Mignolet Yakin Karius Akan Kembali Lebih ‘Gagah’ Selepas Mimpi Ngeri Di Kiev

Penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet yakin rakan sepasukannya Loris Karius akan kembali lebih ‘kuat’ selepas mengharungi mimpi ngeri ketika Liverpool tewas di tangan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah hujung minggu lalu.

Mignolet dan Karius bersaing merebut jersi No.1 di Anfield musim ini tetapi Karius dilihat berjaya memenangi hati Jurgen Klopp untuk menjadi penjaga gol utama pasukan sejak kebelakangan ini.

Karius ditenangkan oleh Gareth Bale dan staff kejurulatihan Liverpool sebaik sahaja perlawanan tamat

Dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah Ahad lalu, Karius melakukan dua kesilapan ‘budak sekolah’ yang membolehkan Karim Benzema dan Gareth Bale menjaringkan gol.

Mignolet yang berada di bangku simpanan pada malam tersebut hanya mampu bersimpati dengan apa yang telah dilalui Karius.

“Saya tahu apa yang Karius lalui ketika ini. Anda perlukan sedikit masa untuk kembali pulih. Apa yang bagusnya mengenai pentas final adalah Karius mempunyai cuti musim panas untuk melupakan insiden tersebut dan bersiap sedia untuk masa hadapan.”

“Jika beliau mahu berbicara mengenai perkara tersebut, sudah tentu saya bersedia untuk mendengarnya. Setiap penjaga gol faham situasi yang telah Karius lalui.”

“Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang sama dan perkara sebegini anda perlu atasi secara sendiri. Hanya satu perkara sahaja saya beritahu Karius iaitu ada sebab mengapa Liverpool layak ke perlawanan akhir dan mengapa kami dapat bermain dalam perlawanan akhir tersebut.”

Insiden yang mampu membunuh karier Karius

“Tetapi sudah tentu agak sukar untuk bercakap dengan beliau ketika ini dan memahami apa yang anda cuba sampaikan kepadanya.”

Penjaga gol antarabangsa Belgium itu juga meluahkan rasa simpati beliau terhadap puluhan ribu penyokong Liverpool yang berkunjung ke Kiev, Ukraine dan mengeluarkan duit yang banyak untuk hadir ke stadium menyaksikan pasukan mereka bermain.

“Jika anda lihat jumlah peminat Liverpool yang berada di belakang kami dan menyanyikan lagu istimewa untuk pasukan sepanjang kempen Eropah kami , mereka berjaya mencipta sesuatu yang istimewa tahun ini.”

Karius meminta maaf kepada penyokong Liverpool kerana dua kesilapannya memberi kemenangan kepada Real Madrid

“Kami berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat memenangi trofi yang peminat Liverpool sangat inginkan. Saya rasa pasukan ini telah bermain sebagai satu unit pasukan, bukan secara individu. Kesemua 11 pemain telah memainkan peranan dengan baik.”

“Semua pihak telah berada di belakang pasukan sejak kali pertama kami melangkah ke kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Saya rasa perkara yang sama juga akan berlaku pada masa hadapan.”

BACA:  Klopp Anggap Guardiola Sebagai Pengurus Terbaik Dunia, Lebih Bagus Dari Mourinho