Pengurus Manchester United, Jose Mourinho tidak dapat memberi jaminan masa depan pemain tengah, Henrikh Mkhitaryan adalah di Old Trafford.
Pemain antarabangsa Armenia ini merupakan antara pembelian terawal Mourinho ketika mula mengambil alih jawatan pengurus Manchester United. Sejak menyertai United dari Borussia Dortmund pada musim panas 2016, Mkhirtaryan sering bergelut untuk memberikan aksi konsisten dan ini membuatkan Mourinho hilang sabar dengan beliau.
Pemain berusia 29 tahun ini memulakan musim dengan cemerlang sekali, berjaya mencatatkan 5 assists dalam 3 perlawanan pertama United. Selepas itu, prestasinya merudum dan sering diketepikan dari kesebelasan utama.
Walaupun diletakkan dalam kesebelasan utama dalam perlawanan terdahulu United menentang Derby, Mkhirtaryan telah dikeluarkan pada rehat separuh masa. Tindakan Mourinho ini mengundang seribu tanda tanya mengenai masa depan pemain tersebut di Old Trafford, dan spekulasi kuat mengatakan Mkhirtaryan bakal dilepaskan bulan ini.
Ketika ditanya adakah Mkhirtaryan akan terus kekal bersama pasukan beliau, Mourinho berkata Mkhirtaryan adalah pemain yang bagus tetapi setiap pemain mempunyai harga.
“Pendekatan saya adalah setiap pemain mempunyai harga. Tidak kira siapa pemain tersebut, status atau tahap permainannya. Saya percaya setiap pemain mempunyai harga.”
“Saya bukan lah jenis pengurus yang buta, yang beranggapan pemain yang tidak boleh disentuh tidak akan sekali-kali dijual. Pendapat saya adalah setiap pemain mempunyai harga.”
“Jadi apabila jendela perpindahan pemain dibuka, kelab lain juga terbuka untuk menyatakan minat terhadap pemain kami. Selepas itu, bergantung kepada kami untuk membuat keputusan sama ada melepaskan pemain terbabit atau tidak.”
“Sekarang bergantung kepada kami untuk meletakkan tanda harga bagi pemain tersebut. Mkhirtaryan bermain dalam perlawanan terakhir menentang Derby dan mungkin juga akan bermain perlawanan seterusnya menentang Stoke.”
“Mkhirtaryan adalah pemain yang ketika ini terlibat dalam gosip perpindahan dalam pasaran pemain.”
“Beliau adalah pemain United dan pemain yang sangat bagus. Kelmarin beliau menjalani latihan dan Isnin nanti mungkin akan dipilih bermain.”
Beberapa akhbar tabloid UK telah melaporkan Mkhirtaryan bakal disertakan sekali dalam perjanjian untuk mendapatkan Alexis Sanchez dari Arsenal. Mourinho sebelum ini menggelar Sanchez sebagai seorang pemain yang sangat menakjubkan.
Dengan City dilaporkan enggan meningkatkan tawaran mereka terhadap Sanchez, United berada dalam landasan selesa untuk mendapatkan khidmat Sanchez. Tawaran duit berserta Mkhirtaryan adalah terlalu bagus untuk ditolak dan Arsene Wenger pasti tergerak hati untuk melepaskan pemain ini ke Old Trafford, sama seperti yang berlaku beberapa tahun lalu ketika beliau melepaskan Robin Van Persie ke sana.