Penjaga gol antarabangsa Belgium, Simon Mignolet sedang mencari jalan keluar daripada Liverpool berikutan ketibaan penjaga gol termahal dunia, Alisson dari AS Roma.
Mignolet melihat ketibaan Alisson sebagai tanda khidmatnya tidak diperlukan lagi di Anfield dan sudah mengarahkan ejennya untuk memburu kelab yang akan beliau sertai musim depan.
Penjaga gol berusia 30 tahun itu dianggap sebagai penjaga gol ke-2 Liverpool musim lepas walaupun Jurgen Klopp sering menggilirkan penjaga gol.
Loris Karius mendapat kepercayaan Klopp untuk beraksi dalam pertandingan yang penting dan ia terbukti apabila Karius mendapat kepercayaan Klopp untuk beraksi dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.
Melihat kepada keadaan tersebut, Mignolet merasakan masa depannya di Anfield sudah berakhir dan sedang berusaha keras untuk mencari kelab baru dalam masa terdekat ini. Barcelona dilaporkan bersedia untuk membawa masuk Mignolet kerana mereka sedang menghadapi masalah kekurangan penjaga gol memandangkan penjaga gol simpanan, Jasper Cillessen telah menarik minat beberapa kelab utama Eropah.
Misi utama Mignolet adalah untuk kelab yang mampu menawarkan posisi penjaga gol utama kepada beliau dan Liverpool bukan lagi tempat untuk beliau menerima kepercayaan tersebut.
Ejen Mignolet, Nico Vaesen berkata ketibaan Alisson sebenarnya bukan faktor utama Mignolet ingin berpindah kerana beliau sudah mengambil keputusan untuk meninggalkan Liverpool sama ada Alisson tiba atau tidak.
“Ketibaan Alisson di Liverpool tidak mengubah apa-apa. Matlamat utama kami adalah untuk mencari jalan penyelesaian supaya Simon Mignolet dapat bermain dan ketibaan Alisson tidak mengubah perkara tersebut.”
“Kami juga sedar pemain yang dibeli €60-70 juta tidak akan berada di bangku simpanan. Kami sedang mengkaji situasi sekarang dan akan mencari jalan penyelesaian mengenai masalah kekurangan waktu permainan yang dihadapi Mignolet.”
“Terdapat beberapa pilihan untuk Mignolet sertai musim depan, beberapa hari yang akan datang bakal menentukan segala-galanya.”
Mignolet merupakan penjaga gol kedua skuad Belgium yang menduduki tangga ke-3 keseluruhan dalam Piala Dunia 2018 yang berakhi hujung minggu lalu. Walaupun sering memanaskan bangku simpanan bersama Liverpool, beliau masih mendapat kepercayaan Roberto Martinez untuk mewakili Belgium di Russia.
Mignolet mengakui beliau perlu menyelesaikan masalah kekurangan waktu permainan dengan segera sekiranya beliau mahu terus dipanggil mewakili Belgium pada masa hadapan.
“Saya tidak bermain dalam beberapa bulan terakhir di Liverpool, jadi selepas Piala Dunia saya akan melihat semua tawaran yang ada. Saya tidak boleh kata berkata lebih dari itu buat masa sekarang.”
Mignolet menyertai Liverpool dari Sunderland pada tahun 2013 dan telah melakukan 200 penampilan bersama kelab tersebut sepanjang 5 musim bersama.