Mikel Merino: Dari Tengah ke Penyerang? Boleh je.
Dalam dunia bola sepak, ada yang kata “main ikut posisi,” tapi Mikel Merino buktikan sebaliknya. Pemain tengah Sepanyol itu kini menjadi penyerang utama Arsenal dalam beberapa perlawanan terakhir dan yang lebih menarik, kali terakhir dia bermain sebagai penyerang ialah ketika dia berumur 7 tahun dalam pasukan sekolahnya.
Merino dipaksa mengambil peranan sebagai pemain No. 9 selepas Arsenal kehilangan Bukayo Saka, Gabriel Jesus, Gabriel Martinelli dan Kai Havertz akibat kecederaan. Dia membuktikan kemampuannya dengan menjaringkan 3 gol termasuk 1 ketika Arsenal membelasah PSV Eindhoven 7-1 dalam Liga Juara-Juara.
“Gila juga bila fikir balik tapi inilah bola sepak,” kata Merino dengan senyuman selepas perlawanan. “Kalau jurulatih suruh main di satu posisi, kita kena adaptasi. Yang penting mentaliti kena betul dan sentiasa belajar.”
Berlatih Seperti Penyerang, Berfikir Seperti Pemain Tengah
Merino mengakui bahawa peralihan ini bukan mudah tetapi dia banyak berbincang dengan penganalisis dan Mikel Arteta untuk memahami peranan baru ini.
“Saya selalu cuba faham apa yang berlaku di atas padang, bukan sekadar posisi saya sendiri,” jelasnya. “Kalau kita tahu peranan rakan sepasukan, lebih mudah untuk kita sesuaikan diri.”
Buktinya jelas, Arsenal menjaringkan 7 gol ke atas PSV dengan 6 pemain berbeza menyumbang gol. Selain Merino, Jurrien Timber, Ethan Nwaneri, Martin Odegaard, Leandro Trossard dan Riccardo Calafiori juga mencatat nama sebagai penjaring.
Yang lebih menarik, Nwaneri yang baru berusia 17 tahun, kini hanya 1 gol lagi untuk menyamai rekod Michael Owen dan Wayne Rooney sebagai pemain bawah 18 tahun yang menjaringkan 9 gol untuk kelab Inggeris.
“Nwaneri pemain yang luar biasa,” kata Merino. “Setiap kali saya datang ke sidang media, mesti ada yang tanya pasal dia. Tapi saya tak kisah sebab dia memang layak diberi perhatian.”
Selain berbakat besar, Nwaneri juga sentiasa bersemangat untuk belajar dan bekerja keras dalam latihan.
“Dia bukan sekadar berbakat tetapi juga mempunyai mentaliti yang matang dan sentiasa mendengar nasihat jurulatih serta pemain senior,” tambah Merino.
Anak Muda Arsenal: Harapan Masa Depan
Nwaneri bukan satu-satunya bintang muda Arsenal. Dia dan rakan baiknya, Myles Lewis-Skelly mencipta sejarah sebagai 2 remaja Inggeris pertama yang bergabung untuk menghasilkan gol dalam Liga Juara-Juara.
Merino juga pernah berlatih bersama pemain muda Sepanyol, Lamine Yamal yang baru berusia 16 tahun ketika Euro 2024 dan meraikan ulang tahunnya sehari sebelum Sepanyol menewaskan England dalam final.
“Bagus bila ada pemain muda berbakat seperti mereka,” kata Merino. “Ia memberi tenaga baru kepada pasukan dan juga kegembiraan kepada peminat.”
Namun ada satu perkara yang membuatkan Merino sedikit risau iaitu usianya!
“Dulu saya antara pemain paling muda di padang, sekarang hampir semua orang lebih muda daripada saya. Kadang-kadang rasa macam… aduh, dah tua ke aku ni?” katanya sambil ketawa.
“Tapi itu lumrah bola sepak. Sekarang peranan saya lebih kepada seorang ‘cikgu’. Saya bukan cikgu sebenar tapi saya boleh kongsi pengalaman saya dengan mereka.”
Fokus Seterusnya: Old Trafford!
Seterusnya, Arsenal akan bertandang ke Old Trafford untuk berdepan Manchester United pada 9 Mac. Dengan momentum kemenangan besar ke atas PSV, skuad Arteta pastinya mahu terus mengganas.
Adakah Merino akan menjaringkan gol lagi sebagai penyerang? Atau mungkin dia akan kembali ke posisi asalnya? Apa pun yang pasti Arsenal kini semakin yakin dan bersedia untuk menghadapi cabaran seterusnya!