Mo Salah Yakin Beliau Sempat Cergas Bagi Hadapi Piala Dunia 2018 Bersama Egypt

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah melaungkan keyakinan beliau akan sempat cergas bagi menghadapi Piala Dunia 2018 musim panas ini di Russia selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah kelmarin.

Pemain berusia 25 tahun itu terpaksa dipapah keluar pada pertengahan separuh masa pertama selepas mengalami kecederaan pada bahagian bahunya. Ketiadaan Salah jelas dirasai Liverpool dan mereka bergelut untuk melakukan serangan ke kubu Real Madrid selepas ketinggalan hasil jaringan akrobatik Gareth Bale pada separuh masa kedua.

Air mata Salah bercucuran jatuh ke ladang gandum ketika beliau meninggalkan padang

Salah meninggalkan stadium dengan balutan tangan dan sekarang sudah menyertai pasukan kebangsaan Egypt bagi proses rehabilisasi. Bekas pemain Chelsea dan AS Roma itu yakin dengan peluang beliau untuk mewakili Egypt di Russia nanti melalui satu tweet kurang 24 jam selepas insiden tersebut.

“Ia merupakan malam yang amat sukar tetapi saya seorang pejuang. Walaupun ramai yang meragui, saya yakin saya akan berada di Russia bagi membanggakan anda semua. Sokongan dan kasih sayang anda akan memberikan saya lebih banyak kekuatan.”

Salah terpaksa meninggalkan padang selepas 30 minit perlawanan berlangsung dan tempatnya digantikan oleh Adam Lallana. Salah dipapah keluar ketika perlawanan masih lagi tanpa sebarang jaringan berikutan insiden beliau dijatuhkan oleh kapten Real Madrid, Sergio Ramos.

Ramos dikecam hebat oleh peminat bolasepak kerana didakwa sengaja mencederakan Salah bagi menjejaskan peluang Liverpool. Satu petisyen telah dibuat bagi memastikan Ramos menerima hukuman daripada UEFA dan FIFA atas tindakan beliau mencederakan Salah dengan sengaja.

Anda nilaikan sendiri sama ada insiden tersebut disengajakan atau tidak

Setakat artikel ini ditulis, seramai 200,000 peminat telah menyokong petisyen tersebut dan angka tersebut dijangka akan meningkat lebih tinggi dalam masa terdekat.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata kehilangan Salah memberikan impak yang besar kepada keputusan perlawanan, selain dua kesilapan berprofil tinggi yang dilakukan oleh Loris Karius.

“Ia merupakan kecederaan yang cukup serius. Dan anak buah saya yang lain juga turut terkejut dengan kehilangan Salah.”

“Sudah tentu ia merupakan detik yang mengubah perlawanan tersebut. Saya tahu apabila saya bercakap mengenai insiden tersebut selepas pasukan saya kalah, ia kedengaran seperti saya tidak dapat menerima kenyataan.”

Mission accomplished. Ramos menenangkan Salah yang agak kesedihan kerana tidak dapat meneruskan perlawanan.

“Tetapi bagi saya, ia merupakan terjahan yang sangat keras yang mana lengan Salah turut terlibat. Ia hampir sama seperti wrestling. Dan Mohamed Salah juga tidak bernasib baik kerana bahunya terjatuh dahulu.”

“Saya rasa Salah kini berada di hospital untuk melakukan X-Ray. Ia mungkin kecederaan di collarbone atau bahu beliau sendiri. Tetapi yang pasti kecederaan yang dialami Salah tidak kelihatan baik.”

BACA:  Ole Gunnar Solskjaer Perlu Ucap Terima Kasih Kepada Cristiano Ronaldo