Misi Mustahil Ruben Amorim di Manchester United?

Ruben Amorim dan Usaha Meyakinkan Pemain Manchester United. Ucapan Ringkas, Sasaran Besar dan Kejujuran Mengenai Masa Depannya.

Nasihat Ringkas dan Masalah Besar

Sejak tiba di Manchester United pada bulan November, Ruben Amorim telah mencuba pelbagai cara untuk menanam kefahaman dalam kalangan pemainnya. Namun dalam perlawanan di Goodison Park, pendekatan yang dipilihnya cukup mudah – bercakap sedikit tetapi padat dengan mesej yang penting.

Ketika United ketinggalan 2-0 kepada Everton dan bermain seperti pasukan yang baru belajar bola sepak, Amorim tidak memilih untuk membebel panjang di bilik persalinan. Sebaliknya, dalam beberapa minit sahaja dia menegaskan agar pemain ingat semula latihannya di Carrington dan mengikut arahan yang telah ditetapkan untuk separuh masa kedua.

Selepas itu, dia keluar dari bilik persalinan dan menghabiskan masa berjalan ke sana ke mari di lorong stadium dengan wajah penuh kebimbangan, mungkin dia memikirkan sama ada dia tersalah pilih kerja atau tidak. Pemain United pula keluar awal untuk separuh masa kedua tetapi tidak lah terus bertukar menjadi pasukan hebat. Mereka berjaya bangkit dan meraih keputusan seri – sekurang-kurangnya menunjukkan semangat juang mereka masih ada.

Walau bagaimanapun, hubungan antara Amorim dan pemainnya masih lagi satu proses yang belum sempurna. Persembahan United jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja kualiti pemain yang dipersoalkan tetapi juga keserasian mereka dengan tuntutan Amorim. Ciri utama yang diinginkan oleh Amorim ialah kawalan permainan, kepantasan menyerang dan larian agresif. Kesemua itu hampir tidak kelihatan dalam pasukan ini.

Kapten Bruno Fernandes sendiri memberikan petunjuk tentang kesukaran itu selepas kemenangan ke atas Ipswich Town. Dia mengakui bahawa pemain sering ragu-ragu apabila sesuatu rancangan di atas padang kelihatan tidak berkesan.

Percaya atau Tidak, Itu Masalahnya

Amorim sendiri tidak menafikan perkara itu. Dalam wawancara bersama Rio Ferdinand, dia berkata:

“Pemain yang ada sekarang pun sebenarnya boleh dipertingkatkan banyak lagi, saya nampak dalam latihan. Tetapi cabaran utama ialah membuatkan mereka percaya kepada sistem ini. Masalahnya ialah apabila kami ketinggalan atau menghadapi detik sukar, pemain tiba-tiba hilang hala tuju dan tidak yakin dengan sistem.”

Jika sikap dingin Amorim di Goodison Park bertujuan untuk menyedarkan pemainnya, dia perlu menggunakan segala kebijaksanaannya untuk memastikan musim ini tidak menjadi satu lagi kisah suram untuk United.

Kekalahan di tangan Fulham dalam saingan Piala FA pada hujung minggu lalu hanya mengesahkan satu perkara – United masih tidak menemui rentak permainan yang stabil. Pasukan ini mempunyai 2 peluang untuk menamatkan musim dengan sesuatu yang membanggakan dan kini satu daripadanya telah musnah.

Selepas perlawanan, Amorim sekali lagi mengangkat isu masa depannya. Dengan nada realistik, dia berkata:

“Matlamat kami ialah memenangi Liga Perdana Inggeris. Mungkin bukan dengan saya tetapi matlamat kelab dan pengurusan ialah membawa kembali kegemilangan seperti dahulu.”

Jika didengar sekali imbas, kenyataan itu seolah-olah dia sudah bersedia untuk mengangkat kaki dari Old Trafford. Kontraknya sebenarnya masih berbaki sehingga 2027 dan pilihan untuk dilanjutkan ke 2028. Namun dengan situasi United sekarang, adakah logik untuk menjangkakan mereka akan kembali menjadi juara dalam tempoh 3 tahun?

Amorim juga tidak segan untuk memberi amaran kepada pengurusan kelab bahawa mereka perlu mencari jurulatih lain jika mereka mahu dia mengubah formasi 3-4-2-1 yang digunakannya. Malah, dia pernah menggelar skuad Manchester United ini sebagai yang paling lemah dalam sejarah kelab – satu kenyataan yang pastinya tidak begitu menyenangkan para pemain.

Cabaran, Harapan dan Realiti

Di Sporting CP, kejujuran Amorim merupakan faktor utama yang menarik minat pemain untuk bekerja dengannya. Namun di Manchester United pendekatannya masih belum memberikan hasil yang diharapkan. Dia dibantu oleh 6 orang staf yang dibawanya dari Sporting termasuk Carlos Fernandes yang bertanggungjawab terhadap situasi bola mati – salah satu elemen penting dalam perlawanan United musim ini.

Ketika United bersiap untuk berdepan Real Sociedad dalam saingan Liga Europa, Amorim sekali lagi menyatakan bahawa nasibnya mungkin bergantung kepada prestasi pasukan. Dalam wawancara bersama Sky Sports, dia berkata:

“Saya tidak tahu sama ada saya akan berada di sini untuk masa yang lama tetapi matlamat kami adalah untuk kembali ke puncak dan memenangi trofi.”

Sekiranya United berjaya memenangi Liga Europa, mereka bukan sahaja akan layak ke Liga Juara-Juara tetapi juga memperoleh pendapatan tambahan dan ruang kewangan yang lebih banyak untuk membeli pemain baharu. Malah, kemenangan itu juga boleh meningkatkan kepercayaan terhadap Amorim serta memberinya lebih banyak masa untuk membentuk pasukan mengikut falsafahnya.

Namun seperti biasa, Amorim mempunyai pandangan yang sedikit berbeza.

“Saya tahu ini kedengaran pelik tetapi apa yang kami sedang bina di sini lebih penting daripada sekadar memenangi satu piala buat masa ini.”

Mungkin dia mahu menyampaikan mesej bahawa perjalanan jangka panjang lebih penting daripada kejayaan segera. Namun tanpa harapan dan keyakinan, musim ini boleh berakhir dengan kesimpulan yang hambar. Dan jika keadaan terus begini, Manchester United bukan sahaja perlu mencari jalan untuk kembali menang, mereka mungkin juga perlu mencari pengurus baharu.

BACA:  Crystal Palace Dan Manchester United: Kejayaan Glasner & Cabaran Amorim Dengan Formasi 3-4-2-1