Jose Mourinho mengakui Manchester United masih lagi gagal beraksi sebagai satu pasukan berikutan keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan mereka dalam perlawanan pra-musim menentang San Jose Earthquakes petang kelmarin.
Bekas pengendali Chelsea dan Real Madrid itu dilihat tidak terganggu dengan keputusan seri kedua berturut-turut yang dicatatkan Manchester United dalam jelajah Amerika Syarikat, sambil mengakui ia lebih kepada satu sesi latihan untuk anak buahnya.
Skuad Manchester United masih lagi belum lengkap memandangkan sebahagian besar pemain utama mereka terlibat dalam Piala Dunia 2018 seperti Paul Pogba, Romelu Lukaku, Ashley Young, Phil Jones dan Maroune Fellaini.
Alexis Sanchez antara nama besar yang bermain dalam perlawanan persahabatan tersebut dan Mourinho berkata beliau gembira dengan peluang bermain yang diberikan kepada skuad muda dan simpanan Manchester United.
“Ini bukan lagi satu pasukan. Kami sebenarnya satu kumpulan pemain yang datang dari beberapa pasukan.” Ujar Mourinho kepada MUTV selepas tamat perlawanan.
“Beberapa pemain datang dari pasukan utama, ada dari skuad bawah 23 tahun, ada yang baru balik dari pinjaman, dan ada juga pemain muda yang datang dari skuad bawah 18 tahun. Kami tidak mempunyai sebuah pasukan yang mampu bermain lebih baik dari apa yang telah kami tampilkan tadi. Jadi ia sebenarnya lebih kepada satu sesi latihan untuk skuad ini.”
Selepas terlepas aksi pertama menentang Club America yang berakhir dengan 1-1 akibat masalah visa, Sanchez diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama bagi perlawanan kedua yang berlangsung di California Memorial Stadium petang kelmarin.
Pemain antarabangsa Chile itu membuat satu percubaan menerusi sepakan percuma pada minit ke-30, tetapi ia jauh melewati palang. Sanchez juga turut terlibat ketika Luke Shaw terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol pertama perlawanan.
“Perlawanan ini bagus untuk Alexis Sanchez. Beliau sangat memerlukan perlawanan ini dan Sanchez banyak bekerja keras dari segi fizikal, yang mana amat bagus untuk beliau pada saat sebegini.”
Mourinho juga memberikan komen mengenai persembahan Andreas Perreira, yang dipinjamkan kepada Valencia musim lepas. Mourinho melabel persembahan Perreira sebagai ‘ok’ dan pemain muda itu sepatutnya bermain lebih mudah.
“Tetapi Perreria mempunyai personaliti untuk menerima bola dan mengatur permainan. Saya gembira dengan persembahan beliau.”
Pemain sayap Perancis, Anthony Martial tidak bernasib baik apabila terpaksa diusung keluar seawal minit ke-7 permainan kerana mengalami kecederaan.
“Martial mengalami kecederaan dan saya rasa kami perlu cepat menyesuaikan diri dengan perkara sebegini. Musim lepas, Martial juga mengalami situasi yang sama dan musim ini, mungkin beliau akan mengalami situasi yang lebih teruk dari itu.”
United akan meneruskan kempen pra-musim mereka dengan menentang Real Madrid di Hard Rock Stadium, Miami Rabu ini.