Mourinho Dakwa Dirinya ‘Salah Seorang Pengurus Terbaik Dunia’

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho sekali lagi mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila mendakwa dirinya ‘salah seorang pengurus terbaik dunia’ selepas beliau dikritik hebat kerana menggunakan pencapaian memenangi 3 Liga Perdana Inggeris pada masa lalu untuk mempertahankan dirinya minggu lalu.

Bonton Mourinho semakin panas kebelakangan ini kerana Manchester United tewas dua perlawanan berturut-turut di tangan Tottenham Hotspurs dan Brighton & Hove Albion. Manchester United kini menghuni tangga ke-13 dengan mengutip 3 mata selepas 3 perlawanan.

Gua masih champiennnnn

Mourinho menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak selepas tewas dengan mudah 3-0 di tangan Spurs minggu lalu. Walaupun beraksi di hadapan penyokong sendiri, ia nyata tidak membawa sebarang makna buat Red Devils kerana anak buah Mauricio Pochettino membuktikan duit bukan segala-galanya untuk berjaya.

Spurs menjadi pasukan pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris untuk tidak membeli sebarang pemain dalam jendela perpindahan musim panas. Pochettino percaya dengan skuad yang dimilikinya musim lalu sudah memadai untuk membawa cabaran Spurs musim ini.

Kekalahan di tangan Spurs menyebabkan Mourinho menerima kritikan dari segenap ceruk dan sudah kedengaran suara sumbang mendakwa pengurus berasal dari Portugal itu akan dipecat tidak lama lagi. Zinedine Zidane dan Pochettino dilaporkan bakal mengisi tempat Mourinho sekiranya perkara itu berlaku.

Walaupun berada dalam tekanan yang hebat ketika ini, Mourinho masih lagi bersemangat untuk memperjuangkan masa depannya di Old Trafford.

Aku sorang je menang di Itali, Sepanyol dan England

“Saya merupakan pengurus di salah sebuah kelab terbaik dunia dan saya juga merupakan salah seorang pengurus terbaik di dunia.”

Ketika diminta untuk mengulas sama ada beliau masih menganggap dirinya pengurus terbaik dunia sekiranya United gagal memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini, Mourinho merujuk kepada satu filosofi terkenal dunia bagi menjawab soalan tersebut.

“Sudah tentu saya masih lagi yang terbaik. Adakah anda pernah membaca sebarang filosofi atau anda tidak pernah membaca filosofi terkenal dari Georg Wilhelm Friedrich Hegel? Seperti contoh, kebenaran boleh didapati dari keseluruhan perkara dan sentiasa dalam keadaan tersebut.”

“Adakah anda bertanya soalan yang sama kepada kepada pengurus yang menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris musim lalu di tempat ke-3 dan ke-4 ? Dan juga yang berada di tangga ke-5 ?”

“Saya berjaya meraih kejayaan musim lepas dan ia merupakan sesuatu yang anda semua tidak mahu akui.”

“Saya selalu menganalisa persembahan saya. Bagi saya, apa yang lebih penting adalah apa yang saya fikir dari apa yang anda semua tulis. Saya ulang sekali lagi, dua musim lalu kami berjaya mengharungi musim yang cemerlang dengan memenangi Europa League.”

Luke Shaw antara pemain yang mendapat kepercayaan Mourinho musim ini selepas dibekukan di bangku simpanan musim lalu

“Musim ini dan musim lepas, semua orang anggap Atletico Madrid mencatat kejayaan yang menakjubkan kerana mereka berjaya memenangi Europa League selepas ditendang keluar dari Liga Juara-Juara Eropah.”

“Saya merupakan satu-satunya pengurus yang berjaya memenangi liga di England, Sepanyol dan Itali. Saya berjaya memenangi 8 trofi dan ia bukannya trofi yang kecil di negara yang kecil. Jadi sebab itulah, pencapaian musim lalu berada di tangga ke-2 merupakan antara pencapaian terbaik sepanjang karier saya.”

BACA:  Mourinho Diaibkan, Tewas 6-1 Kepada Pasukan Bodo Dari Norway