Mourinho Batalkan Hasratnya Mahu Beramah Mesra Dengan Peminat Selepas Dilempar Dengan Bola Salji

Jose Mourinho memutuskan untuk membatalkan hasratnya mahu beramah mesra dengan peminat, selepas salah seorang dari mereka melempar bola salji ke arahnya.

Penyokong di Bodo, sebuah bandar di Norway berkumpul untuk bertemu Mourinho, namun mereka terpaksa melupakan hasrat mereka itu kerana ada penyokong yang merosakkan suasana.

AS Roma turun bertemu gergasi Norway itu dalam aksi leg pertama peringkat suku akhir saingan Europa Conference League awal pagi tadi.

Mourinho telah didatangi oleh sekumpulan penyokong Bodo sehari sebelum perlawanan berlangsung di kawasan berhampiran padang latihan Roma.

Beliau berjalan menghampiri peminat-peminat tersebut yang berkumpul di luar pagar berhampiran kem Roma.

Walau dalam keadaan sejuk yang membeku, Mourinho tetap menggagahkan diri untuk menghampiri kumpulan penyokong tersebut untuk menurunkan tandatangan dan bergambar.

Beliau semakin bersemangat mahu beramah mesra dengan kumpulan penyokong itu dek kerana ramai antara mereka yang bersorak namanya.

Walau bagaimanapun, salah seorang penyokong akhirnya tampil merosakkan suasana dan mengecewakan semua penyokong lain yang hadir kerana beliau telah membuatkan Mourinho bengang.

Beliau melempar pengurus Roma itu dengan bola salji dan sebaik melihat hal itu, Mourinho terus membatalkan hasratnya lalu kembali naik ke bas.

Bola salji itu jelas sekali tidak mengenai Mourinho namun dek kerana beliau merasakan perbuatan itu biadap atau bimbang akan ada benda lain yang dilempar, Mourinho memilih untuk sekadar pergi.

Para penyokong lain yang ada di sana nampak sangat kecewa kerana mereka terlepas peluang untuk bergambar dan mendapatkan tandatangan pengurus terhebat dunia itu.

Di hujung rakaman klip video tersebut, jelas sekali dilihat pengawal keselamatan turut menunjukkan isyarat bengang dan memarahi penyokong yang melempar bola salji itu.

Dek kerana kedunguan seorang penyokong, habis semua penyokong lain yang ada di sana terkena tempiasnya.

Jelas sekali yang melempar bola salji itu kenyang makan maki kerana ramai yang lain yang sanggup menunggu Mourinho akhirnya tak dapat bertemu idola mereka hanya kerana tindakan dungu penyokong tersebut.

Para penyokong di twitter turut hangat membahaskan hal tersebut di media sosial, dan ada antara mereka turut bergurau menganggap bola salji itu dilempar oleh penyokong Ole Gunnar Solskjaer.

“Bro ni Norway, dah tentu budak tu peminat setia Ole, itu yang dia baling Mourinho.”

“Hanya kerana seorang yang bodoh, habis semua tak dapat jumpa Mourinho, peluang yang datang hanya sekali disia-siakan begitu sahaja.”

“Orang jahat memang selalu menyusahkan orang baik, sebab dia sorang tengok semua yang lain tak dapat nak jumpa Mourinho.”

“Kalau saya ada di sana, saya akan tidurkan dia dalam salji tu, kerana dia seorang semua orang dapat balasan.”

“Mesti yang lempar tu Ole Gunnar Solskjaer, sebab tu Mourinho patah balik.”

Mourinho jelas sekali melalui detik-detik tak bahagia di Bodo selepas anak-anak buahnya turut berdepan kekalahan 2-1 dalam perlawanan tersebut.

Kedua-dua mereka akan sekali lagi bertemu pada 15 April nanti di Rome dan jelas sekali sudah tentu Mourinho akan memastikan anak-anak buahnya bakal mencatat kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Pada Oktober tahun lalu, Mourinho bersama anak-anak buahnya telah berkunjung ke Bodo dan beliau ketika itu dilihat meluangkan masa untuk bergambar bersama peminat dan turut menurunkan tandatangan.

Kedua-dua pasukan berada dalam kumpulan yang sama dengan Roma pada ketika itu dibelasah 6-1 oleh Bodo di Norway.

Ia merupakan kali pertama skuad kendalian Jose Mourinho dibelasah dengan enam gol dalam satu perlawanan dan bekas pengurus Tottenham Hotspur itu tampil menghentam anak-anak buahnya ketika temu bual selepas tamat perlawanan.

Pertemuan kedua mereka di Stadio Olimpico berakhir dengan keputusan seri 2-2 dan kini Bodo sudah tentu mahu lakukan hal yang sama untuk menyingkirkan Roma dari kejohanan ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mourinho Menganggap Kemenangan 3-0 City Ke Atas Chelsea Adalah Palsu