Messi Jelaskan Perbezaan Antara ‘MSN’ Dan ‘MNM’ Dengan Cukup Terperinci

Lionel Messi menjelaskan secara terperinci tentang perbezaan antara ‘MSN dan ‘MNM’ selepas beliau melengkapkan perpindahannya dari Barcelona ke Paris Saint Germain pada musim panas baru-baru ini.

Messi kini sedang membina gandingan serangan yang sungguh mengagumkan bersama Neymar dan Kylian Mbappe di Parc des Princes.

Satu hal yang pasti, beliau sebelum ini pernah mencipta gandingan yang menakjubkan bersama Luis Suarez dan Neymar ketika karier mereka di Nou Camp.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu kini kembali bergandingan dengan bintang Brazil, Neymar di Paris dan mereka sepertinya sedang dalam usaha untuk mencipta kejayaan sehebat yang mereka lakukan ketika bersama Barca dahulu.

Hanya satu sahaja perbezaan gandingan dulu dan sekarang, yang mana mereka dahulu trio bersama Suarez, namun kini mencipta trio handalan bersama Mbappe.

Messi tampil mendedahkan tentang perbezaan antara bintang veteran Uruguay itu dengan pemain handalan Perancis, Kylian Mbappe.

Ketika diminta untuk memberikan perbezaan antara ‘MSN’ dan ‘MNM’, beliau menjawab kepada Get French Football News bahawa:

“(Ketawa), umur, pertama sekali, kami semua masih muda ketika awal mula bergandingan dengan Ney.”

“Sekarang, yang muda hanya seorang, Kylian. Dan kemudian, Kylian dan Luis merupakan dua pemain yang berbeza. Luis merupakan pemain nombor 9 sebenar, penyerang tunggal, seorang yang jelas sangat bagus di dalam kotak dan digunakan untuk menjaringkan gol yang banyak.”

“Kylian pula lebih suka bergerak dengan bola, dia seorang yang sangat kuat dan seorang pemain yang sangat pantas, dia akan menjahanamkan kamu andai kamu beri dia ruang dan dia juga banyak menjaringkan gol.”

“Mereka berdua merupakan pemain yang menakjubkan, tapi mereka ada kualiti yang berbeza.”

Selepas kejayaan beliau menjaringkan gol pertamanya bersama PSG ketika aksi bertemu Manchester City sebelum ini, Messi telah mencabar Mbappe dan Neymar untuk meningkatkan tahap permainan mereka lagi.

Menjelaskan tentang bermain dengan Neymar dan Mbappe, beliau menyatakan:

“Lebih kerap kami (Messi, Neymar dan Mbappe) bermain bersama, semakin baguslah persembahan kami nanti.”

“Kami semua perlu berkembang bersama dan menaikkan tahap permainan kami bersama. Kami bermain dengan baik, kami akan sentiasa memberikan yang terbaik dan akan terus lakukan itu.”

“Kami menang perlawanan penting bertemu pasukan besar, dengan pemain yang hebat, yang beraksi di pentas perlawanan akhir Champions League musim lalu.”

“Ia sangat kemenangan yang sangat penting untuk kami. Kami akan terus berusaha dan bekerja lebih keras dalam pelbagai aspek.”

Lionel Messi merupakan calon kegemaran untuk memenangi anugerah Ballon D’or pada tahun ini, dengan beliau, Neymar dan Kylian Mbappe tercalon dalam senarai 30 calon untuk memenangi anugerah itu pada tahun ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Semua Pemain Argentina Sibuk Mahu Bergambar Bersama Messi Selepas Kejayaan Menewaskan Itali