Messi Kecewa Dengan Prestasi Semasa Barcelona

Kapten Barcelona, Lionel Messi meluahkan perasaan marahnya terhadap prestasi pemain Barcelona apabila sekali lagi gagal mengutip mata penuh di gelanggang sendiri dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi.

Barcelona memerlukan jaringan daripada Munir El Haddadi pada minit ke-84 untuk mengelakkan dari mengalami kekalahan mengejut di tempat sendiri kepada Athletic Bilbao. Athletic terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan perlawanan menerusi Oscar de Marcos pada lewat babak pertama untuk mengejutkan tuan rumah.

Valverde cuba bermain dengan api apabila meletakkan Messi di bangku simpanan

Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde melakukan kejutan apabila menyenaraikan Messi di bangku simpanan. Walau bagaimanapun, tindakan tersebut nyata memakan diri apabila Barcelona bergelut untuk mencari gol sepanjang perlawanan.

Messi akhirnya dimasukkan pada minit ke-55 menggantikan tempat Arturo Vidal ketika Barcelona ketinggalan 1-0. Kemasukan Messi nyata memberi impak positif kepada bahagian serangan Barcelona dan beliau hampir menyamakan kedudukan jika tidak kerana palang gol. Ia juga merupakan kali ke-7 percubaan Messi terkena palang/tiang musim ini.

Munir yang masuk menggantikan Ousmane Dembele pada lewat permainan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan selepas menerima umpanan daripada Messi. Kedudukan 1-1 kekal sehingga penghujung perlawanan dan ia merupakan perlawanan ke-3 berturut-turut Barcelona gagal mengutip mata penuh. Minggu lalu, mereka sekadar seri 2-2 menentang Girona dan mengalami kekalahan mengejut 2-1 di tangan Leganes Rabu lalu.

Mujur Munir menjadi penyelamat

“Kami tidak cemas kerana musim ini masih lagi panjang dan baru sahaja bermula. Tetapi apa yang membuatkan saya marah adalah keputusan kami sebelum ini. Saya tidak sangka kami akan mengalami kekalahan tersebut [Leganes].”

“Kami bermain sangat baik pada separuh masa pertama menentang Leganes tetapi masih lagi kalah. Dan hari ini kami mencipta banyak peluang tetapi masih gagal mencari kemenangan.”

Volley daripada De Marcos merupakan gol ke-8 yang berjaya membolosi pintu gawang Barcelona dalam saingan La Liga musim ini dan Messi mahu rakan sepasukannya memperbaiki bahagian pertahanan secepat yang mungkin.

“Kami sedar yang kami perlu memperkukuhkan lagi bahagian pertahanan. Tahun lepas, kami sukar untuk dibolosi tetapi sekarang, pasukan lawan senang-senang je menjaringkan gol pada percubaan pertama mereka.”

“Kami tidak boleh melepaskan gol macam ni lagi dalam setiap perlawanan. Kami perlu bermain lebih baik dan memperkukuhkan lagi bahagian pertahanan. Itu perkara paling mustahak sekarang.”

Rakan sepasukan Messi, Luis Suarez juga mengkritik persembahan Barcelona dan menggesa rakan-rakannya supaya tidak terlalu bergantung kepada Messi ketika berada dalam kesusahan.

Suarez mahu Barcelona tidak terlalu bergantung kepada Messi untuk mencari gol

“Messi merupakan pemain terbaik dunia tetapi kami tidak boleh selalu bergantung kepada Messi untuk menyelesaikan segala masalah pasukan ini.”

“Kami berada di sini atas merit sendiri dan kami tidak boleh bergantung kepada Messi atau Sergio Busquests semata-mata. Kami sepatutnya memenangi perlawanan ketika Messi dan Busquests masuk ke dalam padang.”

BACA:  'The End Of An Era': Video Yang Memperlihatkan Kejayaan Messi Bersama Barcelona