Mikel Arteta Berubah Menjadi Jelmaan Jose Mourinho Ketika Bercakap Tentang Mutu Pengadilan

“Saya memilih untuk tak nak bercakap. Jika saya bercakap, saya dalam masalah besar” ia merupakan kenyataan dari Mikel Arteta selepas tamat aksi kekalahan 3-0 Arsenal bertemu Tottenham Hotspur awal pagi tadi.

Kenyataan beliau itu mengingatkan peminat kepada Jose Mourinho yang turut akan mengeluarkan kenyataan hampir sama ketika bercakap selepas tamat sesebuah perlawanan itu.

Semua peminat tentu tahu ayat terkenal yang sering digunakan oleh Jose Mourinho dengan beliau akan menyebut, ‘Saya memilih untuk tidak bercakap tentang pengadil’.

Ayat itu sudah cukup sinonim dengan pengurus AS Roma itu dan beliau akan gunakannya tidak kira di mana beliau berada dalam dunia bola sepak ini.

The Special One tahu andai beliau menyebut apa-apa tentang pengadil, maka beliau sebenarnya sedang meletakkan dirinya sendiri di posisi bahaya.

Dan kerana itulah beliau akan gunakan ayat, ‘Saya tidak akan bercakap’ untuk memberi gambaran yang beliau sebenarnya banyak hal yang mahu diperkatakan.

Kini, Mikel Arteta meminjam ayat tersebut dan beliau berubah seolah-olah menjadi jelmaan semula Jose Mourinho ketika bercakap dalam temu bual selepas tamat aksi kekalahan bertemu Spurs awal pagi tadi.

Perlawanan itu berubah dengan sangat drastik dalam tempoh 15 minit pada aksi babak pertama permainan, dengan Arsenal memberi penalti kepada lawan, Rob Holding dilayangkan kad merah dan mereka bolos satu lagi gol.

Selepas tamat perlawanan, pengurus Gunners itu jelas sekali tidak gembira dan beliau mendedahkan kepada Sky Sports bahawa:

“Jika saya kata tentang apa yang saya fikir, saya rasa saya akan digantung selama enam bulan.”

Sejujurnya ramai peminat yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang mahu dikatakan oleh Mikel Arteta itu.

Jika beliau berani kata yang beliau akan berdepan hukuman penggantungan selama enam bulan, maka berapa banyak kata-kata carutan yang akan keluar dari mulut dia agaknya tu?

Bekas pembantu jurulatih Manchester City itu pada awalnya terganggu dengan keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Spurs.

Beliau menganggap Cedric Soares tidak menolak Son Heung-min dan Spurs tak sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti.

Ia mungkin keputusan yang terlalu tegas dari Paul Tierney namun secara logiknya Spurs memang berhak untuk dihadiahkan sepakan penalti dari insiden tersebut.

Jika beliau sedikit bijak dalam bertahan dan tak perlu melakukan sentuhan berisiko dalam kotak penalti, maka tidak mungkin akan ada sepakan penalti itu.

Untuk mempertahankan Holding ia jelas sekali tugas yang sukar untuk pengurus Arsenal itu.

Hal ini kerana pemain pertahanan beliau itu sudah cukup bernasib baik tidak dilayangkan kad merah lebih awal selepas Holding dua kali terselamat dari layangan kad kuning sebelum dibuang padang.

Penyokong Arsenal sendiri turut sedar yang mereka tak boleh pertikaikan hal tersebut dan mereka turut terpaksa akur Son Heung-min dan Harry Kane terlalu banyak beri masalah kepada mereka dalam perlawanan ini.

Selain menjadi punca Holding dilayangkan kad merah, Son Heung-min turut memenangi penalti, menjadi pencetus gol kedua Spurs dan beliau turut menjaringkan gol ketiga mereka dalam perlawanan ini.

Kemenangan Tottenham Hotspur dalam perlawanan ini membantu skuad kendalian Antonio Conte itu untuk merapatkan jurang mata dengan Arsenal yang sedang berada di kedudukan keempat.

Berbaki dua perlawanan lagi, Spurs akan turun bertemu Burnley dan Newcastle sebelum mengesahkan sama ada mereka layak atau tidak untuk mereka beraksi di pentas saingan Champions League musim hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Jose Mourinho Balas Kritikan Pedas Paul Scholes Terhadap Pasukannya