Messi Sentiasa ‘Yakin’ Argentina Akan Mara Ke Peringkat Kalah Mati

Kapten Argentina, Lionel Messi sentiasa ‘yakin’ dengan kemampuan pasukannya untuk menempah tempat ke peringkat kalah mati walaupun terpaksa menunggu sehingga minit-minit terakhir perlawanan sebelum mencatatkan kemenangan ke atas Nigeria awal pagi tadi.

Skuad yang diberi jolokan ‘The Albiceleste’ itu dipaksa berhempas pulas sehingga ke tiupan wisel penamat sebelum mampu meraikan kejayaan layak ke peringkat kalah mati.

Messi meraihkan gol Piala Dunia 2018 pertama beliau

Pemain pertahanan Manchester United, Marcus Rojo muncul wira untuk Argentina apabila menjaringkan gol ketiga perlawanan pada minit ke-86 untuk menghantar Nigeria pulang ke kampung halaman mereka.

Seperti dijangka, Argentina bermula garang dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu Nigeria bagi mencari gol sebanyak yang mungkin.

Hasilnya, Argentina berjaya memperoleh gol awal menerusi Messi yang bijak mengawal bola hantaran jauh Ever Banega sebelum merembat kencang bola menewaskan penjaga gol Nigeria, Francis Uzoho.

Ia juga merupakan gol ke-100 untuk edisi Piala Dunia setakat ini.

Langit tidak selalunya cerah buat Argentina apabila Nigeria dianugerahkan sepakan penalti pada awal babak kedua selepas bola terkena tangan Javier Mascherano di dalam kotak penalti.

Pemain Chelsea, Victor Moses diberi tanggungjawab untuk mengambil sepakan tersebut dan beliau tenang menewaskan penjaga gol Argentina, Franco Armani.

Argentina  tetap mara ke peringkat kalah mati walaupun dimalukan Croatia 3-0 sebelum ini

Argentina melakukan serangan bertali arus ke arah kubu Nigeria selepas itu tetapi penyudah yang tumpul menjadi penghalang.

Ketika perlawanan dilihat seakan berakhir dengan keputusan seri, muncul Marcos Rojo menjadi penyelamat Argentina dengan gol kemenangan dan menyelamatkan negaranya dari tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Walaupun Argentina terpaksa berhempas pulas sehingga penghujung perlawanan sebelum mengesahkan 3 mata, Messi berkata beliau sentiasa ‘yakin’ Argentina akan layak ke pusingan kalah mati.

“Kami sangat yakin yang kami akan memenangi perlawanan ini. Ia merupakan pengalaman yang indah untuk memenangi perlawanan ini dengan cara yang telah kami lakukan tadi. Ia satu kegembiraan yang berhak kami dapat.”

“Saya tahu Tuhan sentiasa bersama kami dan Dia tidak tidak meninggalkan kami begitu sahaja. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berada di sini atas pengorbanan mereka, dan juga peminat Argentina yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan. Jersi pasukan kebangsaan lebih penting dari segala-galanya.”

Rojo dengan gol kemenangan Argentina !

Hero Argentina, Marcus Rojo berkata segalanya boleh berlaku sebaik sahaja peringkat kalah mati bermula, ditambah dengan Messi yang mula mendapat rentak sebenar beliau.

“Kami sangat memerlukan kemenangan ini. Sekarang Piala Dunia sebenar bermula untuk kami. Lionel Messi berkata kepada kami yang beliau akan menjaringkan gol dan beliau berjaya melakukannya.”

“Gol ini saya tujukan kepada keluarga dan kumpulan pemain ini yang berhak mengecapi kejayaan ini. Let’s go Argentina.”

Argentina akan bertemu Perancis dalam pusingan pertama peringkat kalah mati Sabtu ini (10 malam) yang akan berlangsung di Kazan Arena.

BACA:  Neymar Menganjing Cara Argentina Meraikan Kejayaan Menewaskan Itali