Mesej Berbunga Sir Alex Ferguson Kepada Musuh Lamanya

Bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson berkata Arsene Wenger adalah salah seorang pengurus terbaik dalam sejarah Liga Perdana Inggeris selepas pengurus Arsenal tersebut mengumumkan beliau bakal berundur pada hujung musim ini.

Dalam perkembangan terbaru dan mengejutkan, Wenger akhirnya menamatkan teka-teki mengenai masa depannya dengan mengumumkan pengunduran beliau daripada jawatan pengurus Arsenal.

Dulu lawan sekarang kawan

Selepas sekadar menduduki tangga ke-5 Liga Perdana Inggeris musim lepas dan terlepas slot ke Liga Juara-Juara, Arsenal hampir pasti akan menamatkan musim ini dengan pencapaian yang sama.

Kejatuhan Arsenal kebelakangan ini menyebabkan ramai peminat mempersoalkan posisi Wenger selaku pengurus pasukan dan memintanya meletakkan jawatan demi kepentingan pasukan. Untuk rekod, Wenger masih lagi mempunyai baki setahun kontrak selepas menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun pada hujung musim lalu.

Ferguson dan Wenger mempunyai hubungan yang dingin ketika Arsenal dan Manchester United masing-masing bersaing untuk merebut takhta juara Liga Perdana Inggeris pada hujung 90-an dan awal 2000.

Mereka dilihat sering bertelagah di tepi padang bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku di atas padang. Insiden paling terkenal melibatkan kedua-dua pasukan berlaku pada Oktober 2004 yang dikenali sebagai ‘Battel of the Buffet’.

Kelembikan Arsenal menyebabkan hubungan Wenger-Ferguson menjadi lebih baik

Manchester United berjaya menamatkan rekod tanpa kalah Arsenal sebanyak 49 perlawanan hasil jaringan Ruud Van Nistelrooy dan Wayne Rooney. Tetapi apa yang menyebabkan insiden tersebut diingati sehingga hari ini adalah insiden yang berlaku di dalam terowong selepas perlawanan berakhir.

Kekecohan meletus di dalam terowong stadium selepas sepotong pizza melekat tepat di atas kepala Sir Alex Ferguson yang pada ketika itu ingin meleraikan pergaduhan. Tiada siapa yang tahu pemain mana yang membaling pizza ke arah Ferguson pada ketika itu.

Walaubaimanapun dalam satu rancangan tv tahun lepas, Cesc Fabregas akhirnya mengaku beliau adalah dalang yang menyebabkan pizza melekat di atas kepada Ferguson.

Hubungan Wenger dan Ferguson menjadi bertambah baik selepas Arsenal mengalami kejatuhan dan gagal bersaing untuk merebut Liga Perdana Inggeris. Kemasukan ‘duit minyak’ dalam pasukan seperti Chelsea dan Manchester City menyebabkan Arsenal gagal bersaing dan terus merudum.

Ditambah pula Arsenal baru sahaja berpindah ke Emirates ketika itu dan perlu mengawal  perbelanjaan mereka disaat pasukan seperti Chelsea dan United mampu berbelanja sewenang-wenangnya.

Ferguson memberitahu Wenger adalah rakan baiknya hari ini dan beliau berbangga mempunyai kawan seperti Wenger.

Saya berbangga mempunyai kawan sehebat Wenger, ujar SAF

“Saya sangat gembira untuk Arsene Wenger. Saya mempunyai perasaan hormat yang tinggi terhadapnya atas apa yang beliau telah lakukan di Arsenal.”

“Ia jelas menunjukkan beliau mempunyai bakat, profesionalism, dan kesungguhan untuk melakukan kerja yang dicintainya selama 22 tahun.”

“Dalam dunia bolasepak yang kadang kala pengurus hanya bertahan selama semusim atau dua, ia jelas menunjukkan pencapaian hebat Wenger untuk menguruskan kelab sebesar Arsenal dalam tempoh masa yang cukup lama.”

“Tanpa ragu-ragu, beliau adalah salah seorang pengurus terbaik dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dan saya berbangga kerana berpeluang menjadi lawan, rakan sejawat, dan kawan kepada individu yang cukup hebat.”

Rekod Wenger Bersama Arsenal

Premier League (3) – 1997/98, 2001/02, 2003/04

FA Cup (7) – 1997/98, 2001/02, 2002/03, 2004/05, 2013/14, 2014/15, 2016/17

Community Shield (7) – 1998, 1999, 2002, 2004, 2014, 2015, 2017

LMA Manager of the Year (2) – 2001/02, 2003/04

World Manager of the Year – 1998

Premier League Manager of the Month (15)

English Football Hall of Fame – 2006

Premier League record:

Perlawanan – 823
Menang – 473
Seri – 199
Kalah – 151

Peratusan Kemenangan – 57.5 %

BACA:  Aubameyang Dilucutkan Dari Jawatan Sebagai Ketua Pasukan Arsenal