Mkhitaryan Pilih Arsenal Kerana Rindu Dengan Mentaliti Menyerang

Pemain tengah Arsenal, Henrikh Mkhitaryan berkata punca sebenar beliau memilih untuk menyertai Arsenal adalah kerana rindu untuk bermain dalam pasukan yang mengamalkan bolasepak menyerang.

Pemain antarabangsa Armenia itu meninggalkan Manchester United pada jendela perpindahan Januari lalu untuk menyertai Arsenal dalam perjanjian pertukaran pemain, dengan Alexis Sanchez berpindah ke arah yang berlawanan.

Miki, bakpe mg naik atas ? bas sapa nak jaga ?

Kenyataan terbaru Mkhitaryan itu boleh dianggap sebagai memerli bekas pengurusnya di Old Trafford, Jose Mourinho yang terkenal dengan bolasepak negatifnya.

Mkhitaryan mengharungi beberapa bulan terakhir di Manchester United dengan memanaskan bangku simpanan dan apabila peluang muncul untuk meninggalkan Old Trafford, beliau tidak berfikir dua kali untuk membuat keputusan.

Mourinho sering meletakkan Mkhitaryan di bangku simpanan dan kadangkala tiada terus dalam skuad. Mourinho lebih gemar menggunakan pemain antarabangsa England, Jesse Lingard beraksi di posisi kegemaran Mkhitaryan.

Senyuman kembali terukir selepas menyertai pasukan yang mahu menyerang, bukan parking bas

Apabila Mkhitaryan berada dalam kesebelasan utama, beliau sering diminta untuk melakukan kerja-kerja defensif secara berlebihan dan perkara ini membuatkan impak Miki di bahagian serangan semakin berkurangan.

Mkhitaryan yang kini sudah menginjak usia 29 tahun berkata lagi yang beliau gembira dengan kehidupan barunya di Arsenal ditambah lagi beliau kin beraksi dalam pasukan yang mempunyai mentaliti menyerang.

Ketika memberikan temuramah kepada majalah FourFoutTwo, Mkhitaryan mendakwa beliau tidak mengambil masa yang lama untuk mengambil keputusan meninggalkan Manchester United kerana sedar kekuatan sebenar beliau adalah ketika beraksi dalam pasukan yang menyerang.

“Apabila saya dapat tahu saya boleh bertukar pasukan dari Manchester United ke Arsenal, saya terus berkata, ‘Ya, saya mahu melakukan perkara tersebut.’ Saya tidak berfikir dua kali. Sangat penting buat saya untuk bermain dalam pasukan yang menyerang.”

“Saya tidak jangka dapat melakukan permulaan di Arsenal sebaik ini. Saya rindu bermain dalam pasukan yang menyerang.”

Mkhitaryan juga menegaskan beliau berpindah ke Arsenal bukan semata-mata untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Alexis Sanchez tetapi kerana Arsene Wenger mahu khidmat beliau di Emirates.

“Saya menyertai Arsenal kerana Arsene Wenger mahu saya berada di sini, bukan kerana mahu menggantikan tempat Sanchez.”

2 gol dan 5 assists setakat ini dari Miki, not bad.

“Kami merupakan pemain yang berbeza dan memiliki karakter yang berlainan. Kami memiliki skill dan kekuatan yang berbeza, jadi saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk kelab ini.”

Sejak menyertai Arsenal, beliau telah berjaya membantu The Gunners melangkah ke peringkat suku akhir Europa League dan mereka bakal bertemu pasukan dari Russia, CSKA Moscow awal pagi Jumaat ini bagi merebut slot ke separuh akhir.

Kejohanan Europa League merupakan peluang terakhir Arsenal untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan dan Mkhitaryan nekad untuk membantu Arsenal muncul juara Europa League musim ini.

“Saya mahu nama saya berada dalam sejarah Arsenal dan menjadi legenda di kelab ini. Saya mahu menjaringkan lebih banyak gol, mencipta assists, dan memenangi trofi untuk menceriakan para peminat Arsenal.”

BACA:  Luke Shaw Nafi Dakwaan Mengatakan Beliau Semakin Gemuk