Messi Mencipta Sejarah Baru Dalam Saingan Copa America Ketika Aksi Bertemu Uruguay

Lionel Messi berjaya memecahkan rekod sebagai pencatat assists terbanyak dalam sejarah Copa America selepas kejayaannya membantu Argentina menewaskan Uruguay awal pagi tadi.

Argentina bertemu seteru utama mereka Uruguay dalam aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan B saingan Copa America yang dilangsungkan di Estadio Nacional de Brasillia awal pagi tadi.

Selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Chile sebelum ini, Argentina turun dengan misi wajib menang ketika bertemu Uruguay untuk mengesahkan kedudukan mereka sebagai pendahulu kumpulan B.

Argentina akhirnya berjaya mencatatkan kemenangan pertama mereka dalam saingan Copa America tahun ini selepas menewaskan Uruguay dengan keputusan 1-0.

Kemenangan ini juga membantu Argentina untuk meneruskan rekod cemerlang tidak terkalahkan mereka selepas mengharungi 15 perlawanan.

Argentina setakat ini telah berjaya menjaringkan dua gol dalam pertandingan pada tahun ini, dan Messi telah terlibat dengan kedua-dua gol tersebut.

Bintang Argentina itu juga telah memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan dalam kedua-dua aksi pertemuan bertemu Chile dan Uruguay.

Messi berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma yang cukup cantik dan padu ketika bertemu Chile sebelum ini, dan mencatatkan assists dalam aksi bertemu Uruguay.

Gol sepakan percuma yang beliau jaringkan ketika bertemu Chile merupakan gol ke-73 beliau bersama skuad kebangsaan Argentina.

Apa yang menariknya lagi, gol hasil sepakan percuma itu merupakan gol pertama Messi yang dijaringkan bukan dari sudut sepakan penalti untuk Argentina dalam perlawanan kompetetif sejak aksi Piala Dunia 2018 bertemu Nigeria.

Kali terakhir Lionel Messi menjaringkan gol terus melalui sudut sepakan percuma bersama skuad Argentina adalah pada 2016 yang lalu, ketika bertemu Colombia.

Beliau secara keseluruhannya telah berjaya menjaringkan 73 gol dan mencatatkan 51 assists untuk Argentina sepanjang kariernya.

Secara keseluruhannya, Messi telah terlibat dalam 124 gol untuk Argentina dari 152 penampilannya di pentas bola sepak antarabangsa.

Kehebatan pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu tidak boleh disangkal lagi dengan beliau telah berjaya memenangi 24 anugerah pemain terbaik dari 32 perlawanan sepanjang tahun 2021 ini.

Messi sekali gus telah berjaya memecahkan rekod sebagai pencatat assists terbanyak dalam sejarah saingan Copa America dengan mencatatkan 13 assists.

Beliau juga secara tidak langsung telah terlibat dengan 23 gol dalam saingan Copa America dan ia merupakan rekod tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sejarah pertandingan.

Jadi tidak dinafikan yang beliau sememangnya playmaker terhebat dalam sejarah dunia bola sepak.

Nama beliau akan terus dikenang sepanjang zaman sebagai pemain terhebat yang pernah menghiasi dunia bola sepak ini.

Messi juga merupakan pencatat assists terbanyak dalam sejarah Argentina, Barcelona, dalam saingan Copa America dan beliau turut memegang rekod sebagai pencatat assists terbanyak dalam dunia bola sepak.

Selain mempunyai kualiti penyudah yang mengerikan penjaga gol lawan, beliau juga jelas seorang perancang yang hebat dengan merekodkan assists sebanyak itu.

Dalam aksi bertemu Uruguay, Messi telah mencatatkan statistik yang sungguh luar biasa menakjubkan, dalam membantu skuad kebangsaannya mengutip tiga mata penuh.

Selain mencatatkan satu assists, beliau turut mencipta peluang terbanyak (5), memenangi perebutan bola terbanyak (15), gelecekan berjaya terbanyak (9) dan mencatatkan 85% ketepatan hantaran sepanjang perlawanan.

Beliau jelas mendominasi perlawanan hari ini, Messi bahkan sampai mengalami kecederaan ‘tired leg’ dek kerana gigihnya beliau memikul Argentina untuk memenangi perlawanan ini.

Argentina selepas ini akan bertemu dengan Paraguay pada 22 Jun nanti sebelum turun beraksi bertemu Bolivia pada 29 Jun.

Skuad kendalian Lionel Scaloni itu ketika ini berada di kedudukan pertama dalam kumpulan B, berkongsi 4 mata dengan Chile yang berada di kedudukan kedua.

BACA:  Messi Dilantik Sebagai Ketua Pemimpin Bola Sepak Dunia Yang Baru