Messi Jerit Kepada Yerry Mina Supaya Menari Selepas Gagal Jaringkan Penalti

Ketua pasukan Argentina, Lionel Messi telah melakukan sesuatu yang diluar kebiasaan beliau apabila telah menjerit kepada Yerry Mina supaya pemain itu menari selepas pemain pertahanan Colombia itu gagal menjaringkan penalti.

Lionel Messi biasanya mempamerkan karakter yang tenang walaupun teruk dibantai pemain lawan namun perilaku ini bukan sahaja sangat mengejutkan malah lagi menghiburkan.

Pemain pertahanan tengah Everton itu tampil untuk membuat sepakan namun penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez telah melakukan satu hadangan yang superb.

Yerry Mina telah melakukan satu sepakan ke kanan gawang dan dibaca dengan tepat oleh Emiliano Martinez dengan satu hadangan bertaraf dunia, meletup bunyinya.

Lionel Messi dilihat telah meraikan kegagalan sepakan penalti Yerry Mina dengan penuh emosi dan bacaan gerak bibir menafsirkan Messi telah berkata:

“Menari sekarang!”

Menurut kepada pengulas CBS Sports, Nico Cantor pula menyatakan Messi tanpa rasa melekit dan teragak-agak telah menjerit:

“Bagaimana mana dengan menari sekarang?”

Perbuatan Messi ini berkaitan dengan perlakuan tidak masuk akal, gila dan tidak tercapai dek akal Yerry Mina apabila telah meraikan jaringannya ketika dipenentuan sepakan penalti.

Satu benda tak pernah dibuat orang. Meraikan jaringan dipenentuan sepakan penalti yang bukannya gol kemenangan teramatlah ganjil dan pelik tapi itulah yang dilakukan oleh Yerry Mina.

Yerry Mina berjaya menjaringkan gol disepakan yang ketiga lalu tidak teragak-agak untuk meraikannya dengan meletakkan ibu jari dimulutnya mengadap kamera.

Tidak cukup dengan aksi itu, Yerry Mina kemudiannya melakukan tarian pula dengan penuh kegirangan serta keseronokan seperti meraikan gol kemenangan.

Gol pertahanan tengah Everton dan Barcelona itu telah menjadikan kedudukan, Colombia 3-1 Uruguay dan Uruguay tewas lalu Colombia mara ke separuh akhir bertemu Argentina.

Lautaro Martinez telah meletakkan Argentina di depan seawal minit ketujuh perlawanan selepas menyempurnakan umpanan Lionel Messi dan kedudukan ini kekal sehingga sejam perlawanan.

Pada minit ke-61, Luis Diaz telah menyamakan kedudukan dan kedudukan ini terikat sehingga 90 minit permainan. Tiada masa tambahan dan pemenang terus ditentukan melalui penentuan sepakan penalti.

Penjaga gol Argentina, Emi Martinez telah melakukan sesuatu yang luar biasa apabila menggunakan kesempatan dalam keadaan stadium sunyi tanpa penyokong untuk menyerang lawannya dengan perang saraf.

Emi Martinez telah mencaci dan bercakap bahasa kotor kepada kesemua pelaksana penalti Colombia. Juan Cuadrado tidak termakan dan Lionel Messi yang mengambil sepakan pertama tiada masalah untuk menyempurnakan sepakan.

Davinson Sanchez kemudian gagal menewaskan Emi Martinez. Seterusnya Argentina juga gagal apabila Rodrigo De Paul melakukan percubaan lambung ke bulan untuk menyertai bola Sergio Ramos mengorbit bumi.

Yerry Mina gagal menyempurnakan sepakan penalti dan Messi menganjing sebelum Leandro Daniel Paredes meletakkan Argentina 2-1 di depan pada sepakan ketiga.

Miguel Borja tampil untuk sepakan keempat dan membalas makian Emi Martinez dengan satu makian juga dan Miguel Borja berjaya menewaskan Emi Martinez.

Miguel Borja meraikan gol itu dengan menendang bola sekali lagi di hadapan muka Emi Martinez. Sambil melakukan beberapa aksi menganjing depan muka Martinez.

Lautaro Martinez mudah menyempurnakan sepakan untuk terus memberi kelebihan kepada Argentina. Edwin Cardona membuat sepakan kelima.

Sepakan Edwin Cardona akan menentukan nasib Colombia namun Cardona koyak dan Emi Martinez melakukan hadangan ketiga seterusnya membawa Argentina ke final bertemu Brazil.

Martinez terus membuktikan bahawa dia selayaknya menjadi no.1 Argentina. Tujuan utama beliau meninggalkan Arsenal ke Aston Villa – salah satu daripadanya kerana mahukan minit perlawanan untuk menjamin tempatnya dalam pasukan kebangsaaan Argentina.

Aksi heroic itu dianggap sebagai salah satu aksi terpenting dalam karier Martinez. Beliau berjaya membaca 4 daripada 5 penalti lawannya. 3 berjaya diselamatkan.

Maka kamu tak boleh kata itu satu kebetulan. Pasti ada kerja keras di sebaliknya di kem Argentina dan Emi Martinez sendiri.

Martinez kemudian meraikan kemenangan Argentina di bilik persalinan dengan tarian kuda Borja:

BACA:  Peguam Barcelona Mahu Gagalkan Usaha PSG Untuk Menandatangani Lionel Messi