Messi Menangis Ketika Menjulang Piala Copa Di Hadapan Penyokong Argentina

Lionel Messi menangis ketika menjulang Piala Copa America yang mereka menangi pada musim panas lalu di hadapan para penyokong Argentina.

Bintang Paris Saint Germain itu berjaya meledak gol seterusnya mencatatkan hat-trick ke-55 sepanjang kariernya ketika membantu Argentina menewaskan Bolivia 3-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Messi bersama skuad Argentina tidak dinafikan melalui kesukaran pada rehat antarabangsa kali ini, dengan beliau sebelum ini hampir mengalami kecederaan teruk selepas diterjah oleh bintang Venezuela.

Skuad Argentina kemudiannya dihalang untuk beraksi bertemu Brazil, memandangkan ada pemain mereka dilaporkan melanggar protokol peraturan berkait wabak pandemik.

Perlawanan tersebut turut dibatalkan selepas petugas kesihatan dan pihak polis masuk ke padang dan memanggil empat pemain yang dikatakan tidak menjalani kuarantin wajib.

Namun semuanya seperti berbaloi selepas kejayaan Messi mencatatkan hat-trick seterusnya menjulang Piala Copa America di hadapan para penyokong Argentina awal pagi tadi.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu membuka tirai jaringan pada minit ke-14 permainan dalam perlawanan yang dilangsungkan di Estadio Monumental Antonio Vespucio Liberti Stadium di Buenos Aires.

Ia merupakan gol pertama dari tiga gol yang dijaringkan oleh ketua pasukan dan nadi penting skuad kendalian Lionel Scaloni dalam perlawanan tersebut.

Messi menerima bola di atas garisan dan dengan segera beliau melorongkan bola melepasi kaki pemain lawan sebelum melakukan satu sentuhan dan melencongkan bola cantik ke sudut atas tepi gawang.

Ia merupakan gol yang sinonim dengan Messi yang meledak gol dengan melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti.

Gol tersebut memperlihatkan Messi berjaya menyamai rekod Pele dengan menjaringkan 77 gol antarabangsa, namun beliau kemudiannya memecahkan rekod tersebut untuk menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman dari Amerika Selatan.

Beliau menambah dua gol pada aksi babak kedua permainan, menjadikan beliau secara keseluruhannya sudah berjaya menjaringkan 79 gol di pentas antarabangsa.

Rakan sepasukan Messi di Paris, Neymar berada di kedudukan ketiga dalam senarai tersebut dengan menjaringkan 68 gol antarabangsa bersama skuad kebangsaan Brazil.

68 gol itu termasuklah dengan gol terbaru jaringan beliau ketika membantu Brazil menewaskan Peru 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Dalam satu lagi rekod lain, Messi turut menjadi pemain pertama yang berjaya mencatatkan hat-trick dalam 14 tahun yang berbeza.

Selepas Messi mempamerkan kecemerlangan beliau dalam perlawanan ini, skuad Argentina meraikan kejayaan mereka memenangi gelaran Piala Copa America sebelum ini dihadapan para penyokong sendiri.

Skuad kendalian Lionel Scaloni itu menjulang Piala Copa America di hadapan 20,000 penyokong yang memenuhi stadium untuk menonton perlawanan tersebut.

Messi dilihat menitiskan air mata kegembiraan ketika beliau menjulang Piala tersebut di hadapan para penyokong Argentina yang bergembira meraikan kejayaan mereka memenangi saingan Copa America sebelum ini.

Tidak lama selepas perlawanan tamat, Messi dan rakan sepasukannya Angel Di Maria dan Leandro Paredes bersiap sedia untuk kembali ke Paris.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino selepas ini akan beraksi bertemu Clermont Foot di Parc Des Princes pada hujung minggu ini, dengan Messi berkemungkinan bakal diturunkan dalam kesebelasan utama PSG.

Beliau sebelum ini telah melakukan debutnya ketika dimasukkan pada aksi babak kedua bertemu Reims dan Messi dijangka akan melakukan debutnya di halaman sendiri dengan diturunkan sebagai pemain utama.

Para peminat bakal menyaksikan trio Messi, Mbappe dan Neymar buat pertama kalinya dan ia tentu sangat menarik untuk ditonton.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pemenang Anugerah Ballon D'or 2021 Sudah Disahkan