Pengurus Manchester United, Jose Mourinho telah menafikan dakwaan yang mengatakan beliau bertanggungjawab menjual Mohamed Salah kepada AS Roma ketika masih bergelar pengurus Chelsea.
Salah menyertai Chelsea pada tahun pada tahun 2014 dari Basel tetapi hanya bertahan selama dua musim sahaja sebelum dipinjamkan kepada Fiorentina dan akhirnya dijual kepada AS Roma tidak lama kemudian.
Beliau tidak diberikan peluang bermain secara kerap kerana persaingan yang sengit di bahagian tengah Chelsea ketika itu.
Pemain antarabangsa Egypt ini berjaya mempamerkan prestasi yang baik bersama Roma di Serie A dan Liverpool bertindak membayar €37juta pada masa panas yang lepas untuk membawa kembali pemain tersebut ke Liga Perdana Inggeris.
Tindakan tersebut nyata membuahkan hasil apabila Salah berjaya membantu Liverpool mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dan berada di kelompok empat teratas dalam Liga Perdana Inggeris.
Sebagai penghargaan terhadap pencapaian luar biasa Salah musim ini, pemain profesional yang lain telah mengundi beliau sebagai pemenang anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA dalam satu majlis yang berlangsung di London minggu lepas.
Ketika bercakap kepada ESPN Brazil, individu yang bertanggungjawab membawa Salah ke England, Jose Mourinho mendakwa mental pemain tersebut masih belum cukup bersedia untuk bermain dalam Liga Perdana Inggeris ketika itu.
“Ramai orang berkata saya yang menjual Salah tetapi perkara sebaliknya yang sebenarnya berlaku. Saya yang membeli Salah.”
“Saya yang bertanggungjawab mendapatkan Salah untuk Chelsea. Saya yang bertanggungjawab memberitahu Chelsea untuk mendapatkan Salah. Saya memainkan peranan penting untuk membawa Salah ke Chelsea pada ketika itu.”
“Tetapi beliau masih lagi muda ketika tiba di England. Dari segi mental dan fizikal, beliau belum cukup bersedia. Dari segi budaya dan sosial, beliau tidak dapat menyesuaikan diri dan semua perkara agak sukar buat beliau.”
“Kami mengambil keputusan untuk meminjamkan beliau kepada kelab lain atas permintaan Salah sendiri. Beliau mahu mendapatkan lebih banyak waktu permainan, menjadi lebih matang.”
” Kemudian, kami mengambil keputusan untuk menghantar beliau ke Fiorentina dan disana, beliau mula menjadi pemain yang lebih matang.”
Walaupun Salah kini dianggap calon untuk merangkul anugerah Ballon d’Or pada masa hadapan, pengurus berasal dari Portugal itu mendakwa keputusan untuk membenarkan Salah meninggalkan Chelsea pada masa itu bukanlah satu kesilapan.
“Chelsea yang mengambil keputusan untuk menjual beliau, OK ? Dakwaan yang mengatakan saya menjual Salah adalah bohong semata-mata. Saya hanya bersetuju untuk membenarkan beliau dipinjamkan kepada kelab lain kerana itu adalah perkara yang wajar dilakukan pada masa itu.”
“Dalam bolasepak, kita membuat kesilapan setiap masa. Akan ada pemain yang membesar menjadi pemain yang bagus dan kita tidak sangka pemain tersebut mampu mencapai tahap tersebut.”
“Jadi saya tidak rasa keputusan untuk melepaskan Salah adalah satu kesilapan. Ia cuma sebahagian daripada kerja.”