Messi Rentap Maruah Sterling Dengan Aksi Nutmeg Yang Sungguh Kemas

Walaupun terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 di Etihad awal pagi tadi, namun setidak-tidaknya Messi ada bawa pulang bekalan ke bumi Paris.

Beliau membawa pulang maruah Raheem Sterling selepas Messi melakukan nutmeg yang cukup menakjubkan ke atas bintang Manchester City itu.

Kedua-dua pasukan bertemu buat kali kedua dalam aksi peringkat kumpulan A saingan Champions League musim ini di Etihad.

Pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan ini pada September lalu memperlihatkan Paris Saint Germain mencatatkan kemenangan 2-0 di halaman mereka sendiri.

Gol jaringan Messi dan Idrissa Gueye berjaya membantu Paris Saint Germain untuk mencatatkan kemenangan selesa 2-0 untuk menewaskan Man City di Parc des Princes.

Namun dalam pertembungan kedua mereka, Man City lebih dominan dengan mereka berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 menewaskan gergasi Ligue 1 itu.

Gol jaringan Raheem Sterling dan Gabriel Jesus sudah cukup untuk memastikan Manchester City mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini.

Dalam aksi perlawanan yang dilangsungkan di Etihad pada awal pagi tadi, Lionel Messi telah melakukan nutmeg yang sangat mengaibkan ke atas Raheem Sterling.

Pemain yang kononnya sebelum ini pernah dikaitkan dengan Man City namun akhirnya beraksi bersama PSG itu telah menunjukkan skill yang mungkin akan terus segar dalam ingatan para penyokong di Etihad.

Baru enam minit perlawanan berlangsung, bintang berusia 34 tahun itu berjaya mengayam-ayamkan Raheem Sterling, dan mengaibkan bintang England itu dengan skill nutmeg yang sungguh menakjubkan.

Satu hal yang pasti, Sterling bukanlah satu-satunya mangsa yang pernah diaibkan oleh Lionel Messi dan beliau juga tentunya bukan yang terakhir.

Messi menunjukkan kelincahan beliau di tengah padang dalam membantu menggerakkan jentera serangan PSG dan ketika berdepan dengan Sterling, beliau tenang melakukan nutmeg dan melepasi bintang England itu.

Walau Messi mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan ini, namun beliau gagal untuk membantu skuadnya mencatatkan kemenangan.

Skuad kendalian Pep Guardiola turun tanpa pemain utama mereka seperti Kevin De Bruyne, Phil Foden dan Jack Grealish namun mereka tetap mampu untuk mendominasi sepenuhnya aksi babak pertama permainan.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-50 permainan menerusi Kylian Mbappe untuk PSG mendahului Man City 1-0.

Pada minit ke-63, Raheem Sterling yang awalnya diaibkan oleh Lionel Messi itu berjaya meledak gol penyamaan untuk Manchester City mengikat PSG 1-1.

Gabriel Jesus meledak gol kemenangan untuk Man City pada minit ke-76 permainan, selepas beliau menyempurnakan hantaran yang cukup cantik dan menakjubkan dari Bernardo Silva.

Jika bukan kerana kehebatan Marquinhos, Presnel Kimpembe, Achraf Hakimi dan Nuno Mendes, Paris Saint Germain berkemungkinan akan teruk dibelasah oleh Man City dalam perlawanan ini.

Ia agak malang untuk Paris Saint Germain selepas gagal mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini, kerana mereka memiliki kesebelasan terbaik berbanding pasukan lawan.

Manchester City yang turun dengan skuad yang bukan dibarisi pemain utama mereka boleh menewaskan pasukan yang dibarisi bintang besar seperti PSG.

The Citizens kini berada di kedudukan pertama dalam saingan peringkat kumpulan A dengan mengumpul 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Paris Saint Germain pula berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 8 mata dari lima perlawanan dengan kedua-dua pasukan sudah mengesahkan tempat layak ke pusingan kalah mati.

Seandainya Paris Saint Germain mempamerkan aksi persembahan yang sama di pusingan kalah mati nanti, mereka sepertinya boleh lupakan saja hasrat mahu menjulang kejuaraan Champions League pertama kelab.

Sumber: SPORTbible

BACA:  "Bola Sepak Eropah Hilang Kualiti" - Ronaldo Turut Sindir Pilihan Messi Ke MLS