Mourinho Dakwa Liverpool Tertekan Untuk Memenangi Liga Perdana Inggeris Selepas Berbelanja Besar

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho percaya Liverpool berada dalam tekanan yang hebat untuk memenangi Liga Perdana Inggeris musim hadapan selepas berbelanja besar pada tirai perpindahan kali ini.

Mourinho turut melabel Jurgen Klopp sebagai seorang yang ‘kelakar’ berikutan perubahan pada polisi perpindahan pemain di Liverpool.

Beberapa hari lalu, Klopp terpaksa mempertahankan kenyataan beliau pada 2016 yang mengkritik tindakan Manchester United membelanjakan £90 juta untuk mendapatkan Paul Pogba dari Juventus.

Lop, sini jap. Mengata dulang paku serpih, mengata orang ko pulak yang lebih-lebih.. kah3

Ramai mempertikaikan kenyataan kenyataan tersebut selepas bekas pengendali Dortmund itu membelanjakan hampir £150 juta untuk membawa masuk Alisson, Fabinho dan Naby Keita dalam satu jendela perpindahan.

Ia nyata berbeza dengan polisi perpindahan Liverpool sebelum ini yang mensasarkan pemain lebih murah tetapi mampu dibentuk menjadi pemain terbaik dunia seperti yang kita lihat berlaku kepada Coutinho dan Luis Suarez.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas Manchester United mencatatkan kemenangan ke atas AC Milan menerusi sepakan penalti, Mourinho dilihat berada dalam mood gembira apabila ditanya mengenai polisi perpindahan Liverpool. Mourinho juga mendakwa Klopp berada dalam tekanan yang hebat untuk membawa trofi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama ke Anfield musim hadapan.

“Saya rasa jika anda ada duit dan pandai menggunakan duit, lebih baik belanjakan duit itu dari letakkan ia di dalam bank. Ini kerana kadar faedah sekarang amat rendah.”

Penjaga gol termahal dunia, Alisson.

“Masalahnya sekarang adalah anda perlu bijak menggunakan duit dan secara jujur, saya rasa Liverpool telah berbelanja dengan sangat baik kerana setiap pemain yang mereka bawa masuk adalah pemain yang berkualiti. Saya gembira melihat Liverpool berbuat demikian.”

“Dan saya juga hanya mampu tersenyum sahaja dengan komen Klopp sebelum ini mengenai polisi perpindahan kami. Anda dapat lihat seseorang boleh mengubah pendapat mereka, jadi saya lihat perkara ini sebagai sesuatu yang kelakar.”

“Itu tidak mengapa. Tetapi mungkin kalian [pihak media] sudah boleh mendesak Klopp untuk memenangi Liga Perdana Inggeris. Saya rasa anda perlu berlaku adil di sini dan anda perlu meletakkan tekanan kepada Liverpool untuk memenangi liga.”

“Anda boleh lihat pasukan Liverpool, dengan pelaburan yang dilakukan kepada pasukan mereka, bukan sahaja musim ini tetapi pada Januari lalu, ia mungkin satu rekod dalam Liga Perdana Inggeris. Saya tidak dapat lihat mana-mana pasukan membelanjakan duit sebanyak apa yang Liverpool telah belanjakan.”

Suarez dan Coutinho antara contoh kejayaan polisi perpindahan Liverpool pada masa lepas. Beli murah, jual mahal

“Sebuah pasukan yang mara ke final Liga Juara-Juara Eropah, anda patut letakkan pasukan tersebut sebagai salah satu calon untuk memenangi liga.”

Mourinho tidak perlu menunggu lama untuk merasai kekuatan ‘Liverpool Baru’ kerana kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam International Champions Cup pada hujung minggu ini di Michigan Stadium.

Walaubagaimanapun Jurgen Klopp mendakwa komen yang dikeluarkan beliau pada tahun 2016 berkenaan perbelanjaan melampau Manchester United masih lagi ‘betul’ walaupun Liverpool sendiri turut melakukan perkara yang sama kebelakangan ini.

Disebabkan perkara tersebut, Klopp menerima kritikan sinis dari pihak media kerana sebelum ini beliau sendiri pernah mengkritik tindakan Manchester United membelanjakan £89 juta untuk mendapatkan Paul Pogba.

Klopp pada ketika itu menekankan lebih penting untuk bersama membina pasukan daripada membelanjakan wang yang besar. Klopp juga membayangkan akan bersara jika perbelanjaan melampau untuk mendapatkan pemain menjadi normal.

“Jika kau beli pemain pada harga £100 juta dan pemain itu tercedera maka terpaksalah kau hadap. Jika hari itu tiba untuk bola sepak, maka aku tidak akan bekerja lagi kerana permainan ini melibatkan permainan berpasukan.”

“Inilah bagaimana semua orang faham tentang bola sepak. Kau sememangnya mahu yang terbaik. Tetapi membina pasukan itu perlu untuk berjaya.”

Pada ketika itu juga Klopp berpendapat beliau tidak mendapat halangan untuk berbelanja besar dan hanya akan berbelanja besar hanya untuk membina pasukan. Mungkin pasukan lain belanja untuk membina rumah barangkali.

Ujar Klopp dengan penuh berprinsip dan tampak budiman yang menolak budaya belanjakan wang besar untuk membentuk pasukan. Jika terpaksa berbelanja besar pun kerana ingin membentuk pasukan, mungkin pasukan lain berbelanja untuk kebajikan.

Pada ketika itu Klopp hanya berbelanja kurang £30 juta dari harga Pogba. Namun nyata prinsip Klopp pada 2016 tidak boleh dibuat untuk membeli durian apatah lagi tempoyak. Setakat sembang tiap-tiap tahun Liverpool juara. Ye dok?

BACA:  Mason Mount Kini Jadi Pemain Antara Gaji Termahal Di Old Trafford