Messi Rindukan Saat Bersama Ronaldo Di Sepanyol

ronaldo messi

Penyerang tersohor dunia, Lionel Messi mendedahkan kerinduannya terhadap kelibat Cristiano Ronaldo di Sepanyol selepas pemain Portugal itu berpindah ke Juventus pada musim panas lalu.

Messi turut mendedahkan beliau berhajat untuk bermain di tanah kelahirannya iaitu Argentina buat seketika sebelum mengumumkan persaraan dari bola sepak.

Aku rindu kamu

Selama 9 musim lamanya, Messi dan Ronaldo bersaing secara sihat untuk membantu pasukan masing-masing memenangi sebanyak mungkin trofi disamping mengungguli carta penjaring terbanyak di Sepanyol dan juga Eropah.

Musim panas lalu menyaksikan Ronaldo mengambil keputusan untuk berhijrah ke Itali untuk mencari cabaran baru bersama Juventus.

Messi pula terus setia bersama kelab yang banyak berjasa kepadanya sejak beliau di usia remaja lagi. Tanpa kelibat Ronaldo bersama Real Madrid, Barcelona seperti tidak tercabar dalam perebutan kejuaraan La Liga musim ini dengan memiliki kelebihan 10 mata ke atas penghuni tempat ke-2, Atletico Madrid.

Di peringkat Eropah pula, Barcelona berada dalam landasan terbaik untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah selepas sekian lama dimana mereka bakal berdepan Manchester United di peringkat suku akhir.

Messi merindui saat bersama di Sepanyol

Jika nasib menyebelahi Barcelona dan Juventus, Messi dan Ronaldo berpeluang untuk bersua sekali lagi di peringkat Eropah sama ada separuh akhir atau final Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam satu temu ramah bersama satu stesen radio di Argentina pada hari Jumaat lalu, Messi mengejutkan pendengar radio apabila meluahkan isi hatinya terhadap ‘musuh’ ketat beliau, Ronaldo.

“Saya merindui Cristinao Ronaldo di Sepanyol. Saya berasa bertuah melihat beliau bermain di Sepanyol, walaupun agak mengjengkelkan melihat beliau memenangi begitu banyak trofi. Adalah lebih baik jika Ronaldo masih berada di Sepanyol.”

Messi kembali ke arena antarabangsa bersama Argentina selepas mengambil rehat seketika selepas Piala Dunia 2018.

Walau bagaimanapun, kepulangan beliau sedikit tercemar apabila Argentina tewas kepada Venezuela 3-1 di halaman sendiri dalam aksi persahabatan.

Argentina melalui kempen Piala Dunia 2018 yang agak mengecewakan dimana mereka disingkirkan oleh sang juara, Perancis dalam pusingan 16 pasukan terakhir.

Messi mengakui agak sukar untuk dirinya beralih dari Barcelona ke pasukan kebangsaan dan mendakwa kegagalan Argentina di Russia musim panas lalu adalah disebabkan oleh peralihan tugas melibatkan ramai pemain muda yang kini dianggap pemain senior dalam skuad.

Messi dan Ronaldo mungkin disatukan kembali dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah

“Saya menganggap peralihan generasi kali ini agak ‘kasar’. Peralihan ini sepatutnya dijalankan dengan lebih perlahan. Anda perlu memberi lebih masa dan keyakinan kepada pemain muda. Perubahan yang berlaku dalam skuad Argentina agak besar.”

Messi juga memberitahu beliau amat terkesan sekali dengan kegagalan Argentina memenangi Piala Dunia 2014 dimana mereka tumpas kepada Jerman dalam perlawanan akhir.

Messi juga meminta peminat Argentina supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada pasukan tersebut dalam kempen Copa America 2019 yang dijadualkan berlangsung di Brazil musim panas nanti.

BACA:  Harry Maguire Nafi Ada Masalah Dengan Cristiano Ronaldo