MFL Sangat Kecewa Dengan Trofi Kasut Emas Yang Kelakar Teruk

Malaysia Football League(MFL) menzahirkan rasa kecewa trofi kasut emas yang sangat tinggi nilai seninya dan menimbulkan rasa kelakar diberikan kepada pemenang di Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 beberapa hari lalu.

Menurut MFL trofi tersebut tidak memenuhi standard dan tidak layak diberikan kepada pemenang.

“MFL sangat kecewa dengan trofi yang telah dipersembahkan pada Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 yang lepas. Trofi berkenaan tidak memenuhi standard seperti apa yang diharapkan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Pengerusi MFL dan ianya juga tidak layak diberikan kepada pemenang yang telah memberikan yang terbaik sepanjang musim ini.”

MFL telah mengenal pasti kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan trofi tersebut hingga berlaku kesilapan.

“MFL telah mengenal pasti kakitangan yang telah membuat kesilapan dalam pesanan untuk membuat trofi tersebut dan beliau cuba untuk menutup perkara tersebut tanpa sebarang maklumat yang diberitahu kepada pihak pengurusan MFL. Seperti dilihat dari gambar-gambar yang dilampirkan, MFL sentiasa memberikan trofi yang sesuai dan mengikut standard yang perlu.”

Pemenang akan dihubungi MFL untuk proses penggantian trofi.

“MFL juga telah mengambil inisiatif untuk menghubungi semua pemenang bahawa MFL akan menggantikan trofi ini dengan yang lebih sesuai dengan pencapaian mereka.”

Kemaafan telah dipohon MFL yang nyata hampa dengan apa yang berlaku dan tindakan sudah diambil ke atas mereka bertanggung jawab.

“MFL sentiasa berusaha untuk menjadikan ABK ini lebih besar dan megah setiap tahun. Kejayaan ini telah dicapai sehingga kejadian yang sangat menghampakan ini berlaku. Jadi sudah pasti pihak MFL tidak berniat untuk memberikan sebuah trofi yang tidak sesuai kepada semua pemenang, dan tindakan sudah diambil ke atas mereka yang terlibat dalam kejadian yang menghampakan ini.”

“Dengan ini, MFL memohon maaf kepada semua pemenang dan juga komuniti bola sepak Malaysia diatas insiden yang tidak mencerminkan matlamat, visi dan piawaian MFL dan Tunku Pengerusi kami yang sangat menekankan standard dan kualiti dalam semua aspek. MFL akan lebih baik pada masa hadapan.”

Baca Juga

Baca Juga