Mohamed Salah Semakin Hampir untuk Pecahkan Rekod Bantuan Jaringan (Assist) Thierry Henry!

Thierry Henry, Mohamed Salah dan Rekod Bantuan Jaringan Liga Perdana

Thierry Henry terkenal sebagai penjaring gol berbisa melalui 417 gol sepanjang kariernya. Namun, bekas bintang Arsenal, Barcelona, dan Perancis ini semakin kerap bercakap tentang satu lagi sumbangannya yang penting – bantuan jaringan (assist).

Pada musim 2002-03, Henry mencipta rekod dengan 20 bantuan jaringan dalam satu musim Liga Perdana Inggeris. Ketika itu, rekod ini kurang diberi perhatian dan ia masih bertahan selama 22 tahun sehingga lah Kevin De Bruyne dari Manchester City menyamainya pada musim 2019-20.

Henry sendiri pernah berkata dalam satu temu bual pada Disember lalu:

“Jika anda lihat gol-gol saya, anda akan nampak kemarahan. Tetapi jika anda lihat bantuan jaringan saya, saya tersenyum. Saya lebih suka mencipta peluang gol berbanding menjaringkan gol.”

Musim ini, Bukayo Saka dari Arsenal berjaya mengumpul 10 bantuan jaringan seawal November, hanya kurang 1 daripada rekod terbaiknya dalam satu musim liga. Namun, kecederaan hamstring pada Disember telah menghalang momentumnya. Dia kini berada di tempat ke-2 dalam senarai bantuan jaringan musim ini bersama Antonee Robinson dari Fulham (10 bantuan jaringan).

Mohamed Salah – Pencabar Utama Rekod Henry?

Kini, pemain yang berpeluang besar untuk memecahkan rekod Henry ialah Mohamed Salah dari Liverpool. Sehingga kini, Salah sudah mengumpul 15 bantuan jaringan, dengan baki 12 perlawanan lagi untuk dimainkan.

Sebelum ini, hanya 2 pemain yang benar-benar mencabar rekod Henry. Mesut Ozil hampir melakukannya pada musim 2015-16 dengan 19 bantuan jaringan tetapi prestasi Arsenal merosot pada separuh kedua musim. De Bruyne pula mencapai 20 bantuan jaringan dan hanya menyamai rekod Henry pada hari terakhir musim 2019-20.

Bagi Henry, kebanyakan bantuan jaringannya datang pada penghujung musim. Pada bulan Februari 2003, dia hanya mencapai 10 bantuan jaringan dan menambah 7 lagi dalam 5 perlawanan terakhir.

Sementara itu, Salah telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam separuh pertama musim ini. Antara perlawanan ke-13 hingga ke-19, dia mencatat 7 bantuan jaringan dalam 6 perlawanan. Walaupun sempat melalui 5 perlawanan tanpa bantuan jaringan, dia kembali dengan mencipta peluang untuk Alexis Mac Allister dalam perlawanan Derbi Merseyside menentang Everton.

Rahsia Bantuan Jaringan Henry

Rekod Henry pada musim 2002-03 menampilkan pelbagai jenis bantuan jaringan. 9 daripadanya datang dari luar kotak penalti, 9 lagi dari dalam kotak penalti dan 2 hasil sepakan penjuru. Pemain yang paling banyak menerima bantuannya ialah Robert Pires (5 gol) dan Freddie Ljungberg (4 gol) tetapi dia juga mencipta peluang untuk ramai pemain lain.

Henry pernah berkongsi bagaimana dia menyesuaikan permainan mengikut gaya rakan sepasukannya. Dengan Dennis Bergkamp, dia bebas bergerak kerana Bergkamp mampu menghantar bola tepat ke mana-mana. Tetapi dengan Pires, Henry perlu bermain satu-dua untuk mendapatkan bola. Manakala dengan Ljungberg, dia perlu berada dalam laluan larian Ljungberg untuk menerima hantaran.

Satu lagi keunikan rekod Henry ialah dia berjaya mencipta 2 atau lebih bantuan jaringan dalam 5 perlawanan berasingan. Sebagai perbandingan, Ozil dan De Bruyne hanya berjaya melakukannya dalam 3 perlawanan. Saka pula berjaya melakukan 2 kali sebelum mengalami kecederaan, manakala Salah telah menyamai rekod Ozil dan De Bruyne dengan 3 perlawanan. Dengan baki 12 perlawanan, Salah masih berpeluang untuk menambah lagi rekod ini.

Adakah Salah Akan Mencipta Sejarah?

De Bruyne sendiri percaya dia sepatutnya sudah memegang rekod tunggal dengan 22 bantuan jaringan pada musim 2019-20. Namun 2 bantuannya kepada Raheem Sterling dalam perlawanan menentang Arsenal tidak dikira.

Dari segi statistik keseluruhan Liga Perdana, De Bruyne kini berada di tempat ke-2 dengan 118 bantuan jaringan. Dia di belakang Ryan Giggs yang mempunyai 162 bantuan jaringan sepanjang 22 musim. Henry pula berada di tangga ke-14 dengan 74 bantuan jaringan. Salah, setakat hari ini di tempat ke-10 dengan 84 bantuan jaringan. Dia berpeluang untuk memintas James Milner (89 bantuan jaringan) tidak lama lagi.

Selain mencipta peluang, pada musim ini Salah juga cemerlang di depan gol. Dia menjadi pemain pertama sejak Eden Hazard pada 2018-19 yang mencatat sekurang-kurangnya 15 gol dan 15 bantuan jaringan dalam satu musim. Dengan 24 gol setakat ini, dia kini berada di tempat ke-6 dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana, mengatasi Frank Lampard dan Thierry Henry.

Kini, dengan Liverpool bersaing untuk kejuaraan liga, Salah berada di landasan terbaik untuk menewaskan rekod bantuan jaringan Henry dan De Bruyne. Adakah dia akan mencipta sejarah?

Kita tunggu dan lihat.

BACA:  Arsenal Tolak Peluang Dapatkan David Silva Kerana Risaukan Ketinggiannya