcelona mengalami kekalahan memalukan 8-2 dalam Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich tahun lepas.

Sumber memberitahu ESPN bahawa semasa menyiasat panggilan telefon pemain itu, polis mendapati Hamraoui telah dihubungi oleh Abidal pada pagi dia diserang.

L’Equipe melaporkan yang Hamraoui menerima panggilan dari lelaki misteri yang mengaku sebagai bekas kekasihnya ketika di Barcelona.

Pemain berusia 31 tahun itu menghabiskan masa selama tiga tahun di Nou Camp dari 2018 hingga 2021, dengan pemanggil misteri itu mengatakan kehidupan beliau hancur selepas Hamraoui meninggalkan beliau, dan beliau nekad mahu membalas dendam.

Isteri Abidal minta cerai

Isteri kepada bekas pemain pertahanan Barcelona, Eric Abidal telah mengeluarkan kenyataan yang beliau mahu memohon penceraian dari suaminya itu.

Hayet Abidal mahu meminta cerai kerana beliau terkesan dengan berita yang suaminya, Abidal menjalin hubungan sulit dengan pemain bola sepak wanita PSG, Kheira Hamraoui.

Kisah tentang Kheira Hamraoui sememangnya agak kecoh sejak kebelakangan ini, dan dengan tiba-tiba nama Eric Abidal juga turut terpalit sama.

Pemain wanita PSG itu telah diserang oleh dua lelaki bertopeng, dengan awalnya rakan sepasukan beliau yang dituduh dalang sebalik kes tersebut.

Namun dengan tiba-tiba, muncul nama Abidal sebagai salah seorang tersangka dek kerana beliau mempunyai hubungan sulit dengan Kheira Hamraoui.

Kerana mengetahui yang suaminya curang, Hayet kini tampil meminta cerai dari Abidal dan beliau telah mengumumkan hal tersebut secara terbuka.

Hayet sendiri sebenarnya merupakan salah seorang tersangka dek kerana beliau dianggap mempunyai dendam terhadap Kheira Hamraoui dan tujuannya mengupah samseng untuk memukul pemain PSG itu bermotifkan dendam.

Sumber: GMS

BACA:  Kecewa Abidal Curang, Hayet Minta Cerai