MFL Tamatkan Kontrak Penajaan Bersama TM

Kerjasama antara Malaysian Football League (MFL) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang merupakan rakan penaja terbesar Liga Malaysia telah ditamatkan selepas TM gagal menjelaskan pembayaran hak penyiaran musim ini.

Memetik laporan Utusan Online, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menytakan bahawa kegagalan TM mematuhi kontrak yang dipersetujui menjadi punca perpisahan ini.

“Kontrak antara TM ditamatkan hari ini selepas mereka gagal membuat pembayaran pada tahun 2019 dan mematuhi kontrak yang telah dipersetujui.

Tindakan undang-undang juga akan diambil ke atas TM.

“Kita akan mengambil tindakan undang-undang kerana TM melanggar kontrak yang telah ditandatangani namun tindakan selanjutnya akan dimaklumkan kemudian.

“Apa pun, kita sedang berusaha mendapatkan penajaan baharu dan mungkin akan memaklumkan dalam beberapa minggu lagi,”

Melalui mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) telah mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia(TM).

TM sebelum ini menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun pada 29 Januari tahun lalu bernilai bernilai RM480 juta atau 60 juta setahun.

Pengerusi MFL DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim nyata kecewa dengan sikap TM dan telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam mengadakan perbincangan rasmi dengan pihak-pihak yang berminat untuk menjadi penaja baru Liga Malaysia.

“Saya telah arahkan CEO MFL untuk mengadakan perbincangan rasmi dengan pihak-pihak yang berminat dengan segera.”

“Sebelum ini kita mendapat pertanyaan secara tak rasmi apabila ada pihak mendengar khabar angin bahawa TM tidak mahu meneruskan tajaan Liga Malaysia namun kita sentiasa menghormati kontrak bersama TM.”

“Seperti kita pernah umumkan dahulu, kita sentiasa menjadi rakan kongsi yang baik kepada TM dan mahu memberi mereka masa untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.”

“Selain itu MFL sudah banyak kali berusaha untuk mengadakan perbincangan dengan pihak TM tetapi langkah itu menemui jalan buntu. Jadi MFL tidak boleh terus menunggu kerana kita ada tanggungjawab untuk menguruskan Liga Malaysia.”

“Sejujurnya saya kecewa dengan tindakan TM dan kita dapat melihat bahawa ada perubahan drastik dalam dalam urusan kontrak bersama MFL bermula Mei tahun lepas.”

Bola Sepak menjadi mangsa politik.

“Saya sendiri tak menjangka TM akan melakukan perkara ini kepada bola sepak Malaysia yang sudah menjadi seakan nadi seharian puluhan juta rakyat Malaysia.”

“Kami tahu mungkin kerajaan atau TM mempunyai keutamaan lain tapi mereka tidak boleh membiarkan sukan nombor satu negara yang menyatukan negara menderita kerana tindakan ini. Inilah yang akan berlaku apabila sukan dipolitikkan.”

“Namun kita akan cuba sebaik mungkin untuk terus maju tanpa mereka kerana bolasepak ini adalah milik rakyat. Kita masih ada penaja dan pelabur dari pihak-pihak lain yang bersama kami dan ada penaja baru yang akan muncul. Itu sudah pasti.” Titah baginda.”

Tunku Ismail meminta semua pihak khususnya pemegang taruh MFL yang terdiri daripada 24 pasukan Liga Malaysia tidak bimbang di sebalik penamatan kontrak penajaan TM tersebut.

“MFL sentiasa mengorak langkah untuk menjaga kepentingan pasukan dengan mencari jalan mengukuhkan kewangan pasukan bertanding dalam Liga Malaysia.”

“Ini kerana bola sepak bukan sahaja dinilai daripada aspek komersial tetapi sukan nombor satu negara ini adalah medium penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.”

“Jadi ia menjadi tanggungjawab bersama untuk memajukan sukan bola sepak.”

Baca Juga

Baca Juga