Dalam perlawanan Manchester United menentang Benfica semalam, Daley Blind telah menyudahkan tendangan penalti yang kedua (ya, dua penalti dalam satu perlawanan) dan ini telah menimbulkan perbincangan teori konspirasi kenapa tidak Romelu Lukaku yang mengambilnya.
Sememangnya bukanlah satu rahsia bahawasanya Lukaku yang dikatakan lebih hebat daripada Alistair Edward sudah tidak menjaringkan gol dalam lima perlawanan termasuklah liga, piala Kerbau dan juga Liga Juara-juara.
Jadi, selepas penalti pertama gagal disudahkan oleh Anthony Martial, maka para penyokong Manchester United pasti telah mengharapkan Lukaku yang kini digelar Lukayu akan mengambil tendangan tersebut.
Kronologi kes adalah seperti ini.
Selepas Rashford dijatuhkan dalam kotak penalti, pengadil tanpa segan silu mengacukan jari telunjuk ke dalam kotak penalti.
Secara tiba-tiba ramai pemain United menyerbu kotak penalti Benfica bagaikan ada jamuan makan kambing golek. Mengikut perancangan, Martial adalah lelaki yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil penalti tetapi dia telah dikeluarkan beberapa minit sebelum insiden.
Pada mulanya Lukaku telah mengambil bola dan meletakkannya ke titik penalti, namun beberapa ketika kemudian Ander Hererra telah datang kepadanya lalu menggosok belakang badannya dan mengambil bola tersebut.
Akan tetapi, beberapa detik kemudian, Daley Blind tidak semena-mena datang dari belakang lalu mengambil bola lalu menyudahkan penalti tersebut.
Peristiwa ini telah mengelirukan para penyokong setia Manchester United, termasuk admin yang berada di Stretford End, Old Trafford semalam.
Jadi untuk kepastian, admin telah menemuramah Jose Mourinho sebaik tamat perlawanan, menanyakan apa sebenarnya yang terjadi.
“Saya pengurus dan saya yang buat keputusan,” bicara Mourinho dalam loghat Kedah.
“Dia dah terlepas penalti sebelum ni dan saya nak dia ambil penalti dalam keadaan yang tiada tekanan, tiada tanggungjawab dan menjaringkan gol bukanlah satu keutamaan buatnya.
“Tapi, ni nak habaq. Kita ni main dalam Champions League, kita nak mata. Sekarang ni pun dengan 12 mata kita tak pasti layak lagi.
“Detik tu pula detik yang sangat penting dalam perlawanan – lagi 10,12 minit lagi perlawanan nak habih, 1-0 – saya nak pemain yang tiada tekanan terlepas penalti sebelum ini yang ambil.
“Saya sebenarnya gembira la dengan karakter Lukaku dan dia pula seorang yang bertanggungjawab tapi saya di sini adalah untuk melindungi pemain saya dan pasukan.
“Buat masa sekarang, saya lindungi dia dulu. Saya perlu buat macam tu sebab dia gagal dalam penalti sebelu ni.
“Apapun, dia memang akan ambil penalti lagi selepas ini,” tambah Mourinho panjang lebar. [1]
Penjelasan panjang lebar ini membuatkan admin berpuas hati dan menyanjung Mourinho sebagai murabbi bola sepak moden di dunia ini.
Mana tidaknya, pasukan pun dijaga elok, pemain apatah lagi. Susah nak cari pengurus macam Mourinho ni.
Sumber berita : Sportbible
Nota kaki :
[1] – Mesti hangpa baca dalam loghat Kedah dak?