Messi Meninggalkan Salah Satu Anugerah Peribadinya Di Dalam Bilik Persalinan Barcelona

Lionel Messi telah memenangi begitu banyak Piala dan anugerah individu sepanjang kariernya di Nou Camp, hingga menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan salah satu darinya di bilik persalinan Barcelona.

Messi kini sudah tidak akan ada dalam bilik persalinan Barca lagi selepas beliau meninggalkan kelab awal bulan lalu, untuk menyertai Paris Saint Germain.

Pemain kebangsaan Argentina itu telah mengadakan sidang media yang cukup beremosi pada 8 Ogos lalu, sebelum mengemas segala barang-barang peribadinya di Nou Camp.

Beliau mengambil semula semua barangan peribadinya yang ada dalam bilik persalinan dan yang mungkin belum beliau ambil sebelum musim panas ini.

Namun media Sepanyol, AS telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa bahawa pemain berusia 34 tahun itu telah tertinggal salah satu barangan peribadinya di dalam bilik persalinan Barca.

Messi dilaporkan telah meninggalkan Piala yang beliau menangi ketika dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan Joan Gamper Trophy pada tahun 2018.

Beliau memenangi anugerah peribadi itu selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika bertemu Boca Juniors.

AS telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan:

“Antara barang yang beliau tertinggal di sini adalah anugerah yang beliau menangi sebagai pemain terbaik dalam perlawanan Joan Gamper Trophy pada tahun 2018. Beliau memenangi anugerah tersebut selepas menjaringkan satu gol dan mencatatkan assists dari 45 minit aksi permainannya dalam perlawanan tersebut, yang mana Barca ketika itu menewaskan Boca Juniors 3-0.”

“Kerana menyedari yang ruang beliau di dalam bilik persalinan akan menjadi milik pemain lain musim ini ( ramai pemain yang menolak untuk memakai nombor 10 kerana sedar tanggungjawab yang bakal mereka pikul selepas ini tersangatlah besar), Messi memutuskan untuk meninggalkan anugerah tersebut di atas perabot dan menghadap dinding.”

“Kini ia masih belum jelas jika akan ada seseorang yang bakal mengambil Piala itu dan mengirimkannya ke Paris, atau meninggalkannya di rumah Messi dia Casteldefels, atau mungkin Messi bakal meminta untuk membiarkan saja ia di dalam bilik persalinan untuk menjadi tanda kenang kenangan.”

Locker lamanya kini masih kosong dengan hanya ada jersi bernombor 10 sahaja yang disimpan di dalamnya.

Pemenang enam kali gelaran Ballon d’or itu ketika ini sedang dalam usahanya untuk menambah koleksi Piala dan anugerah peribadi ketika beliau memulakan karier barunya bersama Paris Saint Germain.

Beliau sudah mula menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukannya yang baru menjelang aksi perlawanan pembukaan bersama kelab barunya nanti.

Pemain terhebat sepanjang zaman itu dijangka akan melakukan debutnya bersama PSG ketika aksi bertemu Reims pada 29 Ogos nanti.

Sementara Barca pula ketika ini masih mencari siapa yang bakal memakai nombor 10 yang ditinggalkan oleh Messi di Nou Camp.

Mengikut peraturan La Liga, setiap pemain perlu memakai jersi bernombor 1 hingga 25 dan ia wajib untuk diikuti oleh semua pasukan.

Oleh yang demikian, Barca perlu mencari pemain yang bakal memakai jerai bernombor 10 itu dengan Sergio Aguero telah ditawarkan untuk menyambung legasi gemilang pemilik nombor tersebut di Nou Camp.

Walau bagaimanapun, Aguero menolak untuk menyambung legasi Romario, Ronaldinho dan Messi itu dan memilih untuk memakai jersi bernombor 19 sahaja.

Beliau menolak untuk memakai nombor tersebut kerana menghormati rakan senegaranya yang juga sahabat karibnya itu dan beliau juga sebenarnya tidak sanggup memikul bebanan memakai nombor tersebut di Nou Camp.

Phillipe Coutinho antara calon yang mungkin akan memakai nombor tersebut selepas nombor 14 yang beliau pakai sebelum ini diberikan kepada pemain lain.

Barca juga tidak menolak kemungkinan yang mereka akan memberikan nombor tersebut kepada salah seorang pemain dari akademi dan yang pasti, nombor itu akan jadi milik seseorang sebelum jendela perpindahan ditutup penghujung Ogos ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Hanya 4 Pemain Liga Perdana Inggeris Tersenarai Dalam Top 100 Atlet Terkaya Di Dunia