Milner: Liverpool Sudah Bersedia Hadapi Ujian Separuh Akhir Yang Sukar Menentang Barcelona

Pemain tengah Liverpool, James Milner berkata pasukan itu akan melayan saingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Barcelona dengan penuh keyakinan.

Liverpool diundi bertemu Barcelona dalam peringkat separuh akhir selepas mudah menundukkan Porto 6-1 secara aggregat. Manakala Barcelona juga tidak berdepan sebarang masalah untuk menyingkirkan calon juara, Manchester United dengan aggregat 4-0.

Milner belum pernah memenangi Liga Juara-Juara sepanjang kariernya. Mujur pernah menang liga dengan City dulu

Kedua-dua pasukan ini akan bertembung buat kali pertama musim ini di Nou Camp pada 1 Mei dan perlawanan timbal balik akan diadakan seminggu selepas itu, pada 7 Mei.

Satu lagi pertembungan separuh akhir adalah di antara Ajax menentang satu lagi wakil dari England, iaitu Tottenham Hotspurs.

Milner yang pernah bermain untuk Manchester City sebelum ini, percaya Liverpool mempunyai kemampuan untuk menewaskan Barcelona tetapi mengakui ia satu ujian yang sukar.

“Kami boleh menewaskan Barcelona tetapi ia akan menjadi satu ujian yang sukar.”

“Saya sudah berada dalam situasi yang sama sebanyak dua kali bersama bekas pasukan saya [Manchester City] dimana kami gagal meraih keputusan yang baik. Jadi saya harap percubaan kali ke-3 ini akan memberikan tuah kepada saya.”

MIlner dan Klopp sudah tidak sabar berdepan Barcelona

“Barcelona adalah sebuah pasukan yang kuat dan juga tempat yang sukar untuk dikunjungi. Tetapi saya rasa mereka tidak kerap bertemu pasukan yang mempunyai corak permainan seperti kami.”

“Stadium Nou Camp adalah stadium yang menakjubkan dan tempat yang hebat untuk bermain serta atmosfera yang cukup mengujakan.”

“Ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar dan kami perlu berada dalam keadaan terbaik bagi menyukarkan lagi keadaan buat mereka.”

Liverpool berada dalam landasan terbaik untuk mara ke perlawanan akhir buat kali ke-2 berturut-turut dalam tempoh 2 musim. Musim lepas mereka dikecewakan Real Madrid di pentas final dan musim ini tinggal Barcelona sahaja yang memisahkan Liverpool dengan satu lagi penampilan di perlawanan akhir.

“Sepanjang dua musim kebelakangan ini, berdasarkan pasukan yang kami telah tewaskan dalam Liga Juara-Juara Eropah, kami akan pergi ke Barcelona dengan penuh yakin. Tidak kisah sama ada ia bakal menjadi satu pertembungan yang sukar atau tidak.”

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp pula sudah tidak sabar untuk berdepan dengan Barcelona dan menganggap pertembungan itu nanti sebagai perlawanan bola sepak yang sebenar.

“Saya tahu orang di luar sana tidak berapa hormat dengan Porto tetapi kami tahu ia adalah perlawanan yang sukar.”

Coutinho akhirnya kembali ke gagang selepas lebih setahun berkelana

“Kami menang 2-0 di Anfield tetapi apa sahaja boleh berlaku di sini [Portugal]. Semua pasukan yang layak ke separuh akhir dan suku akhir adalah pasukan yang kuat.”

“Sekarang kami akan berdepan Barcelona dalam peringkat separuh akhir. Saya sangat gembira kerana dapat berdepan dengan Barcelona.”

“Kami akan cuba cari jalan untuk menewaskan mereka tetapi dari sudut lain, saya tidak kisah sebenarnya. Kami akan berdepan Cardiff pada hari Ahad nanti. Itu yang berada dalam fikiran saya sekarang, bukannya bagaimana untuk kami bermain menentang Barcelona nanti.”

BACA:  Alonso Lebih Rela Kekal Di Leverkusen Daripada Menguruskan Darwin Nunez