Messi Bengang Dengan Pochettino Kerana Mengeluarkan Beliau

Messi bengang dengan Pochettino kerana mengeluarkan beliau ketika beraksi bertemu Lyon di Parc des Princes awal pagi tadi.

Bintang Argentina itu dilihat menolak untuk bersalam dengan pengurusnya, Mauricio Pochettino selepas beliau dikeluarkan pada minit ke-75 permainan.

Berbaki 15 minit sebelum permainan tamat, dengan Messi sedang dalam usahanya untuk mencari gol pertama beliau, Pochettino memilih untuk mengeluarkan bintang Argentina itu dan memasukkan Achraf Hakimi.

Terdapat rakaman yang menunjukkan bagaimana Messi mengabaikan pengurusnya, Pochettino yang menghulur tangan untuk bersalam ketika beliau berjalan keluar meninggalkan padang.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu beberapa kali berpeluang untuk membuka akaun golnya bersama Paris Saint Germain sepanjang perlawanan tersebut.

Pada aksi babak pertama, percubaan beliau digagalkan selepas Messi menerima umpanan cantik dari Neymar.

Beliau turut berpeluang untuk menjaringkan gol pertamanya menerusi sepakan percuma yang sangat cantik, namun palang gol pula menjadi penghalang.

PSG menurunkan jentera serangan terbaik yang mereka miliki dengan Messi beraksi dalam kesebelasan utama bersama Angel Di Maria, Neymar dan Kylian Mbappe.

Walau bagaimanapun, PSG gagal memanfaatkan kelebihan pemain handalan yang mereka miliki untuk berpesta gol dalam perlawanan ini.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu bahkan terlebih dahulu telah ketinggalan pada minit ke-54 permainan, selepas Lucas Paqueta meledak gol awal untuk Lyon.

Pada minit ke-66 permainan, Paris Saint Germain berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi Neymar hasil dari sudut sepakan penalti.

Walaupun jentera serangan PSG baru menemui rentak mereka, pengurus kelab memilih untuk mengeluarkan Di Maria dan Messi dengan perlawanan berbaki 15 minit sebelum tamat.

Keputusan Pochettino itu selain mengundang kemarahan Messi, beliau juga telah mencetuskan rasa kurang senang di kalangan para peminat.

“Messi keluar, saya terus tutup TV, Pochettino langsung tak bagi peluang pada dia untuk cari gol pertama dia.”

“Pochettino keliru, dia tak tahu apa dia cari, kita tengah cari gol, dia keluarkan pemain penting, Di Maria dan Messi dikeluarkan. Membingungkan.”

“Masalah utama PSG bukan pemain, tapi pengurus, Pochettino nampak jelas dia tak tahu apa dia nak, dia tak ada perancangan jelas.”

“Saya rasa saya tak pernah tengok Messi dikeluarkan selain dari dia cedera, dia baru nak dapat rentak Pochettino sudah keluarkan dia, saya tak tahu apa yang ada di fikiran dia.”

“Lihat saja bagaimana reaksi Messi, dia jelas marah dan tak gembira dengan keputusan Pochettino. Langsung tak boleh diterima akal.”

Walau bagaimanapun, pertukaran pemain yang dilakukan oleh Pochettino, sepertinya membuahkan hasil selepas PSG memperoleh gol kemenangan pada masa kecederaan permainan menerusi pemain gantian.

Mauro Icardi berjaya meledak gol selepas menerima umpanan cantik dari Kylian Mbappe, seterusnya mengekalkan rekod 100% Paris Saint Germain dalam saingan Ligue 1 musim ini.

Walaupun Messi tidak gembira ketika dikeluarkan, namun beliau tentunya tetap gembira dengan kemenangan yang berjaya dicatatkan oleh skuadnya.

Para peminat masih menanti untuk melihat Messi meledak gol pertamanya bersama Paris Saint Germain, dan dengan beliau sudah sering diturunkan, harapan untuk melihat hal itu menjadi kenyataan sepertinya sudah hampir untuk berlaku.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kecewa Tersingkir, Penyokong Saint-Etienne Serang Pemain Sendiri Menggunakan Mercun Dan Flare