Lionel Messi mengalami kecederaan patah tulang tangan kanan pada separuh masa pertama dalam perlawanan La Liga di antara Barcelona dan Sevilla awal pagi tadi.
Messi dilaporkan terpaksa berehat paling kurang 3 minggu sebelum dapat menjalani latihan penuh. Kecederaan ini bermakna Messi tidak akan beraksi dalam perlawanan El-Clasico menentang Real Madrid hujung minggu hadapan yang bakal berlangsung di Nou Camp.
Dalam perlawanan tersebut, Barcelona menamatkan rentetan 4 perlawanan La Liga tanpa sebarang kemenangan dengan menewaskan Sevilla 4-2 di hadapan penyokong sendiri.
Bekas pemain Liverpool, Philippe Coutinho berjaya menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-2 hasil lorongan cantik Messi. 10 minit kemudian, giliran Messi pula menambah sengsara Sevilla dengan mudah melencongkan bola ke arah penjuru kanan gawang Sevilla.
Malang buat Messi kerana pada minit ke-26, beliau terpaksa meninggalkan padang kerana mengalami kecederaan serius di bahagian tangan kanannya. Messi yang bergelut dengan pemain Sevilla, Franco Vazquez untuk mendapatkan bola jatuh dalam keadaan salah dan hentakan tersebut menyebabkan salah satu tulang di bahagian lengan kanan Messi patah.
Ousmane Dembele dibawa masuk untuk menggantikan tempat Messi. Separuh masa kedua menyaksikan Barcelona berjaya menambah dua lagi gol menerusi Luis Suarez dan Ivan Rakitic manakala Sevilla memperolehi dua gol saguhati menerusi Pablo Sarabia dan Luis Muriel.
Messi keluar dari bilik persalinan pada separuh masa kedua dalam keadaan tangannya berbalut dan pengurus Barcelona, Ernesto Valverde mengsahkan bintang Argentina itu tidak akan dapat bermain buat seketika.
“Sudah tentu kecederaan Messi merupakan satu tamparan yang hebat buat kami. Kami tahu apa yang beliau mampu lakukan untuk memberi ancaman terhadap pihak lawan.”
“Kami perlu mempersiapkan pasukan tanpa kehadiran Messi. Kami tidak akan bermain tanpa khidmat Messi buat seketika tetapi Barcelona mempunyai pemain yang mampu menggantikan tempat beliau.”
https://twitter.com/nealcol/status/1053847872322584578
Kemenangan Barcelona ke atas Sevilla berjaya menghantar pasukan tersebut ke persada La Liga dengan mengutip 18 mata selepas mengharungi 9 perlawanan.
Walau bagaimanapun, Barcelona perlu mencari jalan untuk mengharungi El-Clasico pertama musim ini tanpa kehadiran Messi yang mungkin perlu berehat selama tiga minggu.
Sebelum perlawanan menentang Real Madrid hujung minggu hadapan, Barcelona akan menentang Inter Milan pada awal pagi Khamis nanti dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.