Mourinho Bakal Rombak Pasukan Untuk Piala FA, Tempat Pogba & Sanchez Dalam Bahaya

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho telah memberi amaran kepada pemainnya berkenaan pemilihan pemain untuk perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Tottenham Hotspurs hujung minggu ini tidak akan berkait dengan ‘nilai atau gaji pemain’.

Mourinho melaungkan amaran tersebut selepas melihat pasukannya menampilkan aksi longlai ketika tewas di tangan West Brom di Old Trafford hujung minggu lalu.

Gaji yang mahal tidak menjamin tempat dalam kesebelasan utama

Kekalahan tersebut juga mengesahkan status Manchester City sebagai juara Liga Perdana Inggeris bagi musim 2017/2018.

Amaran tersebut sudah tentu ditujukan kepada pemain utama seperti Alexis Sanchez dan Paul Pogba yang gagal mempamerkan aksi yang baik dalam perlawanan tersebut. Pogba dan Sanchez berdepan kemungkinan diletakkan di bangku simpanan sahaja sekiranya mereka tidak meningkatkan prestasi dalam pertemuan Rabu nanti menentang Bournemouth.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas tewas di tangan West Brom, pengurus berasal dari Portugal itu telah menyelar aksi pemainnya dan menggelar mereka sebagai ‘pakar dalam merumitkan keadaan’.

Dalam sidang media menjelang pertemuan menentang Bournemouth awal pagi Khamis, Mourinho berkata beliau tidak akan melakukan rombakan besar-besaran kerana mereka perlu bersedia untuk pertemuan penting hujung minggu ini menentang Spurs.

Sape perform lawan Bournemouth, dia akan main separuh akhir

“Penggiliran pemain bukan perkataan yang tepat. Jika pemain itu bermain menentang Bournemouth dan menunjukkan persembahan yang cemerlang, beliau akan bermain dalam perlawanan separuh akhir.”

“Jadi ini bukan penggiliran kerana penggiliran pemain adalah merehatkan pemain bagi perlawanan Bournemouth supaya mereka cergas untuk bermain menentang Spurs di separuh akhir.”

Apabila ditanya adakah pemainnya hilang fokus ketika tewas ditangan West Brom kerana tumpuan mereka sudah terarah kepada separuh akhir Piala FA, ini jawapan Mourinho:

“Apakah kriteria yang diperlukan bagi pengurus memilih pasukan ? Saya hanya tahu satu kriteria, iaitu bagaimana anda mahu bermain. Itu sahaja cara saya untuk memilih pemain untuk bermain.”

“Atau adakah kamu mahu saya memilih pemain berdasarkan harga mereka ? Atau gaji mereka ? Atau wajah mereka yang cantik ? Satu-satunya cara untuk memilih pemain adalah berdasarkan persembahan mereka.”

Pogba telah dikeluarkan dari perlawanan atau berada di bangku simpanan dalam 7 dari 11 perlawanan terakhirnya

Pogba merupakan produk akademi Manchester United tetapi mencipta nama bersama Juventus. Beliau kembali ke pangkuan Red Devils dalam perjanjian rekod dunia ketika itu sekitar £89.5juta pada tahun 2016 dengan gaji dianggarkan berjumlah £350,000 seminggu.

Walaubagaimanapun, tanda harga yang tinggi tidak menakutkan Mourinho apabila beliau mengeluarkan Pogba seawal minit ke-57 ketika menentang West Brom atas persembahan buruk.

“Bukan Pogba sahaja beraksi buruk. Pogba menerima kad kuning ketika itu dan beliau berada dalam keadaan yang lebih sukar berbanding pemain lain. Tetapi dari segi permainan, aksi beliau bukanlah yang terburuk dalam kalangan pemain yang beraksi sepanjang 90 minit.”

BACA:  Premier League 2021/22: Manchester United 1-0 West Ham