Milner Mahu Liverpool Konsisten Terlebih Dahulu Sebelum Bercakap Mengenai Kejuaraan Liga

Pemain tengah Liverpool, James Milner berkata Liverpool tidak terlalu memikirkan mengenai peluang mereka untuk memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini, tetapi Milner percaya skuad Liverpool sekarang mampu memberikan saingan kepada Manchester City dalam perebutan liga.

Liverpool memulakan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dengan langkah kanan apabila membelasah West Ham 4-0 di hadapan penyokong sendiri.

Milner tidak mahu terlalu memikirkan mengenai peluang mereka menjulang trofi EPL , cukuplah sekadar aksi konsisten terlebih dahulu.

Berikutan persembahan cemerlang yang dipamerkan anak buah Jurgen Klopp dalam perlawanan tersebut, ramai meletakkan Liverpool sebagai calon utama untuk muncul juara liga musim ini dan mengakhiri penantian selama 28 tahun untuk menjulang trofi tersebut.

Akan tetapi, Milner tidak mahu peminat Liverpool terlalu teruja dengan peluang Liverpool musim ini walaupun mereka baru sahaja membelanjakan hampir £170 juta untuk membawa masuk pemain berkualiti tinggi seperti Alisson Becker, Fabinho, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri.

Milner lebih berminat untuk memastikan Liverpool mempamerkan prestasi yang konsisten terlebih dahulu sebelum memikirkan peluang mereka untuk memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Penjaga gol kedua termahal dunia

“Itu terpulang kepada pihak di luar sana untuk bercakap mengenai peluang Liverpool. Sudah tentu pihak media akan selalu bercakap mengenainya.”

“Tetapi bagi kami, kami hanya memulakan musim ini dengan baik dan menjadi lebih baik sebagai satu pasukan. Selepas itu baru kita lihat di mana kami berada.”

“Saya rasa kami mampu menewaskan mana-mana pasukan pada hari kami dan kami sudah membuktikan perkara tersebut. Tetapi sekarang apa yang lebih penting adalah untuk mendapatkan konsistensi.”

“Kami semua tahu betapa sukarnya untuk memenangi kejuaraan liga di England, dan ia memerlukan tahap konsisten yang baik sepanjang 38 perlawanan.”

“Kami akan biarkan orang di luar sana bercakap mengenai cabaran-cabaran yang perlu kami hadapi, dan tugas kami sekarang adalah untuk beraksi dengan baik dan mengutip mata sebanyak yang mungkin.”

Perbelanjaan mewah Liverpool musim ini telah menarik perhatian banyak pihak dimana Liverpool merupakan kelab paling banyak berbelanja pada jendela perpindahan musim panas ini berbanding kelab Inggeris yang lain.

Milner memuji polisi perpindahan pemain Liverpool dan berkata pemain-pemain baru Liverpool tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Adakah ‘This Year Is Our Year’ akan berlaku musim ini ?

“Anda lihat kesebelasan utama yang turun menentang West Ham dan pemain yang berada di bangku simpanan – dan juga pemain yang masih cederan dan tidak berada dalam skuad.”

“Ia merupakan skuad yang cukup kuat dan itulah perkara yang anda perlukan. Semua pasukan terbaik dunia mempunyai kedalaman skuad yang baik dan persaingan di setiap posisi.”

“Bukan perkara mudah untuk bertukar pasukan dan mempelajari sistem yang baru. Ditambah pula corak permainan kami berlainan dari pasukan lain, jadi sedikit masa diperlukan untuk menyesuaikan diri.”

“Tetapi pemain baru Liverpool telah berjaya menyesuaikan diri dengan baik dan saya percaya mereka akan menjadi lebih baik selepas ini.”

BACA:  Klopp Meradang Ketika Sidang Media Selepas Diganggu Penyokong Toulouse