Liverpool semakin kukuh di tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Bournemouth, hasil dua jaringan dari Mohamed Salah.
Salah kini telah mengumpul 21 gol liga, namun kemenangan semalam sedikit terjejas apabila Trent Alexander-Arnold terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua akibat kecederaan paha.
Walau bagaimanapun, Liverpool tetap mencatat kemenangan penting ke atas salah satu pasukan yang sedang berada dalam prestasi terbaik di Liga Perdana. Kali terakhir Bournemouth mengalami kekalahan dalam mana-mana pertandingan adalah pada 23 November lalu ketika menentang Brighton & Hove Albion.
Salah Capai 20 Gol, Kini Menghampiri Rekod Aguero
Salah berjaya mengekalkan ketenangannya untuk menyempurnakan sepakan penalti yang membawa jumlah jaringannya kepada 20 gol liga. Salah menambah satu lagi jaringan menakjubkan pada separuh masa kedua.
Pada awal permainan, Salah menerima asakan agresif daripada pemain lawan, namun dia tetap tenang dan menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-30 selepas Cody Gakpo dijatuhkan oleh Lewis Cook di dalam kotak penalti. Gol keduanya hadir pada minit ke-75 selepas menerima hantaran daripada Curtis Jones, sebelum melepaskan rembatan melengkung yang cantik ke gawang lawan.
Dengan pencapaian ini, Salah kini menyertai Alan Shearer, Thierry Henry, Sergio Aguero dan Harry Kane sebagai pemain yang berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol dalam satu musim Liga Perdana buat kali ke-5.
Kali terakhir Salah mencapai jumlah jaringan sebegitu adalah pada musim 2021-22. Pada usia 32 tahun, dia masih menunjukkan ketajaman luar biasa. Dengan baki 4 bulan sebelum musim berakhir, dia berpeluang untuk menyamai atau memecahkan rekod peribadinya dalam Liga Perdana, iaitu 32 gol pada musim 2017-18.
Kebergantungan Liverpool terhadap Salah jelas kelihatan walaupun dia tidak berada di prestasi terbaiknya. Gol terbarunya ini membawanya ke tangga ke-6 dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana dengan 178 gol, satu gol mengatasi Frank Lampard.
Sasaran seterusnya? Sergio Aguero dengan 184 gol…
Kecederaan Alexander-Arnold Timbulkan Kebimbangan Buat Liverpool
Satu-satunya perkara yang mencacatkan kemenangan bergaya Liverpool adalah, Alexander-Arnold terpaksa meninggalkan padang pada separuh masa kedua akibat kecederaan paha.
Dia diberikan tugas untuk mengawal bahagian kiri serangan Bournemouth dan melaksanakan tugasnya dengan cemerlang sepanjang permainan. Alexander-Arnold berjaya menyekat ancaman dari Antoine Semenyo dan memastikan Milos Kerkez tidak mendapat ruang untuk menyerang. Berbanding dengan perlawanan biasa di mana dia sering membantu serangan, kali ini dia lebih banyak bertahan untuk memastikan kestabilan di bahagian pertahanan.
Namun, kecederaannya sedikit mengecewakan, terutamanya kerana dia baru sahaja menyempurnakan 12 perlawanan penuh dalam Liga Perdana musim ini.
Jika dia terpaksa berehat, Conor Bradley dijangka akan mengisi tempatnya dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Carabao menentang Tottenham Hotspur pada hari Khamis.
Slot Lakukan Perubahan Taktikal di Tengah Padang untuk Hadapi Ancaman Kluivert
Ryan Gravenberch telah menjadi tonggak utama di bahagian tengah Liverpool sepanjang musim ini. Dari posisi tengah bertahan, kemampuannya mengawal bola dan mengelak tekanan membolehkan Alexis Mac Allister bergerak lebih ke hadapan untuk mencorakkan permainan.
Namun ketika menentang Bournemouth, terdapat sedikit perubahan dalam peranannya. Gravenberch kelihatan lebih cenderung bermain di bahagian sisi manakala Mac Allister bertindak sebagai pemain utama di bahagian tengah ketika Liverpool menguasai bola.
Perubahan ini mungkin dilakukan kerana Arne Slot menyedari ancaman yang dibawa oleh Justin Kluivert. Pemain Belanda itu gemar bergerak ke bahagian kiri dari posisi tengah menyerang menyebabkan Gravenberch ditugaskan untuk mengawalnya ketika Liverpool tidak mempunyai bola.
Walaupun tidak menampilkan aksi terbaiknya, Gravenberch tetap menunjukkan disiplin taktikal yang tinggi. Larian agresifnya berkurangan, dia tidak melakukan banyak putaran tajam malah menerima kad kuning akibat kekasaran yang tidak perlu.
Namun secara keseluruhan, dia masih memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan Liverpool di bahagian tengah. Dengan intensiti tinggi yang ditampilkan oleh Bournemouth, Gravenberch berjaya menyesuaikan diri dengan peranan barunya dan membantu pasukan meraih kemenangan.
Liverpool Selesa Bermain dalam Situasi Serangan Balas
Bournemouth dikenali sebagai salah satu pasukan paling berbahaya dalam situasi serangan balas di Liga Perdana. Mereka gemar menggunakan hantaran terus dan tekanan tinggi untuk menghukum lawan. Masalahnya? Kali ini, mereka berdepan dengan Liverpool yang juga selesa bermain dalam corak permainan yang sama.
Perlawanan berlangsung dengan penuh intensiti, dipenuhi dengan kekasaran kecil dan pertukaran penguasaan bola yang kerap. Liverpool tidak bergantung kepada corak permainan biasa mereka, sebaliknya memilih untuk bermain secara lebih langsung, memintas tekanan Bournemouth dengan hantaran pantas ke hadapan.
Akhirnya, kedua-dua gol Salah terhasil menerusi serangan pantas. Penalti diperoleh selepas hantaran jauh kepada Gakpo, yang kemudian dijatuhkan oleh Cook dalam kotak penalti. Gol kedua pula merupakan contoh klasik serangan balas Liverpool. Darwin Nunez membawa bola ke hadapan sebelum menghantar kepada Jones, yang kemudian memberikan bola kepada Salah untuk disudahkan dengan rembatan cantik ke penjuru atas gawang.
Bournemouth banyak meraih kejayaan musim ini dengan mencipta perlawanan yang penuh dengan kekacauan dan tekanan tinggi. Namun, kali ini mereka berdepan pasukan yang bukan sahaja bersedia menghadapi keadaan itu, malah memanfaatkannya untuk meraih kemenangan.
*Laporan asal dari Gregg Evans dan Mark Carey